SHARIFAH AINI INGIN JADI PENYANYI SEPANJANG ZAMAN

oleh Wartawan URTV  (URTV: 1 Julai 1978)

Sharifah Aini Ingin Jadi Penyanyi Sepanjang ZamanPada Julai 1978 - genap 25 tahun umur SHARIFAH AINI yang masa ini dikenali sebagai penyanyi paling top punya kedudukan tinggi, punya pendapatan lumayan, lantaran Aini adalah satu-satunya penyanyi yang dibayar mahal.  Teman-teman penyanyi lain sangat menghormati Sharifah Aini kerana kedudukannya yang tinggi, punya rumah cantik dengan perhiasan yang tersusun rapi dan punya kereta besar berhawa dingin.

Aini tidak pernah terfikir dia dapat mengecap kemewahan seperti di saat ini.  Ia dilahirkan dari keluarga miskin, "Abah Ani hanyalah seorang pemandu teksi!", ujarnya dengan wajah tenang.  Dan sambil tersenyum-senyum Aini menambah ceritanya lagi, "Abah Ani punya 4 isteri ... dan Ani adalah anak dari isteri yang kedua, hanya Ani seorang, tunggal - walaupun pada lahirnya Ani mempunyai 8 orang adik-beradik," katanya sungguh-sungguh.    

Aini masih ingat lagi, kerana kesempitan hidup, di zaman gadis sunti dulu dia selalu disuruh oleh jiran-jiran menggiling cili, tegasnya dia mengambil upah menggiling cili.  Bukan itu saja, kadangkala dia menjual nangka, lantaran nangka keliling rumahnya sering berbuah, tak terhabis untuk dimakan.  Dan yang paling tidak dapat dilupakan oleh Sharifah Aini, ketika itu dia begitu rajin menjahit baju kurung dan memamg pakar menjahit leher baju kurung yang disebut jahitan 'tulang belut'.  "Sampai sekarang Ani tak dapat melupakan kehidupan Ani dulu-dulu ... kadangkala Ani tersenyum sendirian! ... rupanya kehidupan manusia berputar seperti roda!" ujarnya lagi dengan senyum.

Sebenarnya penglibatan Sharifah Aini dalam dunia seni, sebesar hama pun tidak direstui oleh keluarganya yang terlalu fanatik terhadap agama.  Mereka mahu Aini terkenal sebagai 'qariah' yang mewakili negeri Johor ke pertandingan Quran peringkat kebangsaan yang kemudiannya berjaya pula menyandang juara Qariah Antarabangsa.  Sharifah Aini mesti terkenal sebagai 'qariah' bukan sebagai 'Biduanita Pujaan Ramai' yang mencari rezeki dengan melalak-lalak menyanyi dan berarak dari pentas ke pentas. 

Tetapi dalam keadaan yang sangat terkawal itu Aini tidak terdaya menahan api seni yang semakin membara dalam jiwanya,  Bila Radio TV Singapura (RTS) menganjurkan peraduan Talentime di pertengahan tahun enam puluhan, perasaan Aini melonjak-lonjak ingin menguji bakatnya dalam peraduan menyanyi itu ... dan dengan hati yang nekad Aini telah mencuri duit abahnya sebanyak $2.00 sebagai tambang untuk pergi ke Singapura.  Bapanya marah meluap-luap, katanya Aini sudah melampau, sudah pandai mencuri dan sudah berani keluar rumah tanpa izinnya, apalagi sepulangnya dia dari Singapura, Aini dibelasah oleh bapanya sampai lebam-lebam.

Namun dari tubuh yang selalu dipukul bantai itu, Aini terus juga menyanyi secara mencuri-curi.  Aini sendiri tidak menyangka namanya telah diumumkan sebagai juara telentime RTS di tahun itu, dan sejak dari tarikh itu dia telah menjadi rebutan para penganjur pertunjukan-pertunjukan pentas dengan bayaran antara $10.00 hingga $25.00.  Bayaran sebanyak itu memang tidak cukup untuk membeli pakaian, pendekata di mana-mana ia menyanyi, Sharifah Aini asyik memakai baju itu-itu juga.  "Maklumlah duit tak ada, jadi terpaksalah pakai baju yang tahan kotor yang warnanya merah, kasutnya hijau ... haa, belum tau fesyen lagi".  Kisah ini sudah 10 tahun berlalu. "Tapi kadangkala terasa baru semalam berlakunya ..." kata Sharifah Aini dengan senyum manis.

Yang menajadi kenyatan saat ini, segala-galanya sudah berubah ... jauh perubahannya Sharifah Aini dulu dengan Sharifah Aini sekarang.  Abahnya yang dulu menjadi pemandu teksi hingga ke saat ini masih terus memandu teksi tapi teksi miliknya sendiri, hasil titik peluh Aini melalak ke sana ke mari.  Sharifah Aini yang dilahirkan dari keluarga miskin itu tidak pula 'tamak'.  Hasil titik peluhnya menyanyi, Aini telah membelikan abahnya teksi, mencantikkan rumahnya di Johor Bahru dan menanggung adik-adiknya yang ramai yang masih di bangku sekolah dan seorang dua sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur.

"Ani penuh yakin, 'berkat' rezeki yang kita dapat itu kita bahagi-bahagikan kepada keluarga yang memerlukan, apalagi mereka itu adalah adik-adik Ani sendiri," ujarnya dengan penuh sedar.  Aini tidak suka menabur wang tidak tentu arah lantaran dia sudah merasakan betapa susahnya ia mencari wang, terkejar-kejar dari pentas ke pentas - hari ini ke Kedah, esok terpaksa pula ke Pantai Timur, kemudian ke Selatan.  Pendekata untuk mengejar wang penyanyi-penyanyi seperti dia terpaksa bersengkang mata.

Kini keluarganya dapat juga bernaung di bawah pohon yang rimbun ini berkat dari perangai Aini yang degil dan keras hati yang mana perangai ini memang terdapat pada wanita-wanita yang bernaung di bawah zodiak 'Cancer'.  Tapi wanita 'Cancer' jiwanya terlalu sensiitif - mudah tersinggung, mudah merajuk ... Begitulah Aini memang kuat merajuk, mendengar fitnah ... mendengar gosip dia akan bermenung sampai berhari-hari.  Begitu pun, ada sesuatu yang dapat dibanggakan pada Sharifah Aini.  Dari hati yang keras dan sikapnya yang degil itu, Aini tidak mudah untuk menyembah dan melutut pada lelaki yang mempermainkan cintanya.

Kalau hendak dikira sampaikan sudah tidak terkira, entah sudah berapa kali dia gagal dan tersungkur di dunia percintaan.  Tapi semuanya itu dihadapinya dengan perasaan tabah, tidak pernah jatuh sakit dan merana akibat gagal dalam percintaan.  Dari kegagalan yang ditempoh berkali-kali itu, membuat Sharifah Aini tidak begitu mempedulikan sangat soal kahwin, "Kalau nak kahwin, bila bila pun boleh kahwin!" ujarnya sambil ketawa bergurau.  "Ani akan berjuang terus di dunia seni ... biarlah Ani menjadi hamba seni dan hidup terus sebagai PENYANYI SEPANJANG ZAMAN."