Arkib Artikel                 

SHARIFAH AINI MENANGIS TERKENANG ARWAH EMAK & ABAH

oleh Huzz (URTV, 1 Februari 1996)

Sharifah Aini tiba-tiba menangis di satu petang teringat-ingatkan sangat arwah datuk dan neneknya.  Matanya yang cantik tu menjadi bengkak bila dia menyambut Huzz datang ke rumahnya.  "Tak adalah Huzz, bila terbayangkan wajah mereka, sayu dan hibanya hati ini, sebak menjadi-jadi ..." katanya.  Katanya sewaktu hayat mereka dulu dia tak melupakan kedua-dua orang tua yang tersayang itu.  Kalau beraya mesti dia pulang ke Johor Bahru untuk bersama mereka.  "Arwah nenek meninggal dah lama, arwah datuk pula baru beberapa tahun sudah.  Kak Aini panggil keduanya abah dan emak," katanya.  "Kini hanyalah doa saja menghubungkan cinta kami ini."

Waktu berbual dengannya airmatanya bergenang.  Sharifah Aini mengatakan, "Teringat dulu, sejak kecil sampailah ke saat menjadi penyanyi merekalah yang bersusah payah.  Merekalah yang menghidupkan Kak Aini dari satu kematian yang hampir," katanya yang dipungut semula oleh arwah datuknya dalam keadaan berkudis buta ketika dia diserahkan oleh orang tua asalnya kepada sebuah keluarga Cina di Singapura.  Pun begitu Kak Aini tak bermusuh dengan kedua ibu bapa Kak Aini.  Sebagai anak, kita bersabar dan menghormati mereka," katanya yang sudah melupakan segala kisah lama yang menyakitinya.  Padanya kehidupan sekarang yang dilewati semakin memutikkan kebahagian.

Sharifah Aini mengakui semenjak kedua datuk dan neneknya (arwah Syed Sahil Ali dan Tengku Wan Mariam bte Tahir) meninggal dunia, hari raya yang datang sering menyebakkan hatinya.  "Kadangkala tu sambil memandu kereta, kak Aini menangis juga.  Terbayang-bayang mereka depan mata.  Dulu kami sama-sama hidup susah, bila kehidupan Kak Aini dah senang, mereka pula tidak dapat menikmati segala ini."  Dalam pada itu Sharifah Aini berpesan kepada anak-anak yang sudah lama tidak pulang ke kampung menjenguk datuk dan nenek, ibu dan ayah agar jangan lupa hari raya ini untuk bertandang pulang.  Bagi yang masih ada kedua orang tua, pergilah jengkuk mereka di pagi raya ini.

DULU BAJU BERTAMPAL, SEKARANG BERGEMERLAPAN

Ada seorang teman mengadu pada Huzz, dulu di kampung baju raya Sharifah Aini taklah sehebat hari ini.  Malah waktu dia menjual suaranya 'menjaja' kuih, bajunya dijahit bertampal.  "Betul tu ... siapa yang cerita kat Huzz?".  Kalau orang kampung Kak Aini memanglah tahu.  Tapi Kak Aini bahagia kerana masa itu diajar mengenal dunia, belajar untuk berusaha dan bila Kak Aini senang begini tak pernah lupa pada kehidupan begitu.  Arwah emak memang pembersih, dapur kayu jangan dicari habuk pun.  Sebab tu sekarang Kak Aini suka kebersihan dan rumah yang kemas dan cantik.  Kak Aini dulu buat semua kerja rumah.  Menggiling cili dengan batu giling.  Bukan macam budak sekarang, semuanya main mesin.  Kedua orang tua Kak Aini itu bersusah payah memberikan sinar hidup ini pada Kak Aini agar Kak Aini dapat menjadi insan yang mengerti soal hidup.  Jasa mereka tidak dapat dibalas walaupun setempayan emas." katanya.

BERAYA DENGAN ANAK BERANAK

Ke mana raya nanti?

"Ke mana lagi, kalau tak di Johor dan Kuala Lumpur.  Tentulah dengan keluarga yang ada sekarang.  Kami anak beranak beraya di Kuala Lumpur, kalau tidak di bulan puasa, Kak Aini mungkin ke pusara dalam musim raya jika pulang ke Johor.  Anak-anaknya Aliff, Nina dan Siti memang seronok kalau dapat beraya di rumah dengan ibunya.  Mereka tu manja dengan adik angkat kak Aini, Hasanah.  Kadangkala berbuka di rumah mak angkatnya kalau tidak di rumah kak Aini."

Jadualnya selepas berbuka mestilah bersolat sama.  Selepas itu mesti mengaji.  Sharifah Aini mahu amalan agama diutamakan supaya anak-anak tidak membesar dengan kehidupan yang condong tanpa pegangan agama.  "Kalau ada pegangan agama bila kita jadi penyanyi ke pemuzik ke, kita tak akan lupa pada Allah yang satu.  Itulah kehidupan yang Kak Aini mahu pada anak-anak.  Tapi nampak gaya mereka tak minat menggantikan tempat Kak Aini."

Aliff pun sekarang sudah tidak berminat dengan publisiti.  Jenuh memujuknya berfoto.  Aliff mahu kehidupannya terasing dari dunia publisiti walaupun dia anak kepada Sharifah Aini dan Ali Bakar (bekas suami kak Pah) yang masih mengendalikan Box Office Malaysia.  "Tapi dialah permata hati Kak Aini, mimpi Kak Aini ialah mahu melihat anak-anak pandai dalam soal agama dan belajar sampai ke luar negara.  Dulu Kak Aini anak tunggal jadi usahlah Aliff pun membesar sebagai anak tunggal tanpa adik beradik lain."

'SEKSA' DAN KONSERT MEMBAWA KEGEMILANGAN SHARIFAH AINI

Lagu Seksa ciptaan Saari Amri telah mengangkat semula nama Sharifah Aini apabila persembahannya mendapat pujian bila dinyanyikan semula sempena album konsertnya November lalu.  Lagu itu yang disusun semula muziknya oleh S Atan ternyata cukup serasi dengan suara Sharifah Aini.  Ternyata bila 'orang lama' mengambil alih dalam lagu itu, kelunakannya dan kehebatannya terus berkilauan.  "Kak Aini akan kembali dengan konsert kedua Jun nanti.  Itu pun kalau tak ada aral melintang.  Kak Aini mungkin akan persembahkan banyak lagi lagu yang hits," katanya.