ARTIS JUGA ULAT BUKU oleh Izza Safinaz Ibrahim (Berita Minggu: Bi Pop, 14 Julai 2002) |
Langkah Perpustakaan Negara memulakan kempen membaca yang turut disokong oleh artis tempatan adalah antara projek mulia untuk memupuk minat membaca orang ramai. Membaca bukan sekadar menyelak helaian novel tetapi apa saja bahan bacaan termasuk majalah, akhbar, melayari Internet atau apa saja bahan bercetak. Bintang Popular bertanyakan beberapa selebriti tanah air yang menjadikan membaca satu amalan dan bahan bacaan kegemaran mereka. Pelbagai bahan bacaan menjadi teman artis kita. Antaranya buku biografi tokoh terkenal, himpunan puisi, majalah dan motivasi menjadi pilihan mereka. Izza Safinaz Ibrahim sempat berbual dengan Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza untuk berkongsi hobi masa lapang mereka. Buku apa yang sedang dibaca sekarang? Sharifah Aini: Baru nak habis baca 'Ghandi' yang diterjemahkan oleh Mahadev Desai. Sebelum ini saya baca Lee Kuan Yew. Siti Nurhaliza: Tak ada yang khusus, tapi kebanyakannya majalah untuk ketahui perkembangan muzik selain akhbar harian. Siti ada juga baca buku puisi lama sebagai bahan rujukan untuk tulis lirik. Buku kegemaran hingga kini masih ingat ceritanya? Sharifah Aini: Banyak tapi saya paling ingat adalah 'The Seduction of Hillary Rodham' by David Brock. Jalan cerita paling ingat sekali adalah buku berjudul 'Justice' oleh Dominick Dunne yang menceritakan kisah benar jenayah yang membabitkan seorang gadis yang dibunuh dan pembunuhnya dibebaskan selepas dihadapkan ke mahkamah. Siti Nurhaliza: Buku misteri, kisah benar dan novel. Dulu baca juga novel remaja karya Ahadiat Akashah apabila kawan pun baca buku itu. Jenis bahan bacaan. Buku, majalah, akhbar, Internet Sharifah Aini: Saya baca apa saja termasuklah majalah berkenaan hiasan dalaman, gardening, landscaping, gaya hidup dan fesyen supaya peka dengan trend semasa. Siti Nurhaliza: Tak khusus, terpulang. Kalau ke kedai buku, Siti borong beberapa majalah dan buku yang menarik. Waktu dan tempat paling sesuai untuk membaca Sharifah Aini: Biasanya saya baca waktu tengah hari di pejabat saya dan selalunya malam sebelum tidur yang boleh berlarutan hingga jam 4 pagi. Saya juga baca buku agama pada masa-masa tertentu. Saya memang ulat buku! Siti Nurhaliza: Selalunya dalam perjalanan ke sesuatu tempat terutama ketika menaiki pesawat Siti akan pastikan membeli atau membaca bahan bacaan. Kadang kala baca juga ketika buat show atau penggambaran kerana ada masanya terpaksa menunggu lama dan masa itulah Siti gunakan untuk membaca. Penulis kegemaran Sharifah Aini: Danielle Steele, Stephen King dan Jackie Collins. Siti Nurhaliza: Allahyarham Usman Awang. Dalam simpanan ada karya Raja Ali Haji, ia adalah buku puisi Islam pemberian peminat. Berapa lama baca novel? Sharifah Aini: Novel adalah bahan bacaan ringan bagi saya jadi saya mengambil masa dua ke tiga hari. Jika ia buku seperti biografi atau kisah benar saya ambil masa enam ke tujuh hari untuk menghabiskannya. Siti Nurhaliza: Sekarang susah nak membaca novel sebab sibuk. Kalau nak baca haruslah beri tumpuan. Siti banyak baca cerita yang ringkas. Adakah bahan bacaan anda dibeli, dipinjam atau dikongsi? Sharifah Aini: Saya beli kerana ia adalah satu pelaburan. Saya akui mengeluarkan belanja yang banyak untuk membeli buku tetapi ia amat berbaloi dan kekal sepanjang hayat. Selalunya saya kirim dari rakan di Amerika. Siti Nurhaliza: Kebanyakan majalah beli, di rumah dah penuh. Nak buang sayang, suka juga tengok majalah fesyen, kecantikan untuk panduan. Ada juga buku pemberian peminat dan saya menyimpannya dengan baik. Jenis karya pilihan - fiksyen, ilmiah, hiburan, motivasi, kembara / pelancongan, alam sekitar atau biografi? Sharifah Aini: Saya tidak begitu meminati fiksyen, lebih kepada kisah realiti. Siti Nurhaliza: Semua Siti suka baca. Lebih menarik minat hiburan dan berbentuk ilmiah, kisah misteri dan kisah Nabi. Adakah anda memerlukan makanan / minuman / muzik untuk mengiringi anda membaca? Sharifah Aini: Saya mendengar muzik klasikal ketika membaca waktu malam. Terpulang juga pada mood ketika membaca, jika novel romantik saya iringi dengan petikan piano. Siti Nurhaliza: Adalah snek ringan ketika membaca. Tak amalkan makan ketika membaca. Kalau baca menarik beri tumpuan sepenuhnya. Kalau Siti sedang berkemas pun, kalau terjumpa sesuatu bahan yang menarik untuk dibaca, Siti terus baca dan berhenti mengemas. Pernahkah simpan keinginan untuk menulis satu hari nanti? Karya apa? Sharifah Aini: Ya ada, tak tahulah bila mungkin beberapa tahun lagi. Saya mahu menghasilkan biografi saya sendiri. Kini sedang kumpulkan bahan tetapi belum ada masa untuk menulis lagi. Siti Nurhaliza: Ada juga angan-angan menulis kisah hidup sendiri. Cuma waktu tak banyak. Siti pernah buat ruangan Lenggok Siti dan itu adalah sebagai permulaan. Insya-Allah, satu hari nanti. |