KAK PAH DUTA NGO

oleh Nordiana Shafiee & Muhamad Fairoz Azizan  (Berita Harian: Selasa, 10 April 2012)

"Kak Pah bersedia membantu golongan yang sangat memerlukan ini kerana sudah menjadi tanggungjawab saya berbakti kepada masyarakat tanpa mengira latar berkang," kata biduanita, Datuk Sharifah Aini, ketika ditemui di Kampung Pandang Kunyit, Telaga Mas, Alor Setar, baru baru ini.  Beliau yang juga Duta Kemanusiaan Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia atau Islamic Aid Malaysia (IAM), berkata beliau terpanggil untuk menyertai badan bukan kerajaan (NGO) itu apabila melihat kesungguhan lebih 1,000 sukarelawannya bertungkus-lumus melaksanakan matlamat mereka membantu golongan memerlukan.

Penghibur berkenaan mula terdorong untuk menyertai semua aktiviti kemanusiaan IAM apabila dijemput membuat persembahan oleh pertubuhan itu kira-kira dua tahun lalu.  Selain kagum melihat kesungguhan warga IAM, beliau juga tertarik dengan konsep NGO itu membantu mengurangkan kemiskinan penduduk, khususnya di negara ini.  "Malah, mengetahui pengurusan dana diterima IAM diuruskan dengan telus untuk kerja amal ini membuatkan saya ingin sama membantu fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan mangsa bencana.

"Sejak itu, Kak Pah terfikir untuk menghabiskan masa terluang jika tiada persembahan untuk bersama-sama IAM menyelami kesusahan masyarakat di negara ini.  Ini adalah pembabitan pertama saya bersama NGO," katanya ketika ditemui pada program Jejak Prihatin anjuran IAM.  Sharifah Aini berkata, beliau juga bercadang menyumbangkan antara 40 hingga 50 peratus bayaran persembahan yang diterimanya kepada IAM.

Sementara itu, kesibukannya menjadi juri tetap program Mentor 6 tidak menghalang penyanyi yang mesra disapa Kak Pah ini untuk melakukan persiapan rapi persembahan sempena Hari Ibu pada 12 Mei ini di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.  Tidak mahu menghampakan golongan ibu yang sudi hadir menyaksikan persembahannya nanti, beliau menjanjikan pertunjukan menghiburkan, dengan 25 lagu termasuk lagu popularnya Seri Dewi Malam.

Makan Malam Amal Kasihnya Ibu itu bakal menggamit nostalgia dengan lagu malar segara termasuk Kasihnya Ibu, Mama, Mawar Putih Untuk Mama, Impian Tercapai, Ibu, Citaku, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Ayah Dan Ibu, Anak Dagang, Ku Pohon KeredhaanMu, Que Sera Sera, Airmata Kasih dan Tiada Kata Secantik Bahasa.  "Kak Pah tidak mahu menghampakan peminat yang bersusah-payah membeli meja dan anak-anak yang sudi membawa ibu mereka menyaksikan persembahan Kak Pah.  Jadi, ada kelainan yang akan Kak Pah persembahkan dari segi pemilihan lagu yang berkisar mengenai ibu, keluarga dan kasih sayang.

"Persembahan Kak Pah nanti lebih kurang dua jam.  Setakat ini Kak Pah tidak tahu berapa tiket yang sudah terjual, tetapi Alhamdulillah ia mendapat sambutan terutama daripada peminat Kak Pah dari Brunei dan Singapura," katanya ketika dihibungi HIP.  Hasil jualan meja itu akan disalurkan kepada fakir miskin, orang OKU, anak yatim dan sekolah tahfiz di seluruh negara menerusi IAM.

Dalam kesibukannya, Kak Pah tetap meluangkan masa turun padang menjengah ke rumah fakir miskin bersama NGO terbabit.  "Sekarang Kak Pah sibuk dengan kerja amal bersama NGO untuk membantu mereka yang memerlukan.  Bagi Kak Pah, tiada apa yang dapat Kak Pah bantu, selain membuat persembahan amal sebegini.  Kak Pah sukakan kerja amal kerana ia membuatkan kita berasa puas dan rasa hidup lebih diberkati.  Paling penting, Kak Pah gembira melihat insan yang memerlukan ini gembira," katanya.

Selain persembahan itu, Kak Pah juga akan mengadakan konsert solonya bersama Orkestra RTM pada 28 April ini di Auditorium Perdana, Angkasapuri selepas kemunculannya dalam dua konsert tribute Allahyarham Sudirman dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais awal tahun ini.  "Konsert ini berlangsung selama sejam dan Kak Pah memilih Datuk Mokhzani Ismail sebagai pengarah muzik untuk persembahan itu nanti.  InsyaAllah, Kak Pah cuba mempersembahkan 25 lagu termasuk lagu medley," katanya.