'BTS' DEDAH HUBUNGAN KAK PAH DENGAN SALOMA oleh Hanisah Selamat (Berita Harian: Selasa, 13 September 2005) |
Semalam, naskhah 'Breaking The Silence' (BTS) yang memuatkan gelodak rasa dan pengalaman Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah sepanjang bergelar anak seni berada di pasaran. Antara intipati termasuk gosip pertelingkahan dengan Puan Sri Saloma, seperti pernah digembar-gemburkan suatu ketika dulu. Tidak sekelumit pun terdetik di hati penghibur ini untuk mengungkit peristiwa yang sudah lama berlalu apatah lagi mengguris perasaan keluarga insan yang cukup disanjunginya. Namun mengenangkan gosip ini masih menjadi ungkitan, dia berasakan wajar untuk menerangkan perkara sebenar. "Selama 27 tahun saya memikul beban ini. Saya rasa inilah masa paling tepat untuk saya melakukannya. Maruah saya perlu dipertahankan dan pada masa sama saya rasakan diri ini sudah cukup dibuli," ulasnya pada awal bab ini. Semua ini berlaku ketika Puan Sri Saloma yang dipanggil 'Mama' dimasukkan ke hospital dan ramai memperkatakan mengenai penyakitnya selain masalah kewangan yang ditanggung. Waktu itu, Kak Pah adalah penyanyi baru dan antara artis muda yang sering melawatnya. Pernah suatu masa, Saloma teringin menjamah buah-buahan segar dan kebetulan Kak Pah yang akan ke Singapura mengambil kesempatan mendapatkan buah-buahan itu di sana. Sekembali saja ke Kuala Lumpur, dia terus bergegas ke hospital. Berikutan khabar angin mengenai masalah kewangan Saloma, wartawan turut mendapatkan komen Kak Pah berhubung perkara itu dan tidak terkecuali salah seorang editor yang juga dianggap sebagai rakan penyanyi itu sendiri. Namun tidak terfikir komen jujur seperti yang diminta editor itu dimanipulasi sehingga menimbulkan salah faham. Respons saya ialah situasi sedih ini mengingatkan artis muda seperti kami supaya bersedia pada masa depan. Tiada siapa tahu apa berlaku pada masa akan datang terutama ketika diri tidak lagi diperlukan. Saya tidak punya apa-apa agenda ketika memberikan komen ini selain sama-sama mengingatkan rakan seangkatan untuk sentiasa bersedia menghadapi situasi sedemikian," katanya. Dalam bab ini juga dipaparkan, episod yang melanda Kak Pah tidak berakhir begitu saja apabila editor terbabit menjadikannya sasaran berikutan hubungannya dengan Ali (bekas suami kak Pah). Antaranya termasuk Kak Pah dituduh punya anak luar nikah sedangkan budak perempuan yang dibela penyanyi itu adalah saudaranya sendiri. Sama sekali Kak Pah tidak menyangka kawan yang dikenali malah sepejabat dengan Ali sanggup melemparkan tuduhan sebegitu semata-mata mahu menjarakkan perhubungan antaranya dengan Ali. Malah hingga kini ada antara kata-kata yang diluahkan editor berkenaan kepadanya tidak diceritakan kepada Ali demi menjaga perasaan bekas suaminya itu. "Berbalik kepada Puan Sri Saloma, awal 80-an satu pertemuan yang diatur rakan diadakan di Jaya Puri Hotel (kini PJ Hilton). Saya menempah 'suite' dan kami bertiga makan malam bersama termasuk Mama. Ia sungguh menyeronokkan. Dia adalah legenda dan ibarat ibu kepada saya. Saya hormatinya sebagai artis yang berjaya malah saya rasa wajar berjumpa dan menerangkan perihal sebenar. "Melihatkan apa yang dipaparkan di akhbar membuatkan kami sama-sama menangis. Saya masih ingat saya terus bersalaman dan kami berpelukan pada awal pertemuan itu. Alhamdulillah, dia cukup memahami dan memaafkan saya," ceritanya lagi. Ini hanyalah sebahagian lontaran rasa yang dimuatkan dalam naskhah nukilan penyanyi 'Seri Dewi Malam' itu sendiri. Pelbagai perkara lain turut disentuh Kak Pah terutama ranjau berduri yang ditempuhi sepanjang tiga dekad pembabitannya di arena ini. Nukilan Kata "Kepada peminat setia yang sentiasa bersama sepanjang kerjaya saya. Harapan saya semoga anda terus memberi sokongan dan doa berpanjangan. Buku ini saya dedikasikan khas kepada anda sebagai tanda penghargaan." – Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar Kami harap orang ramai tidak terlalu cepat membuat andaian mengenai sebarang kata-kata berkaitan wanita yang sudah menyumbang banyak kepada negara hanya disebabkan kisah sensasi serta laporan tidak bertanggungjawab di media. Anda berhak menghakimi Sharifah Aini selepas membaca buku ini." – Khalilah Datuk Talha "Sharifah sudah memberi sumbangan besar kepada negara dan bagaimana kita menangani rayuannya baru-baru ini? Dia trauma dan kesakitan. Saya nampak luka dan lebam ketika dia berada di Damansara Specialist Centre. Kenapa sanggup mencederakan ikon ini?" – Sherry Merican "Datuk Sharifah Aini tiada masalah memberi maklumat terperinci mengenai kejadian menakutkan yang menimpanya kerana dia menceritakan semula dan mustahil dalam tempoh itu dia mampu mengada-adakan cerita dengan sebaik itu." – Jackson Yogarajah Artikel lain yang berkaitan: Tuhan Tahu Apa Saya Buat (Harian Metro – Khamis, 15 September 2005) Diva Comes Out Fighting (The Sun – Wednesday, 14 September 2005) Kebenaran Itu Adakala Menyakitkan (Berita Minggu: Bi-Pop – 29 Mei 2005) |