SHARIFAH AINI CONFIRM PUNYA 'SPECIAL BOYFRIEND' oleh Bahyah Mahmood (URTV: 15 Julai 1979) |
SHARIFAH AINI!. Lagi-lagi kisah cinta Sharifah Aini! Namun orang tidak pernah jemu mengikuti kisah-kisah percintaannya. Cintanya yang suci – cintanya yang luhur! Tapi entah apa malangnya, cinta yang harum mewangi itu tiba-tiba menyiksa hatinya, menjadi kisah pahit pilu berakhir dengan tangis sedih. Namun hal-hal peribadinya adalah merupakan kisah yang tidak pernah basi, malah oranhg sentiasa ingin tahu, siapakah jejaka yang mendampinginya saat ini? Sesungguhnya Aini tidak dapat melarikan dirinya dari dunia percintaan. Dia adalah seperti anak-anmak muda lain yang ingin dicintai dan mencintai. Dengarkanlah kisah hidup dan kisah percintaan Aini dalam lagu-lagu nyanyiannya dari masa ke masa. Ahmad Nawab adalah satu-satunya penggubah lagu yang berjaya menyerap perasaan Aini – perasaannya dilanda cinta, dan perasaannya dilanda kecewa, kerana selama ini Ahmad Nawab paling banyak menggubah lagu-lagu nyanyian Aini, dan setiap lagu baru, Aini mahu dia sendiri yang mengarang senikatanya. Hanya dalam lagu dia dapat menumpahkan segenap perasaannya. Hanya lagu dapat menghiburkan hatinya dan lagu juga boleh membuat Aini menangis! Selagi Aini belum menjejakkan kakinya ke jinjang pelamin, selama itulah kisah cintanya takkan berakhir. Saat ini timbul lagi desas desus – Sharifah Aini tenggelam lagi dalam gelombang percintaan ... tapi siapakah jejaka bertuah yang berjaya merebut hatinya? Mungkin Aini sudah tidak berdaya lagi menyembunyikan jejaka yang disayang, mungkin juga percintaanya sudah sampai ke puncak, dan tidak perlu dirahsiakan lagi. Kata teman-temannya Aini sejak kebelakangan ini selalu kelihatan berdua-duan dengan seorang jejaka tampan, hingga kadangkala dia yang selalu mengelak tidak mahu bertemu dengan kawan-kawan tapi entah macamana terserempak juga akhirnya. Aini jadi tergamam! Hanya sempat memperkenalkan pemuda itu, "Kenalkan, ini ...!" Itu saja yang dapat diucapkannya tanpa menjelaskan, apakah pemuda itu temannya? Atau pemuda itu adalah kekasihnya? ... bakal suaminya? Yang nyata jejaka tampan itu amat baik budi bahasanya, begitu bersopan tegur sapanya, dan antara jejaka itu dengan Aini, bak kata orang tua-tua – macam pinang dibelah dua – sama hebat dan sama padan. Apakah Aini menyayanginya? Apakah dia bakal suami Aini? Aini hanya ketawa riang, kemudian dia berbisik: "Tak usahlah heboh-heboh dulu, kalau tak jadi nanti ... Ani malu!" Betapa sucinya alam perkahwinan! Sebagai wanita Aini juga inginkan perkahwinan, ingin menjadi isteri yang baik. Tetapi dia hanya mengharap, Tuhan yang berkuasa menentukannya. Ternyata kian hari hubungannya dengan jejaka itu menjadi kian rapat, dan Aini sudah 'berani' bergandingan dengan kekasihnya dalam majlis-majlis rasmi – duduk bersama, minum bersama dan makan pun bersama. Anih juga ya! Selama ini kita hanya mendengar kisah cintanya dengan pegawai itu dan pegawai ini, tapi sehebat mana kisah percintaannya diperkatakan namun Aini tidak pernah kelihatan berdua-duaan dengan kekasihnya di khalayak ramai, jauh sekali untuk diperkenalkan kepada teman-teman. Apakah selama ini dia bercinta dalam gelap? Di malam PAPITA di Nirwana Ballroom Hilton Hotel Kuala Lumpur, Sharifah Aini berganding tangan dengan kekasihnya masuk ke Dewan yang indah itu. Dan, seorang teman baiknya menceritakan lagi, ketika nama Sharifah Aini diumumkan sebagai 'Penyanyi Terkemuka 1970an', kekasihnya kelihatan begitu riang ... airmatanya bergenang dan berkaca-kaca ... Entah mengapa di saat itu mereka berdua memang tidak mahu duduk bersama lantaran Aini takut dia dan pemuda itu akan menjadi sasaran kamera para jurugambar yang begitu ramai, yang memang menunggu-nunggu peluang keemasan itu. Aini dan kekasihnya duduk berjauhan meja. Betapa bangganya perasaan pemuda itu bila nama Sharifah Aini diumumkan menjadi juara penyanyi, tapi apalah dayanya ... kalau diikutkan hatinya, dia ingin berlari menemui Aini untuk mengucapkan tahniah! Tapi perasaan malu telah menghalang dia berbuat demikian ... dia hanya memendam perasaan, dan tahulah dia Aini adalah milik masyarakat, dan dia harus berkorban perasaan. Sudah bulat hati jejaka ini untuk memperisterikan Sharifah Aini ... bagaimanapun mereka berdua hanya boleh merancang, takdir adalah ditangan Tuhan. Pernah jejaka itu mengucapkan, dia tidak peduli segala fitnah yang melanda hidup Sharifah Aini ... dia tahu semuanya, malahan dia pernah mengikuti kisah percintaan Sharifah Aini dengan juruterbang Iraq dalam lagunya 'Kau Tinggi Di Awan Biru', kemudian dia mengikuti cinta Aini yang kecewa lagi dalam lagunya 'Tiada Maaf Bagimu' ... dia tahu segala-galanya. Malahan begitu kencang khabar-khabar angin mengatakan kononnya Aini sedang bercinta-cintaan dengan seorang pegawai bank yang tampan kacak, tapi apabila ditanyakan tentang pemuda itu, Aini ketawa geli hati. "Dia hanyalah kenalan biasa saja ... dia baik, tapi adalah mustahil Ani akan menganggapnya sebagai seorang kekasih!" Ani macam tidak percaya pemuda itu akan menjadi kekasih yang jujur yang punya pendirian tetap. "Kalau ada jodoh, biarlah Ani ditemukan dengan lelaki yang punya pendirian hidup! Yang pengasih penyayang dan tidak mudah terpedaya dengan fitnah-fitnah orang!" ujarnya dengan senyuman seribu makna Terus terang kata Aini dia tidak mahu mengingati kisah-kisah lamanya lagi. "Yang berlalu tak usah dikenang-kenang lagi ... cuma menyiksa hati!" Berilah peluang Ani hidup bahagia ..." ulangnya berkali-kali. |