ANUGERAH KECAPI MACAM HARI KELUARGA PAPITA

oleh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro: Khamis, 28 Disember 2006)

Apabila melihat aturcara Anugerah Kecapi Malam Semarak Kasih (Anugerah Kecapi) anjuran Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita), yang berlangsung di Dewan Utama, Hotel Sunway Lagoon Resort, baru-baru ini, sukar sekali untuk mengangkat majlis itu sebagai satu majlis anugerah.  Memang benar majlis anugerah itu dibuat bagi meraikan karyawan seni tanah air namun apabila menghayati perjalanan sebenar acara malam itu, ia tidak lebih kepada pertemuan anggota Papita.  Dengan mengundang anak-anak ahli persatuan membuat persembahan, ia bagaikan Hari Keluarga Papita.

Menyentuh penganjuran sesebuah majlis anugerah, jelas terbayang di ruangan mata betapa megahnya majlis itu dengan kehadiran tetamu terdiri kalangan artis lama dan baru.  Bagaimanapun, barangkali kerana pertembungan majlis Anugerah Skrin ke-8 anjuran TV3 yang diadakan pada hari dan waktu sama, hadirin terbahagi dua.  Tidak keterlaluan jika dibuat andaian, Anugerah Kecapi lebih kepada malam pertemuan artis lama manakala Anugerah Skrin penuh gemilang dengan kehadiran artis muda dan popular.  Bukan pula ingin membuat perbandingan antara dua malam anugerah itu namun itulah kenyataannya.

Niat baik penganjur menyediakan makan malam juga menyebabkan tumpuan hadirin tidak kepada persembahan dan penyerahan anugerah yang berlangsung.  Kepada yang jarang bertemu, mereka mengambil kesempatan itu mengeratkan kembali silaturahim sehingga menenggelamkan tujuan utama majlis itu diadakan.   Semakin ke penghujung majlis, tinggal beberapa kerat saja menyaksikan penyerahan Anugerah Tertinggi Biduanita Negara yang diberikan kepada Datuk Sharifah Aini.

Apakah ertinya sebuah majlis anugerah jika penganjurannya tidak lebih kepada pertemuan ahli.  Jika hasrat penganjuran sekadar menangkis cakap-cakap kurang enak terhadap persatuan itu kebelakangan ini, banyak lagi yang boleh dilakukan.  Bagaimanapun, majlis penganjuran sebegitu patut dipuji kerana ada pihak yang mengingati dan menghargai sumbangan penggiat seni tanah air.  Siapa lagi yang selayaknya memberikan anugerah kepada rakan artis kalau bukan persatuan yang dinaungi.

Aturcara malam itu dimulakan dengan perarakan dan bacaan Salawat oleh kumpulan nasyid Rabbani.  Seterusnya persembahan anak anggota Papita seperti Zulkifli M Osman yang mengembalikan nostalgia arwah bapanya, M Osman apabila menyanyikan lagu Suzana.  Persembahan diteruskan dengan nyanyian Ellyana Hanie Abu Hamid (anak Datuk Yusni Hamid), Farah Datuk Malek Riduan, Izan Bakri (anak Raftah Bachik), Inas (anak Datin Orchid Abdullah) dan Amy Datuk A Rahman Hassan.  Tampil sama membuat persembahan, Jeffrydin (Siti Haida), Rohana Jalil (Rayuanku), Datuk Yusni Hamid (One Moment In Time), Datuk Ahmad Jais dan cucu Allahyarham Rosiah Chik, Jamie Chik.  Hasrat menonjolkan bakat baru dalam bidang seni suara yang mewarisi bakat dari ibu bapa masing-masing kurang menepati kehendak majlis anugerah.  Ia usaha yang baik cuma tidak sesuai majlis.

Karyawan lain turut menerima anugerah ialah Datuk A Rahman Hassan (Anugerah Tokoh Kepimpinan Industri Muzik 2006), Allahyarham Sudirman Hj Arshad (Anugerah Penghibur Legenda 2006) manakala Kopratasa (Penyanyi Lagu Puisi), Jeffrydin (Anugerah Khas), Datin Orchid Abdullah (Penyanyi Lagu Ghazal), Zaleha Hamid (Penyanyi Lagu Dangdut), Amy Search (Penyanyi Rock) dan Aspalela Abdullah (Penyanyi Lagu Melayu Asli).  Penghargaan bagi Sudirman diambil kakaknya, Datin Roziah Arshad.  Sementara itu, wartawan Hiburan Berita Harian, Akmal Abdullah dan Zainuri Misfar masing-masing berkongsi trofi Anugerah Kewartawanan 2006 – Media Cetak.

Penerima lain, RTM (Anugerah Kewartawanan 2006 – Media Elektronik), Adibah Noor Yahya Affandi (Klasik FM – Anugerah DJ Terbaik 2006), M Nasir (Anugerah Penulisan Lagu Terbaik 2006), Nassier Wahab (Anugerah Pencapaian Seni Terbaik 2006), Rabbani (Anugerah Pencapaian Seni Terbaik 2006 – Berkumpulan), Dr Fazley Yaacob (Anugerah Personaliti Terbaik 2006), Ali Bakar (Anugerah Aktivis Industri Muzik 2006), Mariam Ahmad (Anugerah Artis Sepanjang Zaman 2006: Penyanyi Lagu Keroncong), Rahim Jantan (Anugerah Artis Sepanjang Zaman 2006: Penyanyi Lagu Dondang Sayang – Lelaki), Nyonya Tan (Anugerah Artis Sepanjang Zaman 2006: Penyanyi Lagu Dondang Sayang – Perempuan), Orkes Nirwana JB (Anugerah Artis Sepanjang Zaman 2006: Kumpulan Muzik), Haji Ahmad Shariff (Anugerah Artis Sepanjang Zaman 2006: Pemuzik) dan S Amin Sahab (Anugerah Artis Sepanjang Zaman 2006: Penulis Lirik).

Manakala lima penerima Anugerah Khas Papita 2006, Ooi Eow Jin, Ramli Sarip, Syarikat Rakaman EMI, Datuk Jamil Sulong dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.  Bekas wartawan veteran, Ahmad Idris (ABI) pula menerima Anugerah Khas Papita ‘Jasamu Dikenang’ 2006.  Semua penerima anugerah menerima trofi, sijil dan wang tunai RM1,000.  Antara tetamu kehormat ialah Ketua Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Noriah Kasnan dan Presiden Papita, M Daud Wahid.  Artis yang hadir, Haiza, Shikin, Bard R-1, Tomok, Achik Spin, Erema bersama suaminya Seri Bayu dan Nas Adila.  Artis lama pula, Datuk A Rahman Hassan, Datin Azizah Mohamed, Ahmad Tarmimi Siregar, MY Shamsuddin, Datin Rosnani Jamil, Afida Es, Datuk M Daud Kilau, Fauziah Nawi, Herman Tino, Ali Mamak, Zalifah Ibrahim, Zulkifli Ismail.

Artikel lain yang berkaitan:

  Bekas Suami Sharifah Aini Tersentuh Hati (Berita Minggu: Bi-Pop – 7 Januari 2007)

  Sharifah Aini Diiktiraf Biduanita Negara (Berita Harian – Jumaat, 29 Disember 2006)