'SAYA MAHU LAKUKAN DENGAN PENUH MARUAH' – SHARIFAH AINI

(Sembang-Sembang dengan Kak Lin; URTV, 1 November 2002)

URTV:  Apa khabar kak Ani?  Hebat sekarang dah jadi ahli perniagaan.  Tahniah di atas perkembangan terbaru ni.  Boleh kak Ani ceritakan tentang bidang perniagaan kak Ani tu.  Tentu ramai peminat kak Ani yang nak tahu kan?

Sharifah Aini:  Alhamdulillah!  Kak Ani bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi satu lagi laluan untuk kak Ani mencari rezeki.  Perniagaan yang kak Ani ceburi ini ialah membekal hamper eksklusif untuk dijadikan hadiah sempena meraikan musim-musim tertentu seperti Hari Raya, Krismas, Deepavali, Tahun Baru, Hari Valentine atau apa saja.  Khidmat yang kami buat bukan sekadar menyediakan hamper eksklusif tetapi juga menghantar hamper itu kepada syarikat ke syarikat, firma ataupun korporat.  Kak Ani ada empat ‘florist’ sebab hamper yang kita buat bukan sekadar hamper biasa tetapi dengan iringan bunga atau buah-buahan.  Harga tempahan bermula daripada RM60 sehinggalah beribu-ribu ringgit.  Kita buat juga untuk pakej perkahwinan misalnya menghiasi ‘ballroom’ dengan pelbagai bunga-bungaan.  Kita gunakan produk yang bagus sebab itulah kita beri nama syarikat kita 'Pods & Petals Giftlab'.

URTV:  Nampaknya kak Ani serius dengan perniagaan kak Ani ni.  Apakah kerana ada hasrat untuk berhenti menyanyi?

Sharifah Aini:  Mengundurkan diri daripada dunia seni suara ini bukanlah satu alternative.  Sebenarnya kak Ani terjun ke bidang perniagaan ini secara total dan serius kerana anak-anak kak Ani semua dah besar.  Anak-anak perempuan kak Ani semuanya bersekolah di asrama.  Aliff sekarang berada di Madinah dan anak-anak angkat lelaki semuanya berada di Madinah dan Mekah.  Jadi kak Ani nak memanfaatkan masa yang terluang kepada perkara-perkara yang mendatangkan faedah dan pendapatan yang lumayan sebab kak Ani bukan jenis penyanyi yang suka berlegar dan bersepah yang orang boleh tengok di sana sini atau menghabiskan masa ke hujung ke pangkal … I’m not.  Kak Ani sebenarnya bukan buat persiapan untuk meninggalkan dunia seni cumanya kak Ani ingin mengatur masa yang tertentu.  Kak Ani akan ke pejabat menguruskan bisnes.  Sekarang staf kak Ani ada 12 orang.

URTV:  Kak Ani belum terfikir mengundurkan diri daripada dunia seni?

Sharifah Aini:  Bercakap mengenai pengunduran … memang kak Ani ingin mengundurkan diri daripada dunia seni suara.  Kak Ani rasa tiga tahun lagi kak Ani akan buat persediaan undurkan diri daripada dunia seni suara.  Bukan kerana kak Ani rasa dah tak ada tempat dalam dunia seni.  Kak Ani tahu peminat kak Ani ‘strong’ daripada yang muda sehinggalah ke peringkat yang paling dewasa.

Kak Ani ingin mengundurkan diri kerana kak Ani menghormati pilihan anak kak Ani, Aliff yang sekarang menuntut di Islamic University Madinah Al Munawarah, di Madinah.  Kak Ani tidak mahu sekali-kali anak kak Ani dibebankan dengan berbagai-bagai tohmahan ataupun nanti ada orang yang mengata oh anak belajar agama emak masih menyanyi lagi.  Kita dah tahu pandangan masyarakat kita ni cetek.  Kak Ani tidak takut kritikan masyarakat tapi kak Ani tidak mahu mengecilkan hati anak kak Ani.  Orang nak kata kak Ani katalah tapi … kak Ani tidak mahu sesiapa mencuit anak kak Ani sebab Aliff bukan ‘star’.  Kak Ani bintang tapi anak kak Ani bukan.  Itu sebabnya selama ini kak Ani tak pernah dedahkan anak kak Ani kepada orang luar.  Pada kak Ani ia tak ‘relevan’.  So dalam masa tiga empat tahun insya-Allah kak Ani akan mencecah umur 50 tahun.  Sebenarnya sejak Aliff pergi belajar kak Ani mula rasa segan.  Mungkin itu adalah doa anak kak Ani, Aliff.  Jadi kak Ani adalah di antara ibu yang bertuah mempunyai anak seperti Aliff yang insya-Allah dalam masa tujuh tahun lagi Aliff akan jadi al-hafiz dan dia sekarang mengambil bidang hadis.  Kak Ani menghormati Aliff walaupun dia anak kerana dia anak yang baik.  Kak Ani tidak akan melakukan apa-apa yang akan menjejaskan maruah Aliff.  Memang ini sebenarnya kak Ani lakukan sejak dulu, sebab itu kak Ani jarang mencari publisiti melainkan ada yang mustahak.  Kak Ani pun dah puas dengan publisiti sejak tahun 70an, 80an dan 90an … bayangkan!  Jadi dalam waktu kak Ani sungguh-sungguh dewasa kak Ani tak perlu tercari-cari publisiti, kalau ada perkara mustahak kak Ani akan keluar.  'I will talk about my career, album, now my business.'

URTV:  Apakah Aliff pernah menyuarakan hasratnya agar kak Ani bersara dari menyanyi setelah dia menjadi al-hafiz?

Sharifah Aini:  Aliff adalah anak yang taat.  Dia tidak pernah menyuruh kak Ani membuat pilihan sama ada nak teruskan karier kak Ani kerana Aliff tahu dan dia insaf dia dibesarkan dengan duit seni (menyanyi) dan hasil titik peluh kak Ani selama 35 tahun kak Ani menyanyi.  Dia duduk tempat yang kak Ani sediakan dengan hasil titik peluh kak Ani, jadi dia sendiri insaf dengan keadaan itu.  Rasa kak Ani, Aliff mempunyai kepercayaan yang sangat kuat kepada kak Ani kerana dia tahu kak Ani ibu yang sungguh bertanggungjawab dan dia tahu selain dia, kak Ani mempunyai lapan lagi anak angkat.  Sebab itu Aliff tidak pernah menyuruh kak Ani membuat pilihan.  Kalau kak Ani berhenti, ini kerana keredhaan sendiri, kak Ani akan mengundur diri dengan perasaan yang penuh redha.  Tentang Aliff, rasa kak Ani tidak ada apa-apa masalah kerana kak Ani sedar semasa kak Ani menghantarnya ke Madinah, kak Ani sudah memberitahu Aliff tentang hasrat kak Ani tiga tahun lagi sebab kak Ani masih ada urusan yang belum selesai macam kontrak kak Ani dengan EMI dan undangan menyanyi yang banyak dah kak Ani persetujui.  Maknanya bila kak Ani akan mengundurkan diri kak Ani akan lakukan dengan penuh ‘dignity’, kak Ani akan tinggalkan dunia seni dengan ‘farewell concert, I want to say proper goodbye' kepada semua peminat kak Ani, ucapan terima kasih atas sokongan peminat kerana itu perlu kalau tak ada peminat masakan kak Ani boleh bertahan sampai 35 tahun.

Sharifah Aini - "Kak Ani tidak mahu sekali-kali anak kak Ani dibebankan dengan berbagai-bagai tohmahan ataupun nanti ada orang yang mengata oh anak belajar agama emak masih menyanyi lagi.  Kita dah tahu pandangan masyarakat kita ni cetek.  Kak Ani tidak takut kutukan masyarakat tapi kak Ani tidak mahu mengecilkan hati anak kak Ani." URTV:  Bila Aliff tamat belajar dia akan jadi pendakwah.  Apakah ibu seorang pendakwah tidak boleh jadi penyanyi?

Sharifah Aini:  Ibu pendakwah boleh menjadi penyanyi tapi ini akan menjadi rebut.  Kita tahu masyarakat kita begitu cetek fikiran.  Jadi kak Ani tidak mahu itu menjadi keresahan Aliff.  Kak Ani takut kalau nanti terdengar orang bercakap atau orang akan bertanya pada dia … eh emak engkau menyanyi lagi ke?  So itu akan membuat dia marah … kak Ani tak ndak.  Aliff di sana belajar agama mencari keredhaan Allah, jadi kak Ani ingin melihat Aliff tenang bila dia keluar – mengembangkan syiar Islam mungkin di sini, mungkin di negara-negara lain.  Kak Ani ingin dia melakukan itu dengan penuh khusyuk dan tawaduk dengan fikiran yang tenang.

URTV:  Adakah Aliff yang pilih bidang ini atau kak Ani yang galakkan?

Sharifah Aini:  Kak Ani bukanlah ibu yang paling sempurna dalam dunia.  Kak Ani juga seperti jutaan ibu yang lain tapi rasa kak Ani membesarkan anak dalam iman adalah sesuatu yang mesti dilakukan.  Bila kita mendidik anak mencintai iman, mencintai Allah dan takut kepada hukum-hukum Allah insya-Allah kita akan melahirkan anak-anak yang beriman.  Kak Ani bercakap ni bukanlah ingin menunjuk pandai kak Ani tapi melalui pengalaman kak Ani sebagai ibu.  Jadi semasa kak Ani membesarkan anak-anak kak Ani, kak Ani tidak akan bertolak ansur dengan hukum-hukum Allah, maknanya kalau waktu sembahyang, puasa, waktu belajar fardu ain, waktu belajar hukum alam atau mengaji Quran.  Pada kak Ani tak ada pilihan … itu wajib dan itu adalah tanggungjawab kak Ani sebagai ibu kerana kelak besok kak Ani akan ditanya.   Kita hidup bukannya menongkat langit, kalau kita mati amalan kita putus hanya yang tinggal amalan-amalan yang kita lakukan sewaktu hidup, kebajikan-kebajikan dan doa anak-anak yang soleh.  Jadi bila kak Ani membesarkan anak dalam iman dan mencintai Allah, rasa kak Ani akhirnya dia sendiri akan merasakan yang dia sayang dan dia suka kepada agama Allah.  Kak Ani tidak paksa tapi Aliff yang mudah dilentur dan taat.

URTV:  Pernahkan ke Aliff beritahu kak Ani apa cita-citanya yang sebenar?

Sharifah Aini:  Dia nak jadi doktor … dia selalu cakap masa kecik Aliff nak belah mummy.  Kemudian tak tahu … macam mana ya, mungkin doa kak Ani pada Allah.

URTV:  Berapa umur Aliff sekarang?

Sharifah Aini:  Dia baru masuk 20 tahun.  Kak Ani tak nampak dia liar dan tidak ada tanda-tanda yang membuatkan kak Ani curiga tentang pergaulannya dengan kawan-kawan dia.  Malah kak Ani galakkan kalau dia berkawan bawak datang rumah makan ramai-ramai di rumah.  Kak Ani senang macam tu daripada dia keluar bergaul dengan orang yang bukan-bukan.  Dia suka duduk rumah, kalau dia pergi rumah kawan-kawan pun, kawan-kawan yang kak Ani kenal.  Aliff adalah anak yang manja dan semua orang tahu masa dia pergi belajar di Kelantan bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia sekolah pondok dan tidak semewah apa yang ada di rumah.  Tapi … dia dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan begitu, mandi air perigi dan dia suka.  Lama juga dia di sana hampir dua tahun.  Di situ dia menunjukkan sifat-sifat tawaduk dan merendah diri.  Jadi kak Ani rasa senang hati.

URTV:  Apakah kak Ani tidak merasa sedih terpaksa berjauhan daripada Aliff?

Sharifah Aini:  Dia mencari keredhaan Allah.  Memang kak Ani rasa ‘lonely’ … sangat.  Tapi setiap dua malam sekali atau tiga malam sekali kami bercakap melalui telefon atau SMS ‘each other’.  Dua atau tiga malam sekali tu memang masa untuk menangis.  Tapi kak Ani ingat semula dia berada di tempat yang selamat.  Bayangkan daripada waktu Asar sampai Isyak, dia akan berada di Masjid Nabawi, dia akan berada di Makam Rasulullah.  Itu membuatkan kak Ani senang dan kak Ani tak ada perasaan takut tinggalkan dia di sana di samping kawan yang baik-baik.  Aliff sebenarnya anak yang normal.  Dia perenang yang baik, Aliff suka memanah, dia suka main bola, dia suka main ragbi.  Dia bukanlah asyik menghadap buku agama atau asyik sembahyang.  Dia suka ‘sport’ dia anak yang cergas, dia pandai bersilat, dia habis kursus bersilat dan belajar ‘tae kwan do’.

URTV:  Selepas bersara apa yang kak Ani nak buat?

Sharifah Aini:  Kak Ani akan ‘concentrate’ dalam bisnes.  Setahun mungkin empat lima kali kak Ani akan pergi ‘holiday’ bawa anak-anak.  Kak Ani ingin menikmati suasana hidup yang lebih relaks kalau dibandingkan dengan dunia kak Ani sekarang.  Yelah orang tak suruh kak Ani berkurung tapi kak Ani lakukannya kerana kak Ani sayang sangat karier kak Ani.  Sebab itu kak Ani tak mahu selalu sangat bersepah kerana kalau dah terlalu murah dah tak ada ‘eksklusif’ lagi.  Kalau kita senang dilihat di mana-mana … namanya bintang, kalau bintang tu senang dilihat di mana-mana dah tak ada harga lagi.  Jadi dalam tempoh tiga tahun lagi saya akan bebas.  Kak Ani tak payah risau orang nak tengok … tengoklah, ‘I’m a business woman at that time I’m not an artist’.

Antara hamper hasil sentuhan kreativiti Sharifah AiniURTV:  Bila keluar cerita artis berniaga selalunya orang beranggapan artis digunakan oleh syarikat berkenaan untuk meraih publisiti.  Begitu juga bila kak Ani mengatakan menjadi rakan kongsi dalam perniagaan, ramai yang meraguinya.  Betul ke kak Ani memang ada ‘share’ dalam syarikat ini atau dipergunakan oleh mereka?

Sharifah Aini:  Tak … kita mempunyai ‘equal share’ dan insya-Allah tahun depan kita akan mempunyai seorang lagi partner, so kita ada dua Melayu.  'So at the moment' kita bertiga keluar RM166,000 so bertiga ni ada hamper RM500,000 modal berbayar dan insya-Allah kita akan up-date lagi modal berbayar kita.

Rasa kak Ani kalau soal mempergunakan … kita tidak mempergunakan sesiapa.  Kak Ani banyak contact … ok fine, what about dia orang pulak.  Kak Ani juga gunakan dia orang untuk ‘running the business’ kerana dia orang pakar dalam soal bisnes.  Kak Ani tak rasakan apa yang dia orang boleh lakukan kak Ani tak boleh lakukan, begitu juga sebaliknya sebenarnya ‘it’s a very good combination between me and my partners'.  Pengurus jualan pula kita gajikan orang lain untuk melakukannya dan dia memang bagus.  Macam Jason (salah seorang partner), kak Ani dah kenal lama dan kak Ani menaruh penuh kepercayaan padanya walaupun dia berbangsa Cina tetapi dia seorang yang amanah.  Kak Ani pun dah banyak kena tipu dengan orang kita juga … so apa bezanya?  Kak Ani menyanyi kena tipu, tak bayar, cek melambung … macam-macam perangai.  Orang yang kita anggap macam adik akhirnya menipu kita beratus ribu ringgit.  Kak Ani dah kena ni semua dan ini berlaku pada tahun 1998.  Pada kak Ani kita kena belajar mempercayai orang, semua bisnes ada risk, kalau takut nak mengambil risiko tak usah buat bisness.  Pada kak Ani apa saja orang nak kata … katalah.

URTV:  So, kak Ani kata dalam masa tiga tahun ini kak Ani akan selesaikan semua komitment yang telah kak Ani persetujui seperti dinner show dan buat album, lepas tu terus noktah pada dunia senilah?

Sharifah Aini:  Actually 2006.  Melainkan kalau ada betul-betul satu ‘big event’ yang memerlukan kemunculan kak Ani dan ianya berbaloi dan membuatkan kak Ani rasa ia akan menghilangkan rasa rindu para peminat pada kak Ani … 'I will go'.

URTV:  Setelah 35 tahun menyanyi kak Ani akan tinggalkan dunia seni kak Ani tak rasa kehilangan sesuatu ke?

Sharifah Aini:  ‘That’s why’ kak Ani buat bisnes kerana akan menghabiskan masa dengan dunia perniagaan.  Insya-Allah kalau bisnes ni berjaya, kak Ani akan banyak 'travel' ke luar negara untuk mencari 'supplier'.  'Maybe I will busy going to Europe', Amerika … kerana 'marketing' kita dah buat kajian insya-Allah pada tahun 2004 kita akan menyaksikan pulangan RMM6.8 juta dalam perniagaan ini.  Ini bukan satu perniagaan yang kecil, kak Ani ingin melihat ianya progres menjadi satu nama 'Pods & Petals & Giflab'.