RAHSIA DI SEBALIK KEUNGGULAN SHARIFAH AINI

oleh Norazli Noh  (URTV: 15 Oktober 1992)

Penyanyi berdarah Arab, Sharifah Aini turut merakamkan lagu irama padang pasir di dalam album (kaset) terbarunya tahun 1992.  Justeru itu penyanyi 'evergreen' Sharifah Aini bercadang pergi ke Cairo untuk promosi lagu-lagu yang sesuai dengan selera masyarakat Arab itu.  Pasti Syeikh-Syeikh Arab nanti terkejut dengan kehadiran penyanyi keturunannya dari Malaysia iaitu Sharifah Aini yang bersuara menawan seperti penyanyi 'padang pasir' terkenal Umi Kaltsom.

Semoga Sharifah Aini akan menempa kejayaan di bumi Arab sebagai penyanyi kegemaran ramai sekaligus ditawarkan pula membuat rakaman lagu-lagu bahasa Arab yang total, insya-Allah.  Sebelum ini dengar khabarnya penyanyi Ahmadi Hassan (Pak Chat), pengarah filem 'Penghujung Malam' itu berjaya memasarkan kaset lagu-lagu 'irama padang pasir' di bumi Arab, tapi ceritanya tak berapa gempar.  Kalau macam itu kita harap Sharifah Aini pula menyusul buat lebih gempar di bumi Arab sana, okey ...

"Ada dua lagu irama padang pasir dalam rakaman terbaru saya ini," kata Sharifah Aini artis EMI (Malaysia) itu yang telah 24 tahun (1969-1992) berkecimpung dalam bidang nyanyian.  Sharifah Aini memberitahu perkara ini sewaktu ditemui selepas rakaman sebagai tetamu Muzik Muzik TV3 bertempat di Dewan Ahmad Shah, RISDA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada tengahari Sabtu, 26 September 1992.  Dalam program itu, Sharifah Aini menyanyi lagu 'Hatiku Melekat Di Hatimu' (ciptaan A Riyanto) petikan daripada album (kaset) penyanyi berkenaan yang dilancarkan pada bulan Septemnber 1992.  Manakala kemunculannya dalam Muzik Muzik itu dijadual tayangannya di TV3 malam 19 Oktober 1992.

Penyanyi yang berusia 30-an ini masih kelihatan anggun dan mampu mempertahankan popularitinya meskipun sudah empat tahun menyepi diri dari studio rakaman.  Ditanya padangannya mengenai kemunculan artis muda sekarang, Sharifah Aini berpendapat ia satu petanda baik bagi kemajuan bidang seni tahanair asalkan setiap artis itu tahun membentuk imej, peribadi dan pandai memilijh pakaian yang sesuai dengan nilai ketimuran.  Mengenai rahsia di sebalik keunggulannya dalam bidang seni yang diceburinya, Sharifah Aini berkata, "Saya selalu bertawakal kepada Allah setelah puas berusaha."