SHARIFAH AINI: "SAYA TAK MAMPU PUNYA KEKASIH" oleh Bahyah Mahmood (URTV, 15 September 1976) |
Sampai sekarang pun Sharifah Aini masih di London lagi. Minggu depan pulanglah dia, kerana Ani pernah menyatakan dia akan kembali berhari raya di tempat sendiri – akan pulang ke Johor Bahru, menziarahi pusara ibunya.
Sebelum ini Sharifah Aini pernah ke London, tapi pemergiannya kali ini bukan untuk makan angin atapun untuk berseronok-seronok sahaja, "Pemergian Ani kali ini ada hubungannya dengan karier Ani sebagai penyanyi," ujarnya serius. Akhir-akhir ini nampaknya Sharifah Aini senantiasa memikirkan hari depannya, "Apalah yang akan terjadi pada diri Ani nanti? Apakah selama-lama Ani hanya menjadi penyanyi seperti sekarang ini," tanyanya lagi meragukan hari depannya. Cita-citanya tinggi melangit, alang-alang menjadi penyanyi, Sharifah Aini ingin mencapai ke taraf yang dapat menjamin hidupnya di masa depan. Sharifah Aini ingin hidup mewah seperti penyanyi-penyanyi barat ... "Kalau penyanyi-penyanyi barat boleh buat harta, mengapa kita tidak boleh?" Itulah yang menyedarkan Sharifah Aini dan itulah sebabnya dia ingin melengkapkan dirinya sebagai penyanyi antarabangsa. Sharifah Aini ke London untuk meninjau kelas-kelas yang melatih bakal penyanyi-penyanyi professional di Germany. Pemergiannya kali ini bagi menentukan tarikh untuk menjalani latihan itu. Bila tarikhnya sudah ditentukan nanti, dia akan pulang dulu ke tanahair dan kemudian akan pergi semula untuk menyertai kelas tersebut yang akan memakan masa selama dua tahun. Kata Ani, bermacam-macam perkara akan diajar di kelas ini, antaranya; Showmanship, tari menari. Bagaimanapun seorang penyanyi harus berdepan dengan penonton-penontonnya, apa yang akan dibualkan? Bagaimana seorang penyanyi harus berjalan di stage? Pakaian bagaimana yang sesuai untuk menyanyi? Kursus ini juga akan menunjukkan cara-cara bersolek, cara mendandan rambut, cara menjaga kecantikan dan apa saja yang diperlukan oleh seorang penyanyi dunia. Memanglah bukan semudah itu untuk menjadi penyanyi professional dan bukan mudah untuk menjadi seorang penghibur yang baik. Selesai menjalani latihan, tiap penyanyi akan dihantar ke seluruh tempat penghibur di Eropah untuk menjalani latihan praktikalnya pula. Di sini nanti tiap penyanyi akan menunjukkan talentnya – sejam jadi penghibur - menyanyi, menari, berbual mesra dan apa saja untuk menghiburkan penonton. Ujian ini akan diberi markah. Menurut Ani lagi, untuk mengikuti kursus ini, memerlukan perbelanjaan yang terlalu banyak, lebih dari $50,000/- untuk jangkamasa dua tahun, termasuk tempat tinggal, makan dan keperluan lain. Bagaimanapun, sementara usia masih muda, kata Sharifah Aini dia tidak mahu melepaskan peluang ini, "Sambil menjalani latihan, Ani akan mencari kerja-kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan yang mahal ini. "Inilah masanya Ani patut melengkapkan diri, kalau ditangguh-tangguh nanti takut terlambat pula ..."
Untuk meneruskan cita-citanya terus terang kata Sharifah Aini, dia belum bersedia untuk mendirikan rumahtangga, "Buat masa ini Ani tak mampu memiliki kekasih, kerana Ani takut nanti orang yang Ani kasihi itu cuba menghalang karier Ani," katanya tersenyum manja. "Lagipun kebanyakan lelaki yang Ani jumpa, belum kahwin lagi dah nak cemburu yang bukan-bukan, hinggakan nak pergi menyanyi pun susah! "Lainlah kalau dah kahwin, dah tentu ada surat nikah," ujarnya lagi sambil menjeling manja. "Lagipun dalam keadaan sekarang ini nampaknya susah hendak menemui lelaki yang benar-benar jujur, malahan kebanyakan mereka hanya ingin mengambil kesempatan saja ..." Sambil menghela nafas panjang, kata Sharifah Aini dia tidak tau sampai bila dia akan menemui lelaki yang benar-benar mencintainya, yang benar-benar mengasihinya sebagai seorang wanita biasa, bukan mencintainya kerana dia Sharifah Aini - kerana dia penyanyi terkenal ... |