SHARIFAH AINI – KALI PERTAMA MENYUARAKAN RAHSIA HATI

oleh Wirda  (Wanita, Ogos 1999 – Keluaran Khas: Wanita 30 Tahun)

Sharifah Aini, kita selalu melihatnya dengan wajah bersolek rapi, rambut kemas berdandan, pakaian mewah menyarung badan dan berlian bergemerlapan.  Di kaca tv atau di pentas, Sharifah muncul anggun.  Suara merdu memikat dan peminat puas.  Tahu apa yang sering saya bayangkan?  Berbual santai dengan Sharifah, melihat beliau berkemeja dan jean atau berkaftan.  Kata orang, kalau hendak tengok seseorang itu cantik, tengok sewaktu dia bangun tidur atau kala dia berada di rumah.

Nasib menyebelahi saya.  Tanggal 1 Julai 1999, saya dijemput ke kediamannya, sehari selepas penggambaran hiasan kulit di studio Utusan Melayu.  Di sebuah bilik (dijadikan pejabat), lengkap hawa dingin, di sini Sharifah menghabiskan masanya bekerja.  Sebuah meja besar dan di hadapan dua kerusi.  Di satu sudut, satu lagi meja untuk pengurusnya, Juita Jalil.  Ada komputer, lengkap Internet, ratusan CD Rom dan disket di almari serta peti TV.  Buku di rak tersusun rapi, membayangkan penghuni bilik juga gigih mentelaah.

Sharifah, saya tenung lama.  Wajah bersolek amat nipis, bibir samar-samar merah dan rambut berkepit ke atas.  Dia berkaftan sahaja.  Saya perlu memberitahu, "You look so beautiful."  Senyuman terukir, berbaris giginya yang cantik.  Saya seolah tidak puas memandangnya.  Kulit mukanya, saya perhatikan amat licin, jejari yang halus, hari itu cuma berkuku pendek, samar-samar merah sahaja warnanya.  Kulit sawo matangnya licin berseri.  Kalau hendak dikata, umurnya baru 35 pun, boleh sekali.  Kata Sharifah, sebenarnya umurnya yang betul 43 tahun.  Dia dilahirkan pada Julai (kebetulan cuma keesokan harinya tarikh lahirnya) tetapi entah bagaimana di dalam pendaftaran, tarikh lahirnya pada 1953.

Jauh lebih kurus daripada yang saya sangkakan, saya tanya Sharifah, sejak bila dia berjaya menghilangkan berat badan?  "Berat badan saya tidak jauh berbeza dulu dan kini, cuma inilah ... (sambil menunjukkan buah dadanya).  Ini yang menampakkan saya gemuk."  Dia bangun, sambil menarik kaftannya, lekat ke badan.  Benar apa yang dikatakan,  "Kalau bukan kerana si buah dada, badan Sharifah tidaklah banyak bezanya dariada Aishah," bisik di hati.  Saya dijemput makan tengah hari.  Walaupun jauh melepasi waktu makan, saya berselera.  Sambil itu berbual.  Rupa-rupanya rezeki saya memang di meja makan, cerita yang paling saya mahu dengari daripada mulut Sharifah Aini sendiri, diluahkan hari itu.

CINTA SHARIFAH AINI

"Kalau Wirda tanya, sama ada saya masih sayang Ali, ya ... saya masih sayang.  Cinta itu tidak pernah padam.  Masakan boleh, kalau di hadapan saya dan yang bersama saya itu Aliff Omar bin Ali, sebiji mewarisi bapanya.  Wajahnya dan sifatnya.  Enam tahun bercinta dan 10 bulan lagi waktu kami bersama sebagai suami isteri, saya tidak dapat melupakan kenangan yang manis-manis bersama Ali.  Waktu bersamanya, dia memberikan saya kebahagiaan dan seorang cahaya mata pula.  Saya tidak boleh membencinya."

Mengapa bercerai?

Sharifah tidak terkejut dengan soalan itu, seolah dia tahu, ia pasti ditanya.

"Mampu menulisnya?"  Kenapa tidak?  Kalau saya katakan, ada orang buat aniaya kepada saya dan orang itu juga yang menghalang cinta kami, perkahwinan kami.  Oh Ali, ada ketika dia bukan Ali yang saya kenal.  Ada waktu dia bertindak bukan atas kehendaknya barangkali, bagaikan ada yang merasuk.  Akhirnya saya tidak tahan.  Sebaik cara minta dilepaskan.  Kami bersetuju akhirnya untuk bercerai.  Mungkin dengan tidak duduk sebumbung, berkongsi hidup sebagai suami isteri, ia lebih baik untuk saya dan Aliff.

"Memang sepanjang kes di mahkamah, untuk mendapatkan hak penjagaan anak, saat yang paling menyakitkan.  Hari ini walau Aliff masih belum mengenali sangat ayahnya, tetapi dia tahu, dia punya ayah, dia sayang ayahnya dan dia sanjungi cinta ayahnya dulu dan kini.  Mungkin ayahnya mencintainya daripada jauh, serupa dia.

Lewat tahun lalu, kami anak-beranak pergi umrah.  Saya menghubungi pejabat Ali. Kalau dia ingin melihat Aliff, datanglah, tengoklah anaknya, bercakaplah 'man to man talk'.  Aliff sudah dewasa.  Dia pasti memahami mengapa semua ini boleh terjadi.  Saya selalu doakan Ali anak-beranak bahagia.  Andai yang terjadi yang buruk-buruk kepada Ali, sayalah antara orangnya yang paling sedih."

PERKAHWINAN KEDUA

"Saya tahu, banyak cerita-cerita tidak benar dikhabarkan mengenai hubungan saya dengan DS atau Datuk S.  Siapa beliau?  Betulkah Sharifah Aini berkahwin dengannya atau dia perempuan simpanan DS?  Mengapa saya terus membisu?  Kalau benar saya berkahwin dengan DS, mengapa saya sampai sudah tidak pernah mengenalkan dia kepada masyarakat?  Memang saya tidak pernah mahu dia dikenali.  Dan dia pun tidak pernah mahu mencuri populariti diri saya untuk dirinya.  Untuk apa pun?  Mengapa saya lakukan ini semua?  Tidakkah you ingat, saya juga mahu orang kenal siapa suami saya, dan bersama saya di mana saya berada?  Tidakkah you tahu, semua wanita mahu dipunyai dan mahu orang mengenali suami mereka?  Tetapi situasinya berbeza.  Saya bukan kepunyaannya seorang.  Dia suami kepada dua lagi isteri, seorang Inggeris, seorang Cina.  Saya isteri ketiga.  Bagaimana perasaan mereka?  Anak-anaknya?  Saya celebriti, pasti heboh, dan baiknya apabila didedah-dedahkan?  Mungkin isteri-isterinya marah, anak-anak malu.  Kasihan mereka.  Mengapa perlu saya sakiti hati mereka?  Cara sebaiknya, duduk diam-diam, tutup rapat-rapat. Yang tahu, tahulah, tetapi wartawan, mereka tidak perlu tahu, orang ramai pun untuk apa hendak tahu?

Benar kami bernikah di luar negara.  Alasannya amat jelas, untuk menutup segala rahsia.  Kami bahagia sepanjang tahun-tahun perkahwinan pertama itu.  Namun Tuhan sudah menentukan segala-galanya.  Lewat 1990, lebih kurang lapan tahun bersama, kami bersetuju untuk berpisah.  Pada 1991 kami bercerai dan pada 1992 kami kahwin semula.  Memang waktu tidak bersama, kita terkenang segala-galanya.  Kita teringat kemanisan waktu bersama dan kita cuba lupakan segalanya demi cinta.  Ya ... kami tidak dapat menahan cinta yang lama, ia tetap bersemi.  Ia harus disatukan semula.  Keputusannya, kami berkahwin semula, seramai 150 tetatmu hadir pada majlis perkahwinan kami itu.

Saya tahu ada gosip yang mengatakan, itulah waktunya baru kami betul-betul berkahwin.  Bagi saya, cakaplah apa saja.  Saya tidak boleh menutup mulutorang dan saya pun tidak kuasa hendak menjawab apa-apa.  Saya percaya kepada institusi perkahwinan.  Ia wajib untuk menyatukan dua insan.  DS segala-galanya buat saya.  Dia bapa malah guru, yang mengajar, mendidik dan mendewasakan saya.  Kalau Wirda sekali lagi tanya saya, sama ada saya masih sayangkan dia, jawabnya sudah semestinya.  Cinta kepadanya juga tidak pernah padam, tidak sezarah pun luput daripada ingatan dan tidak akan malap sampai bila-bila, insya-Allah."

MENGAPA BERCERAI?

"Kadang-kadang demi cinta juga kita terpaksa mengalah, kena berkorban.  Demi cinta, kita perlu buat segalanya walaupun pedih dan sengsara rasa di hati.  Selama ini saya banyak beralah.  Saya banyak bersabar dan terlalu banyak berkorban demi sayang saya.  Tetapi tiba satu saat, saya tidak mahu 'scarifice' lagi.  Sudahlah ia terlalu pahit untuk saya menelan dan menanggungnya seorang.  Bayangkanlah sebagai isteri, saya tidak tahu, bila dia akan balik ke rumah.  Esok, lusa atau bila?  Saya tidak tahu bila akan sampai giliran saya bersamanya, seminggu lagi atau sebulan lagi.  Saya tidak tahu berapa hari, sekali sebulan atau tiada langsung.  Ya, saya tidak tahu.  Kerana terlalu menjaga hatinya, saya tidak pernah 'demand' hak saya.  Kerana terlalu kasih kepadanya, saya tidak pernah mencarinya.  Paling lebih, saya cuma memberitahu pemandunya, itu sahaja.  Bila dia ada di rumah, saya layan.  Esok bila dia pergi, saya hanya berdoa dia kembali segera.  Saya menunggu sahaja.

Kalau di Mekah, saya berdoa.  Kalau berpisah sebaiknya, berikan petunjuk di hatinya untuk segera melepaskan saya, untuk merelakan saya hidup sendiri.  Tetapi kalau pula kami memang ditakdirkan selama-lamanya bersama berikan keamanan dan kesenangan di hati saya untuk menerima segala dugaan-Nya.  Alhamdulillah, sekembalinya saya dari umrah, yang dihajat diberkati Allah.  Enam belas tahun bersama, saya membawa kenangan yang amat manis dan akan saya abadikan sampai bila-bila."

KEHIDUPAN SHARIFAH HARI INI

"DS tidak meninggalkan saya sehelai sepinggang.  Selama hidup dengannya pun, saya senang.  Saya tidak perlu pun menyanyi untuk menampung keperluan hidup.  Saya berterima kasih kepada DS ... dia seorang yang amat bertanggungjawab.  Insya-Allah masalah saya di mahkamah mengenai kes bangkrap akan selesai.  Semuanya akan kembali sedia-kala.  Sebenarnya Sharifah Aini, dulu dan hari ini tak banyak beza.  Saya tidak suka keluar.  Kalau tidak penting sangat, saya tidak nampak mengapa perlu berada di situ.  Saya bukan sombong tetapi itulah tabiat saya, lebih senang di rumah.  Orang akan kata, Sharifah Aini kera sumbang pula.  Janganlah menuduh begitu, sebab saya banyak kawan.  Kalau orang ada 'best friend' seorang sahaja, Sharifah Aini ada 23.  Jika jemu sangat di rumah, saya ke rumah teman-teman atau kami ke sebuah tempat hiburan yang saya senangi.  Berkaraoke atau berbual-bual.  Sambil menunjukkan 'patio' .. di belakang rumahnya, di sini saya sering melayan teman-teman."

SHARIFAH AINI INGIN KAHWIN LAGI?

"Kalau ada lelaki sesuai, mengapa tidak?  Jika ada jodoh, saya akan berkahwin lagi.  Tadi saya katakan, saya percaya kepada institusi perkahwinan.  Dan saya tidak mahu ke sana ke mari, keluar dengan orang ini, orang itu ... tak manis.  Anak-anak saya sudah besar, Aliff, 17, masuk 18, Nina, 13, Siti, 11.  Dua lagi anak angkat saya (saya ambil sudah besar) masing-masing 21, 19, kini seorang di Madinah dan seorang lagi di Jordan belajar tahfiz al-Quran.  Sebagai ibu, saya sebaik contoh.  Kalau kehidupan saya tidak stabil, bagaimana saya boleh mendidik mereka menjadi anak yang baik?  Saya bertanggungjawab, lebih-lebih lagi kepada anak-anak angkat ini.  Mereka mengamanahkan kepada saya, dan saya wajib menunaikannya."

"Ada orangnya?  Siapa dan bila?"

Sharifah tersenyum apabila ditanya mengenai itu.  Seketika membisu, kemudian katanya.  "Ada dua di hati saya, seorang jauh lebih muda dan seorang lagi mungkin dialah yang saya pilih.  Apa pula kata anak-anak atau kata orang, kalau saya pilih yang jauh lebih muda?  Bangsa Perancis campur Itali inilah yang menjadi pilihan.  Entahlah Wirda, semenjak akhir-akhir ini saya hilang hati untuk mendampingi orang Melayu.  Bukan saya benci Melayu, (oh tidak, nanti orang Melayu tak beli pula kaset saya) tetapi saya merasakan bangsa asing lebih sesuai.  Tengoklah ada jodoh, kami kahwin dalam masa terdekat ini."

30 TAHUN MENYANYI

Kalau bukan kerana kemampuannya, kehebatan dan penerimaan orang ramai kepada lagu-lagunya, sudah pasti Sharifah Aini tidak mampu bertahan sampai 30 tahun.  Mula menyanyi pada umur 12 tahun, merakamkan lagu pada usia semuda 13 tahun dan sampai kini terus menyanyi dan merakamkan lagu, baru-baru ini mendapat standing ovation, pada konsertnya, ia bukti kecemerlangannya.  Dialah biduanita negara tiada tandingnya setakat ini.  Bercerita lebih lanjut, "Saya mahu kembali cergas dalam dunia seni suara.  Saya mahu melangkah ke peringkat antarabangsa.  Ya, saya boleh ke sana.  Pasti saya boleh.  Kerana tahun ini, genaplah 30 tahun saya dalam dunia seni suara.

Segalanya sudah siap diatur, bulan Oktober tengoklah hasilnya.  Setakat ini empat album akan dilancarkan, satu berbentuk 'compilation', dua semuanya, satu album etnik; memuatkan lagu ghazal, inang, deli dan zapin manakala yang ketiga album bersama-sama artis-artis baru, berduet.  Yang keempat istimewa sekali.  Ia himpunan koleksi ghazal sebagai rujukan untuk generasi akan datang.  Kerana sudah lama dalam dunia ini, saya sudah masak dengan segala-galanya.  Kerana itu saya boleh menangkis fitnah, menolak kezaliman yang dilemparkan kepada saya.  Insya-Allah Sharifah Aini akan terus 'cool' dan sabar menghadapi segala rintangan hidup."

WANITA 30 TAHUN – Apa Katanya?

"Memang WANITA banyak membantu saya sepanjang pembabitan saya dalam dunia seni.  Saya melihat WANITA juga sudah jauh ke hadapan, selaras perkembangan dan kemodenan wanita kita hari ini.  Isu-isu dibentangkan kebelakangan ini cukup memberangsangkan, menggodak minda wanita, mengarah kepada semangat juang kepada wanita di samping tidak melupakan pelbagai kemahuan lain khas wanita.  Yang pastinya WANITA yang ada di tangan saya, setiap bulan kebelakangan ini tidak lagi majalah kampung, ia setaraf majalah wanita antarabangsa.  Syabas WANITA dan Wirda."