SHARIFAH AINI MASUK KAMPUNG

oleh Huzz  (URTV: 15 September 2000)

Sharifah Aini Masuk KampungSetelah 20 tahun lamanya tak masuk menyanyi di kampung atau ceruk pekan yang jauh dari bandaraya Kuala Lumpur, akhirnya biduanita Sharifah Aini kembali beraksi di pekan Sabak Bernam, Kuala Selangor pada pertengahan Ogos lalu.  Pastinya ramai peminat terkejut macam mana Kak Pah boleh muncul menyanyi di sana?  Sebenarnya ajakan majalah URTV untuk dia menyanyi bersama ramai artis di pekan Sabak Bernam Kuala Selangor sempena Ekspo TMS 2000 anjuran Gelombang K3P Sabak Bernam dan URTV Ogos lalu telah menarik minat Sharifah Aini.

Katanya, "Dah lama tak menyanyi di tempat macam tu."  Justru sepanjang perjalanan dari KL ke Sabak Bernam, yang memakan masa tiga jam, Sharifah Aini yang baru keluar hospital kerana demam teruk dan batuk-batuk, begitu gembira melihat pemandangan perkampungan di kanan dan kiri jalan yang disusuri oleh kenderaan yang dinaikinya.  "Rasa seronok pula berjalan ke Sabak Bernam ni.  Tengok rumah-rumah kampung di kanan dan kiri jalan serta pokok kelapa yang melambai-lambai tu mengingatkan nostalgia kenangan lalu."  Bila sudah sampai ke pekan Sabak Bernam untuk mengadakan persembahan ... Sharifah Aini semacam panik melihat ramai peminat berebut datang ke kenderaan Pajero yang membawa saya, Sharifah Aini, pengawai rakaman EMI Malaysia dan wartawan Rosli Manah pada hari itu.

"Aduh ... meriahnya," kata Sharifah Aini tersenyum.  Sebaik melangkah keluar dari Pajero, Sharifah Aini disambut riuh-rendah oleh peminatnya yang rupanya sudah sedia menunggu kehadirannya.  Dengan senyuman dan lambaian dan diiringai oleh beberapa anggota keselamatan RELA yang bertugas petang itu, Sharifah Aini dibawa masuk ke dalam sebuah bas persiaran berhawa dingin.  Bas ini memang disediakan khas untuk artis menunggu giliran mereka naik ke pentas.  Di dalam bas, Sharifah Aini bersalam-salaman dengan semua artis yang ada.

"Hai ... lama tak menyanyi kat tempat macam ni.  Dulu saya biasa redah fun fair dan pentas-pentas comel macam ni.  Teringat dulu menyanyi macam ni siap usung duit syiling bawa balik.  Yelah, bila menyanyi di fun fair taukenya bayar dengan duit syiling hasil dari kutipan jualan tiket masuk ke fun fair tu.  Yang nak mengusungnyalah penat pula bawa balik duit tu.  Dulu pun saya pernah pergi menyanyi naik bas.  Taklah besar macam ni.  Kalau nak bersolek tu kenalah bersolek dalam bas atau kereta yang kami (artis sezamannya dulu) naik.  Mekaplah pakai cermin kecil.  Bila dan naik atas pentas baru tahu rupa muka akibat mekap tak cukup lampu", katanya ketawa besar.

Walau di atas pentas yang tak besar mana, petang itu Sharifah Aini yang baru keluar dari hospital kerana deman teruk gembira bertemu ramai artis baru yang sama-sama menyanyi dengannya.  Dengan dikeliling oleh ratusan peminat dan sesekali disapa asap debu, biduanita popular ini terus tersenyum menyampaikan empat buah lagu dari album terbarunya.  Antaranya - Seribu Mawar, Nour El Ain, Aku Sayang Padamu.  Habis saja menyanyi dia dikelilingi oleh ramai peminatnya yang mahukan dia menurunkan tandatangan pada majalah URTV.  Ada juga yang memintanya menandatangani kaset dan CD terbarunya yang turut dijual oleh pihak EMI Malaysia petang itu.  Laku macam pisang goreng panas!

Walau bahang panas membakar kulit, Sharifah Aini masih mampu tersenyum menyanggulkan rambutnya yang panjang mengerbang duduk di belakang pentas melayan permintaan peminat.  Tidak habis peminat menyerbu di situ, dia kemudian diserbu di meja makan di kedai makan berdekatan yang menyediakan jamuan untuk artis.  Ada mahu bergambar.  Peminat perempuan terdiri daripada makcik-makcik dan gadis remaja datang kepadanya dan memeluk ciumnya dan Sharifah Aini nampak semacam terkejut besar dengan sambutan meriah peminat-peminatnya itu.

"Huh saya rasa terharu dengan sambutan peminat ... teringat begitulah dulu masa turun menyanyi di tempat yang jauh begini, peminat memberi sambutan yang sungguh meriah!  Kalau ada undangan menyanyi ke tempat begini lagi beritahulah, saya  insyaAllah tak akan menolak," katanya.