PETUA DATUK SHARIFAH AINI BERTAHAN MUDA

oleh Huzz  (URTV, 15 April 2010)

Kalau sebut nama Datuk Sharifah Aini, ramai yang kagum dengan penyanyi bersuara lunak merdu ini.  Bukan saja kemampuannya berdiri selama 42 tahun dalam industri hiburan tetapi namanya masih teguh di persada seni.  Peminat-peminatnya bukan saja di kalangan seusianya tetapi juga ramai yang muda.  Pada usia 50an, beliau juga mampu menyanyi dengan baik.  Contohnya, satu persembahan makan malam akhir tahun lalu, menyaksikan beliau boleh menyampaikan 29 buah lagu dengan baik.  Pendek cerita, bukan saja bertahan cantik tapi masih bertenaga!  Di kalangan peminat-peminat Datuk Sharifah Aini, ada berbisik dan bertanya, apakah rahsia beliau bertahan cantik, muda dan sihat?

Ketika URTV bertandang ke rumahnya yang tersergam indah di Petaling Jaya, Kak Aini mengaku, segala-galanya mesti ada usaha dan usah lokek berbelanja.  "Kenalah makan, makanan yang kaya khasiat dan zat.  Mahal tak mengapa, asalkan ada hasilnya.  Bila usia sudah mencecah 50an, Kak Aini mula berpantang.  Ada yang boleh dimakan, dan ada yang mula tolak ke tepi.  Contohnya, Kak Aini jarang makan daging atau ayam.  Banyak makan lauk ikan dan sayur-sayuran.  Kak Aini suka membeli sayur dan telur organik.  Tak mengapa mahal, asalkan ia baik untuk kesihatan.  Makan makanan yang bersih.  Boleh makan yang bersantan tapi tidak selalu.  Minuman pula sudah lama Kak Aini tak macam sesetengah orang, mesti bergula.  Kalau minum teh umpamanya, tak bergula.  Kak Aini suka minum air gunung dan suling."

"Sejak bertahun lalu, Kak Aini amalkan pengambilan vitamin kesihatan.  Antara lain untuk mata, kulit dan juga tenaga Kak Aini suka juga mengambil madu.  Kak Aini dari dulu juga suka bertemu doktor untuk bertanyakan tahap kesihatan," ujarnya.  Mengenai senaman, katanya, ada waktunya, dia suka berjalan kaki di kawasan rumah.  "Kak Aini juga percayakan waktu tidur dalam 10 jam," tambahnya.  Selain itu, beliau juga sangat teliti soal penjagaan tubuh badan dan wajah, "Dari muda lagi Kak Aini soal menjaga bab dari rambut sampailah ke hujung kaki.  Memandangkan karier sebagai artis, kita tak lekang bersolek."

"Kalau tak ada show atau urusan luar yang memerlukan Kak Aini bersolek, Kak Aini suka wajah bersih tanpa mekap.  Sebelum tidur, Kak Aini selalu pastikan wajah akan dibersihkan tanpa ada secalit alat solek.  Ada orang kalau tidur 'bawa' solek sekali.  Maklumlah, bila penat kerja, ada terlupa untuk membuangkan solekan di muka.  Kak Aini tak akan membiarkan keadaan itu.  Mesti pakai krim malam, Kak Aini akan memakai set penjagaan muka yang serasi dengan kulit," katanya.

"Seperkara lagi, jangan kedekut melakukan rawatan wajah, sebulan sekali atau tiga minggu sekali, bergantung kekerapan bersolek.  Sejak kebelakangan ini, Kak Aini juga tidak lagi ke salun di luar rumah.  Di salah satu bilik utama di bilik Kak Aini, telah dijadikan salun.  Segala peralatan salun ada di sini.  Ada hari, pakar dari salun kecantikan di Bangsar akan datang melakukan facial muka dan rawatan kuku kaki dan tangan.  Begitu juga dengan rambut.  Dulu salun rambut Kak Aini di sebuah hotel di Kuala Lumpur.  Sekarang dia juga datang ke rumah.  Untuk mempunyai salun di rumah kenalakah berbelanja sedikit," ujarnya.

Bahkan beliau tidak menafikan amalan berdoa penting bagi orang Islam mendapat kehidupan yang aman dan sihat.  "Sebagai orang Islam, kita jangan malas berdoa.  Amalan berdoa jangan dilupakan.  Sebagai manusia kita perlu berusaha dan berdoa.  Selain itu, Kak Aini suka bersedekah jariah.  Kalau ada lebih sedikit rezeki, tak salah disedekahkan."  Seperkara lagi, Datuk Sharifah Aini sangat terkenal di kalangan kawan-kawan rapat dan wartawan sebagai wanita yang mengutamakan soal kemas dan bersih.  Ada artis lain memberitahu, bagaimana beliau menjada muka, macam itulah dia menjaga rumahnya.

"Ya, Kak Aini percaya persekitaran yang bersih, nyaman dan tenang membantu kita menjaga kesihatan kita.  Kalau rumah bersepah, tentu ia akan buat fikiran tak selesa.  Kak Aini mengaku, cerewet dan amat teliti soal penjagaan bukan saja diri tetapi persekitaran terutama rumah.  Kak Aini suka menanam pokok bunga keliling rumah, menikmati suasana tenang dan bersih.  Dulu ingat lagi, masa kecil, arwah nenek yang Kak Aini panggil emak, akan cubit peha Kak Aini kalau tak bersihkan dapur arang dengan betul.  Katanya, dia nak Kak Aini pandai buat kerja rumah, bersih dan kemas.  Suatu hari nanti, Kak Aini akan sedar, apa maksudnya.  Jadi hari ini, Kak Aini amat berterima kasih kerana tunjuk ajarnya menjadikan Kak Aini tidak sedikit pun berasa rugi," tambahnya.

CLOSE UP PERSONEL WITH SHARIFAH AINI

Peminat-peminat Datuk Sharifah Aini diundang manyaksikan persembahan istimewa biduanita ini pada 17 April in di Hotel Concorde Kuala Lumpur.  Beliau akan menyampaikan 30 buah lagu dalam shownya selama dua jam.  "Ini adalah salah satu show bertujuan amal yang Kak Aini sedang lakukan.  Ia untuk membantu Rumah Anak Yatim dan Tahfiz di Subang, Selangor," katanya.  Tiket-tiket perseorangan adalah RM350 dan RM650 untuk show dan makan malam istimewa.  Bagi yang nak membeli meja harganya ialah meja (VIP) RM6.500 dan RM3,500 (untuk 10 orang).  Untuk keterangan lanjut sila hubungi talian 012-9332374 atau 012-3488054.