KAK PAH DAPAT KETENANGAN DI BANGLO BARU

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: Bi-Pop, 29 Jun 2008)

Rumah berkonsep Meditterranean 15 bilik lebih bermakna apabila dilengkapi surau yang boleh memuatkan 70 jemaah

Dalam usia meniti awal 50-an, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini memiliki segala-galanya.  Masih lagi popular, namanya disegani ramai artis, imejnya masih berprestij, hidup dengan limpahan kemewahan dan rupa paras yang tak telan dek ketuaan.  Paling utama, dikelilingi anak dan ahli keluarga yang sentiasa memberi sokongan pada dirinya.

Jelas, tiada apa yang kurangnya pada diri penyanyi evergreen yang sudah 40 tahun mengabadikan diri dalam dunia persada seni tanah air itu namun beliau tetap merendah diri serta tidak menunjuk-nunjuk dengan apa yang dimiliki, sehinggalah peminat mengetahui siapa dirinya sebenar.

Ketika diundang menghadiri majlis doa selamat dan meraikan anak yatim sempena menyambut ulangtahunnya di banglo barunya yang berkonsepkan mediterranean di Petaling Jaya, Bintang Popular tidak menolak, apatah lagi keinginan meluap-luap mahu melihat kediaman mewah Kak Pah yang baru saja siap.

Terkedu seketika ketika menjejakkan kaki di banglo berprestij penyanyi Bunga Tanjung itu.  Istimewanya, banglo 15 bilik itu siap dilengkapi sebuah surau yang boleh memuatkan 70 ahli jemaah.  Kediamannya tak sunyi lagi apabila setiap minggu ada saja majlis ceramah agama dan muzakarah diadakan.

Masih lagi anggun, Kak Pah yang menyambut ulangtahun pada 2 Julai ini mengakui:  "Tiada apa yang saya inginkan selain kegembiraan dan ketenangan jiwa dalam usia yang meniti 50-an.  Saya hanya mahu lakukan perkara yang tak sempat saya lakukan di kala dulu saya sentiasa sibuk membina kerjaya seni selama hampir 40 tahun.  Saya masih ada lagi secret dream yang belum terlaksana, tapi apa yang nak saya laksanakan itu, biarlah menjadi rahsia.  Selagi belum terlaksana, selagi itulah saya tak dapat nak umumkan."

Akuinya, tiada lagi yang menggembirakan buatnya apabila melihat anak tunggalnya, Aliff Omar Ali, 26, membesar depan mata.  Di samping itu, beliau juga memiliki lapan anak angkat yang enam daripada masih meneruskan pengajian bersama Aliff di Madinah dan dua lagi yang tinggal bersamanya sudah bekerja.

Di saat Kak Pah mengumumkan untuk berundur diri sedikit masa lagi, semakin banyak undangan nyanyian di majlis korporat dan kenamaan yang diterima.  Memang jarang sekali peminat dapat melihatnya pada majlis sosial kerana sejak dulu, Kak Pah hanya akan hadir di majlis yang membabitkan dirinya.

"Saya masih lagi menyanyi tetapi hanya memenuhi undangan majlis korporat dan kenamaan.  Saya akui saya jarang kelihatan di majlis sosial kerana sejak dulu, masa saya lebih banyak di rumah.  Bukan saya sombong atau tak suka bercampur dengan orang lain tetapi saya selesa menghabiskan masa menghias rumah atau mencantikkan diri." katanya yang akan memasuki studio bagi rakaman album terbarunya tidak lama lagi.

Impian bina surau di rumah tercapai

Kak Pah akui, biarpun bergelar selebriti popular, cara kehidupannya agak berbeza dengan artis lain.  Baginya kehidupannya adalah hak dirinya, bukan untuk orang lain.  Sebab itulah, dirinya keberatan untuk menunjuk-nunjuk apa yang dimiliki.

"Low profile adalah lebih baik, sejak dulu ramai wartawan yang minta mahu menyiarkan kediaman saya, tetapi maaflah, rumah adalah hak peribadi, saya tak mahu disalah erti.  Saya terlalu sayangkan rumahtangga dan saya menjaga rumahtangga seperti menjaga diri saya.  Kehidupan saya bukan untuk tontonan umum.  Saya tak mahu apa yang saya miliki menjadi bahan umpatan orang lain, kepada yang mengenali saya, mereka tentu faham apa yang tersirat di hati saya.  Apa yang saya miliki adalah hasil kerja keras selama 40 tahun berjuang dalam industri.

"Alhamdullilah, akhirnya kediaman yang saya impikan sudah siap diubahsuai, cuma perabot masih belum disusun.  Paling saya senang hati apabila mimpi saya untuk mewujudkan sebuah surau di rumah menjadi kenyataan.  Saya ingin berdakwah di kediaman saya dan syukurlah, setiap minggu ada saja majlis usrah atau muzakarah diadakan," katanya.

Pada majlis malam itu, Kak Pah turut mengundang seramai 60 anak-anak yatim dan tahfiz sekitar Puchong, Kepong dan Subang.  Tak lupa juga sahabat baik dan teman wartawan yang selama ini banyak membantu kerjayanya.  Selain majlis doa selamat, solat hajat dan bacaan tahlil, Kak Pah tidak lupa menjamu tetamu dengan hidangan istimewanya sempena menyambut ulangtahunnya tidak lama lagi.  Katanya, tiada apa yang diharapkan ketika usianya meniti dalam kategori warga emas, hanya pintanya diberi kesihatan baik, kewarasan fikiran dan teguh keimanan.

Diusik pertanyaan mengenai hal peribadi, tidakkah Kak Pah teringin berumahtangga selepas hampir 13 tahun hidup bersendirian, dengan ketawa, Kak Pah akui: "Kalau ada jodoh, adalah ... sebaliknya jika tiada, saya hanya berdoa akan bertemu dengan bidadara di syurga nanti, insya-Allah."  Itulah Sharifah Aini yang dalam serius mengatur kata tetapi tetap suka berseloroh.