Sharifah Aini Nak Doakan Rahmat Buat Umat Islam Di Mekah 'AUW!' dikendalikan Juwie (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 5 November 2000) |
Sempena bulan Ramadan yang mulia nanti, penghibur rakyat yang top – biduanita Sharifah Aini akan mengerjakan umrah pada 5 Disember. Ada kawan beritahu Juwie, Ani akan pergi bersama anaknya – Aliff (18 tahun), ibu saudaranya – Raja Salmah serta keluarga Kak Bam dan ABI. Dengan perasaan gembira terus Juwie pun telefonlah Ani nak tahu cerita lebih lanjut. Mulanya Ani keberatan nak bercerita sebab dia bimbang nanti apa pulak orang kata. Juwie pun pujuklah Ani ... habis tu kalau cerita artis melalak di pentas kita boleh heboh-hebohkan takkanlah cerita yang baik tak boleh dihebahkan? Kalau kita hebahkan biarlah manusia yang pandang rendah pada artis-artis bukak mata tu terbeliak sikit biar mereka tahu bahawa artis-artis pun tahu ingat dunia dan akhirat. Dah puas dipujuk-pujuk, akhirnya Ani pun berceritalah. Katanya: "Ani mengerjakan umrah kali ini kerana adanya panggilan rindu untuk ke sana lagi sebagai tetamu Allah. Bagi Ani, tiada tempat seindah Mekah dan Madinah. Tiada tempat ketenangan yang dapat dicari selain di sana." Apa yang Ani nak doa di hadapan Kaabah nanti? "Ani nak doakan semoga Allah melimpahkan setinggi rahmat ke atas seluruh umat Islam di dunia ini. Ani nak pertingkatkan keimanan. Ani nak mengadu macam-macam kepada Allah mengenai rahsia hati Ani. Kalau kita mengadu kepada orang, nanti orang pecah lubang. Tapi bila kita mengadu kepada Allah, segalanya menjadi rahsia dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui dan dapat menolong kita," jawab Ani dalam nada terharu. Mulia sungguh hati Ani nak doakan yang baik-baik untuk umat Islam tapi ada orang busuk hati nak doakan yang buruk-buruk untuk umat Islam. Memanglah seronok, meriah dan tiada terhingga nikmatnya beribadah dengan hati yang ikhlas sepanjang Ramadan di tanah suci bersama berjuta umat Islam. Setelah tiga tahun menjadi ibu tunggal, tidakkah setakat ini ada yang melamar Ani? "Belum ada yang melamar lagi. Lagi pun hati Ani belum terbuka untuk berkahwin lagi buat masa ini. Ani seronok hidup seorang. "Kalau dulu, masa perkahwinan pertama bila bercerai aje habis edah terus Ani kahwin lagi. Tapi kali ini, biarlah Ani lama sikit. Sebab Ani tak mahu hati terguris lagi. Lagi pun Ani sibuk dengan karier. Sebenarnya Ani suka hidup berkeluarga dan ada suami tapi cuma Ani memerlukan masa yang lama untuk perkahwinan ketiga nanti jika ada jodoh," ceritanya. Ani sekarang tengah top dengan lagu Seribu Mawar. Saban hari berapi-api radio memutarkan lagunya. Ramai yang suka dan terharu menghayati lirik lagu itu. Juwie dengar cerita, albumnya edaran EMI tu laris dan menjangkau lebih 50,000 unit. Kelas gitu. Murah rezekinya. Ani juga tengah sibuk dengan show di merata tempat. Alhamdulillah ... Allah Taala memurahkan rezeki janda muda yang kuat semangat ini. Siapa nak ambil Ani buat show bolehlah telefon Normaheran di EMI nombor: 03-89455033 (waktu pejabat). Rasanya, tentu meriah jika ada pihak TV buat program hiburan raya Seribu Mawar Aidilfitri yang dihoskan oleh Ani. Bolehlah dia undang artis baru dan lama sambil menjadikan tetamu khasnya daripada kalangan anak-anak yatim, insan kurang upaya dan pesakit-pesakit di hospital. Sebab Ani memang sayangkan insan-insan begitu. Stesen TV kenalah cepat-cepat rebutkan Ani sebelum pihak lain buat idea ini. |