SHARIFAH AINI MASUK STUDIO oleh Saadah Salleh (URTV, 1 Februari 1983) |
BANYAK PERISTIWA TERJADI SEPANJANG RAKAMAN ALBUMNYA KALI INI Suara Sharifah Aini akan berkumandang lagi dengan lagu-lagu baru kira-kira dalam bulan ini setelah beberapa kali 'tergendala' kerana sebab-sebab tertentu sejak mula rancangan dibuat untuk mengeluarkan albumnya yang terbaru. Rakaman kali ini bermula di Singapura tetapi berakhir di Kuala Lumpur, malahan ini adalah kali pertama Sharifah membuat rakaman di sini semenjak 'establish' sebagai penyanyi bersuara emas! Selalunya Sharifah yang terpaksa terbang ke Singapura untuk 'menghadap' penerbit, tetapi kali ini giliran penerbit pula datang kepada Sharifah dan perkara ini tidak mustahil lagi kerana kemudahan di studio Rediffusion sudah menyamai studio EMI di Singapura. Memang banyak 'peristiwa' yang terjadi sepanjang rakaman album Sharifah kali ini. Penerbit, S Atan telah didatangkan khas untuk menghabiskan rakamannya kali ini. Malam pertama, hanya satu lagu sahaja yang sempat dirakamkan kerana Sharifah Aini tidak tahan kepanasan akibat kerosakan hawa dingin. Malam kedua tidak banyak gangguan, tetapi melihatkan kerja-kerja rakaman tersebut membuat wartawan-wartawan buka mata terhadap sulitnya usaha mengeluarkan album. Bila melihat Sharifah terpaksa berulang-ulang menyanyikan lagu yang sama sampai timbul rasa jemu dihati orang yang mendengar, ada pula wartawan yang menyuarakan 'kejahilan' mereka terhadap cara-cara rakaman. "Itulah, kamu semua ingat senang nak buat rakaman," kata Sharifah. "Saya kena ulang berkali-kali bukan kerana tak sedap atau salah dan sebagainya tetapi kami ingin mencapai kesempurnaan maksima sebelum kami berpuashati. Kemudian penerbit S Atan menyampuk, "bila lagu keluar, kamu semua hanya tahu membuat kritik, kalau kritik yang jelas tak mengapa!" "Saya menyanyi berulangkali sebelum rakaman dibuat untuk mendapatkan mood atau menjiwai lagu-lagu yang ingin saya nyanyikan dan juga untuk lebih mesra dengan muziknya," jelas Sharifah lagi. Seterusnya Sharifah menyuarakan kesulitan-kesulitan yang harus disedarinya. Katanya, dia dianggap sudah berada 'di atas' dan untuk kekal di atas sebenarnya lebih sukar dari usaha-usaha untuk sampai ke atas! Sharifah yang sudah enam belas tahun menyanyi, walau bagaimanapun tidak mahu menunggu sampai dia 'jatuh tersungkur'. Imej baru yang ingin Sharifah wujudkan di hari kemudiannya atau di hari tuanya adalah untuk menjadi seorang penyanyi yang dihormati, bukan seorang penyanyi yang jatuh dari kemuncaknya dan dilupakan begitu saja. Kehormatan diri menjadi perkara yang penting bagi Sharifah dan merasa sedih bila artis luar datang dan menghina artis-artis tempatan walaupun ada kata-kata mereka yang benar. Sebagai seorang artis, Sharifah turut terasa kerana katanya bagai menucbit peha kiri, peha kanan terasa juga, apalagi dia juga adalah seorang artis. Satu lagi perkara yang dikesalkan oleh Sharifah ialah artis-artis baru ramai yang tidak bertahan lama. Selepas sebuah dua album mereka keluar, mereka menghilangkan diri, kalau nasib baik boleh juga kembali, kalau tidak terbuang sahaja bakat yang ada. Setakat ini Sharifah masih belum puas - "Siapa yang pernah puas," katanya - dan satu lagi cita-citanya yang tersimpan di hatinya ialah menerbitkan albumnya sendiri. Buat masa ini, Sharifah sedang belajar main organ untuk mengenal note dan sebagainya dan pendengaran yang tajam akibat penglibatannya yang begitu lama dalam seni suara akan membantunya lagi untuk mencapai cita-citanya. Melihat gaya dan cara Sharifah semasa rakamannya, memang Sharifah hanya perlu mengenali muzik dari segi teknikalnya sahaja untuk membekalkan dirinya sebelum menjadi penerbit albumnya sendiri. Bagi kita yang tidak medalami muzik, kita mungkin menghadapi kesulitan mendengar kesilapan-kesilapan yang halus tetapi seorang penyanyi harus dapat mengenalnya dan Sharifah membuktikan kematangannya dengan menyedari kesilapan-kesilapannya. |