Mat Saleh Jatuh Cinta Dengan Sharifah Aini

'AUW!' dikendalikan Juwie  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 3 Oktober 1999)

 

 

AUW!  Sejak Bintang Seri Dewi Sharifah Aini menjanda, berlambak sungguh lelaki yang jatuh cinta dengannya.  Maklumlah ... wajah cantik, hidung mancung, sinar matanya menggoda dan senyumannya manis ... hati lelaki mana yang tak cair?  Baru-baru ini, Juwie ada dengar cerita alkisahnya sampai dua orang lelaki Mat Saleh bermata biru jatuh cinta dengan Sharifah Aini.

Yang seroang tu dulu peguam dan sekarang dah jadi ahli perniagaan.  Dia berasal dari Florida dan telah datang ke Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan perlumbaan kereta Formula One di Sepang.  "Semasa Mat Saleh tu singgah di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dia ternampak Sharifah Aini sedang minum petang.  Lalu dia berkenalan.  Sharifah Aini pun layanlah dia sebagai seorang pelancong dengan ramah mesra.  Dia kata, dia tertarik dengan Ani, tapi Ani malu-malu pulak.  Kemudian bila Ani nak balik naik keretanya di depan pintu masuk hotel, Mat Saleh tu mengekori Ani.  Sampai Ani dah masuk dalam kereta pun dia masih sambung berborak di tingkap kereta.  Dia benar-benar macam orang dan gila bayangan kat Ani," cerita seorang hamba Allah.

Orang yang bercerita tu minta dirahsiakan namanya.  Entah-entah dia pun ada bersama ketika peristiwa itu tak?  Lepas tu, hamba Allah tu beritahu lagi, setiap dua malam sekali dia menelefon Ani.  Untuk mendapatkan kepastian, Juwie pun telefonlah Ani tapi Ani malu-malu nak berterus-terang.  "No komen," jawab Ani sambil tergelak.  Tapi Ani tidak pula menafikan memang dia ada berkawan dengan lelaki bermata biru.

Dari sumber lain pulak, Juwie dengar cerita, seorang lagi lelaki Mat Salleh dari New York yang memiliki lapan buah hotel pun sedang jatuh hati dengan Ani.  Adoi-doi ... tukar selera nampaknya!  Iya laa ... dan puas bercinta dan berkahwin dengan orang Melayu tapi jodoh tak berpanjangan pulak ... lalu apa salahnya menukar selera dengan orang lain pulak?  Yang penting asalkan lelaki itu beragama Islam, bertakwa, bertanggungjawab, mencintai Ani dengan ikhlas, masih solo dan dapat bimbing Ani ke jalan Allah.  Insya-Allah selamat.  Apakah tahun 2000 nanti kita akan menyaksikan Ani berkahwin dengan lelaki bermata biru?  Biarkan takdir menentukan segalanya.

Sementara itu, album kompilasi terbaru Seri Dewi Sharifah Aini edaran EMI kini sedang ligat di pasaran.  Ramai peminat lama dan generasi baru yang dah beli album tu seronok mendengar berulangkali.  Siapa yang belum beli albumnya, cepatlah beli insyaAllah terhibur.  Siapa yang nak panggil Ani buat konsert atau dinner show atau apa-apa saja pertunjukan pentas, bolehlah hubunginya menerusi nombor faks: 03-7547016.  Harga shownya berpatutan dan puashati persembahannya.