SHARIFAH AINI DAPAT ANUGERAH BULUH PERINDU

oleh Nafsiah Jani & Huzz  (URTV, 1 September 2000)

Beberapa hari selepas habis saja rakaman klip video, Sharifah Aini yang belum habis berehat kerana selesema sudah berada di beberapa tempat untuk promosi album.  Kemudian dia muncul pula menyanyi di Majlis Gemilang Nona Roguy di Hotel Pan Pacific Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2000.

Sharifah Aini yang tidak sihat muncul dengan baju serba hitam menyampaikan lima buah lagu.  Tetapi atur cara petang itu yang membuat dia sebak dan terkejut bila tiba-tiba selepas saja habis menyanyi, dia diminta naik semula ke pentas untuk menerima Anugerah Buluh Perindu.  Anugerah berupa trofi kristal disampaikan oleh Tan Sri Datuk Syed Agil Barakbah ayahanda kepada penyanyi Syed Anaz.  Pengurus besar Nona Roguy iaitu kakak kepada Syed Anaz, Datin Sharifah Anisah menyaksikan acara penyampaian anugerah itu.  Seramai 100,000 ahli Nona Roguy (di Malaysia, Singapura,, Brunei) telah memilih nama Sharifah Aini di anatara beberapa nama artis lain yang dicalonkan untuk anugerah ini.  Kata Datin Anisah, "Bukan kerana lamanya dia bertahan, tapi kerana suaranya tersendiri, tidak ada penyanyi lain boleh meniru dan menyamainya.  Sesuailah dia dengan anugerah ini.  Kami akan terus memberikan perhatian pada insan seni untuk empat atau lima tahun lagi bagi anugerah serupa, Sharifah Aini mendahuluinya!"

Sharifah Aini mengakui, "Saya amat sedih dan sebak kerana diberikan anugerah ini.  Tahun ini macam tahun saya pula sebab saya mula diberi anugerah setelah 31 tahun menyanyi.  Awal tahun dapat Anugerah Seri Wirama AIM dan kemudian pertengahan tahun ada dua anugerah - Pencapaian Seni Dalam Tiga Dekad oleh PAPITA dan Buluh Perindu oleh Nona Roguy, terima kasih yang mencalonkan dan mengundi nama saya," katanya.  Paling terharu bila saya mendengar puisi tulisan Datin untuk saya.  Apalagi bila lagu Kau Tinggi Di Awan Biru dialunkan waktu saya menaiki pentas mengambil hadiah, sebak semacam rasanya," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Sebak Kerana Anugerah Buluh Perindu (Mingguan Malaysia; Pancaindera, 20 Ogos 2000)