SHARIFAH AINI "PENCINTA BERLIAN"

oleh Muzlina Abu Bakar  (URTV, 1 Februari 1993)

Di kalangan wartawan hiburan, biduanita evergreen Sharifah Aini memang sudah dikenali sebagai 'Elizabeth Taylor Malaysia'.   Gelaran itu diberikan oleh kalangan wartawan bukan saja kerana kejelitaannya dan kemontokan serta keseksian bentuk tubuhnya, malah yang lebih nyata dia adalah penyanyi yang sukakan barangan perhiasan berlian.

Ini amat mengesankan lagi bilamana sebuah syarikat emas permata yang mengundang biduanita evergreen itu untuk merasmikan rekacipta kalung termahal di Malaysia yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka baru baru ini.

Sharifah Aini yang kelihatan jelita dengan kebaya moden merah jambunya tampak lebih anggun bilamana seutas kalung bernilai RM1 juta yang akan dipamerkan di pameran emas di Genting Highland tidak lama lagi menghiasi lehernya.

Kalung tersebut yang direka cipta untuk pameran itu adalah yang paling mahal dan dibuat dengan emas tulin dan ‘blue sapphire’ yang direka cipta menjadi peta dunia.

Sharifah Aini yang diberi penghormatan merasmikan rekacipta kalung tersebut dan memakainya buat seketika tersenyum mesra bilamana dikerumuni oleh para wartawan yang bertanyakan mengenai gelaran 'Elizabeth Taylor Malaysia' yang diterimanya itu bagaikan sebuah kenyataan.

Dengan ketawa manja, Sharifah Aini berkata, "Eeh … ni bukan Kak Ani punya, ia cuma dirasmikan dan Kak Ani diberi penghormatan memakainya buat seketika.  Manakan sama dengan Elizabeth Taylor yang memang terkenal dengan kekayaannya dan emas permatanya," kata Sharifah Aini merendah diri.

Biarpun Sharifah Aini sentiasa mengelak bila ditanyakan gelaran itu, tetapi sememangnya dia layak menerima penghormatan berkenaan kerana setelah lebih 20 tahun menceburi bidang senisuara, Sharifah Aini masih dapat bertahan di tahtanya dengan kemerduan suara dan sikap ramah tamah di samping menghargai para wartawan yang selama ini turut membantu popularitinya.

"Kak Ani harap, tahun 1993 akan memberi sinar yang lebih terang untuk Kak Ani melayari hidup sebagai penyanyi dan juga isteri serta ibu, tapi … Kak Ani tetap memerlukan sokongan moral para peminat dan wartawan semua," kata Sharifah Aini.