'Inilah Diva Sebenar Malaysia Yang Saya Maksudkan' 'Aspirasi' dikendalikan Ramli MS (Berita Minggu: Bi-Pop, 8 April 2007) |
Dua diva itu ialah Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza. Memiliki ciri-ciri dan keunggulan tersendiri mereka benar-benar diva bukan berperangai diva. "ASSALAMUALAIKUM. Sepanjang dua minggu kebelakangan ini, saya menerima banyak kiriman e-mel yang menggesa saya melabel siapa gerangan diva di Malaysia pada kaca mata saya selepas saya pernah menulis artikel mengenai perangai diva artis. Maksud saya diva di Malaysia yang benar-benar diva – bukan berperangai macam diva! Saya memilih mereka berdua kerana saya pernah bekerja dengan mereka. Hampir keseluruhan zaman, saya pernah bekerja dengan kebanyakan artis yang masih bertahan sehingga hari ini. Secara peribadi, penyanyi yang menjadi pilihan saya sebagai diva ialah Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza. Kedua-duanya adalah diva pilihan saya di Malaysia. Kenapa? Baiklah biar saya bercakap mengenai Datuk Sharifah Aini dulu. Pada era 1970-an dulu, ketika itu lagu Terbang Helang nyanyian Datuk Sharifah Aini, saya menjadi pemuzik undangan dalam rakaman album Datuk Sharifah. Dari zaman itu, Datuk Sharifah sudah popular dengan lagu-lagunya yang terlalu banyak untuk saya sebutkan di sini. Datuk Sharifah sudah memiliki lebih 90 album sehingga ke hari ini. Bagi saya, pencapaian beliau sungguh menakjubkan! Beliau masih kekal sehingga ke hari ini, masih lagi menyanyi. Dengarkan saja sebutannya terutama huruf Q. Tidak saya pernah temui lagi sebutan sebaik itu daripada penyanyi lain. Kemerduan suara Datuk Sharifah tiada tandingan, ditambah dengan lagu hit yang begitu banyak. Dia juga boleh berlakon dan menyanyi. Satu yang istimewa yang ada pada Datuk Sharifah, anda tidak akan nampak beliau di merata tempat awam, melainkan di tempat eksklusif dan tertutup. Beliau amat memelihara reputasinya sebagai seorang penyanyi yang susah kita hendak jumpa di tempat awam. Datuk Sharifah juga tidak akan menerima undangan nyanyian di pentas terbuka dan jarang sekali kita dapat menonton beliau muncul di kaca TV. Mungkin itu satu prinsip beliau sebagai seorang diva yang tahu mengekalkan taraf eksklusifnya di mata peminat. Datuk Sharifah juga ada kelasnya yang tersendiri. Hampir empat dekad beliau menyanyi dan menjaga reputasinya walaupun ada kisah yang tercalar, kisah itu jangan kita ambil kira. Saya lebih suka melihat ke arah kerjaya. Itulah dia Datuk Sharifah Aini yang saya kenali, seorang truly diva! Baiklah, seorang lagi diva yang pernah saya bekerja dengannya selama tiga tahun ialah Datuk Siti Nurhaliza. Secara peribadi, beliau sungguh berbakat besar. Selama saya bekerja dengan ramai penyanyi baru di Malaysia, Datuk Siti mempunyai bakat luar biasa. Ia satu anugerah Tuhan yang sewajarnya beliau hargai. Beliau seorang penyanyi yang cekal. Walaupun kadang-kadang saya kedengaran sedikit getaran suara gementarnya di pentas, tetapi semangatnya itu sungguh besar apabila berdepan dengan sebarang keadaan. Semangatnya lebih besar dari rasa gementarnya itu. Mungkin ada orang mempertikaikan kenapa saya memilih Datuk Siti sebagai diva pelapis berbanding dengan penyanyi lain yang lebih dulu menyanyi daripadanya. Saya tidak memperkecilkan bakat penyanyi lain tetapi anda harus akui, Datuk Siti seorang yang berbakat besar. Mungkin ada sesetengah penyanyi sudah menyanyi sebelum kemunculan Datuk Siti. Tapi, dilihat daripada pencapaiannya yang begitu meledak, ia adalah hasil kerjasama dengan orang yang terbaik. Mungkin itu tuahnya. Seharusnya, pencapaian Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti dijadikan contoh kepada artis baru yang lain, tapi janganlah cuba meniru. Apa yang mereka sudah buat sebelum ini, cuba atasi cara tersendiri. Artis baru harus bekerja lebih keras untuk melebihi pencapaian yang pernah dimiliki Datuk Sharifah mahupun Datuk Siti. Inilah dua diva yang ada di Malaysia – layak digelar diva dari segi kerjaya. Baiklah setakat ini saja dulu untuk minggu ini, sehingga kita bertemu lagi minggu depan, wassalam." |