CETUSAN RASA DARI SHARIFAH AINI (Bahagian 2)

oleh Huzz (URTV, 1 Julai 1994)

Kata Sharifah Aini, "Kalau saya tidak menyanyi lagi lagu-lagu berirama pop seperti hari ini, saya akan tetap menyanyi.  Tapi lagunya lagu dakwah.  Tengoklah nanti di masa akan datang.  Saya ingin menyampaikan dakwah di dalam lagu," katanya.  Buat masa ini Aini masih menyanyikan lagu-lagu bertemakan cinta, manusia dan hidup menerusi albumnya.  "Album saya akan menyusul tidak lama lagi.  Saya akan pastikan peminat-peminat yang lama menanti akan hilang kerinduan menerusi album ini.  Sekarang saya sedang sibuk dengan album terbaru saya.  Oleh itu saya harap mereka sabar menanti," senyumnya.  Sharifah Aini berkemungkinan juga turut merakamkan beberapa lagu lama nyanyian artis dulu yang hits seperti 'Jangan Ditanya Ke Mana Aku Pergi' dan tidak terkecuali lagu-lagu dari albumnya yang meninggalkan banyak kenangan baginya.  "Tapi yang pastinya lagu Ahmad Nawab serta komposer lain yang terbaru tetap ada dalam album ini," katanya.

USAH BERTANYAKAN SOAL LELAKI

"Jangan ditanyakan saya soal lelaki, saya tidak mahu menjawab," kata Sharifah Aini.  Malahan dia enggan bercerita bila saya meminta dia mengimbas semula kenangannya dalam dunia lelaki ketika menempuh cinta dan kasih sayang.  Sebagai wanita yang punya perasaan dan naluri cinta inginkan lelaki dalam hidup, Sharifah sudah pasti memerlukan lelaki.  Wanita manakah di dunia ini yang mampu hidup tanpa lelaki?  Sejauhmana pun kehancuran menghantui ada waktu dan ketika lelaki tetap diperlukan.

"Usah bertanyakan soal lelaki, saya tidak minat untuk mengenang atau bercerita mengenai mereka," katanya. Namun kisah lelaki dan Sharifah Aini tidak dapat disembunyikan.  Antara yang diperkatakan mengenai dirinya sebelum ini termasuklah kisah dirinya dengan lelaki.  Ramai masih ingat kisah cintanya dengan juruterbang, bersama pengurus bank, diburu lelaki-lelaki hartawan tetapi akhirnya dia berkahwin dengan Ali Bakar walaupun hanya bertahan beberapa tahun sahaja sehinggalah dia kemudian dikatakan berkahwin dengan seorang Datuk.

IMEJ DAN KECANTIKAN

Sudah 26 tahun menyanyi, bukan sahaja hampir 50 buah album terhasil dan beratus lagu menjadi khazanah tetapi gelaran dan imej penampilannya dicerita.  Dulu dia terkenal sebagai penyanyi bertocang dua, masa baru hendak terkenal.  Kemudian penyanyi ini dikatakan memiliki wajah cantik, gigi kecilnya berbaris, kening tahi ayam, rambutnya lebat.  Sampai sekarang dia dianggap memiliki wajah yang menarik dan istimewa.  Kalau disebut fasal emas berlian, dia juga dikait-kaitkan kerana memiliki banyak barang kemas yang ditempah sejak dahulu.  Lepas itu imej badannya gemuk dan sihat diperkatakan.  Kemudian cerita fasal dadanya yang menggunung.  Kemudian fasal hidung yang mancung.

"Hahaha ... tocang dua. Yelah ... teringat kak Aini waktu-waktu begitu.  Sebetulnya masa itu kak Aini senang rambut begitu.  Syukurlah rambut ini tebal dan hitam.  Kak Aini suka nampak kemas.  Teringat lagi, waktu nak menjadi penyanyi.  Nak pergi buat show.  Bawa baju dalam beg plastik.  Naik bas berasak-asak.  Tak mimpilah kereta mewah dan rumah batu." ujarnya senyum mengenang masa dulu.  "Sebetulnya apa pun gelaran diberi, kak Aini senyum sahaja.  Kalau cakap pasal imej atau penampilan kak Aini yang suka berhias cantik atau sebagainya, tidak kerana mahu mendapat gelaran.  Tau-tau ada yang berikan gelaran.  Kak Aini berpakaian, bersolek dan berdandan ikut selera di hati.  Tapi semuanya jadi perhatian!" katanya.

Memang Sharifah Aini merasa agak pelik kenapa dia di antara artis yang sering jadi bualan dari segala segi.  "Tak adalah niat di hati suka untuk dikait-kaitkan dengan hal begitu dan begini bila penampilan dengan gaya tertentu.  Bila suka pakai emas berlian, tidak meminta agar diheboh-hebohkan.  Bagaimanapun yang paling penting kak Aini selalu pastikan, imej atau personaliti mesti dijaga.  Kak Aini tak suka lepak sana lepak sini ikut sedap hati.  Disko?  Goyang sana sini?  Sejak awal jadi penyanyi sampai sekarang, disiplin diri di merata tempat dijaga," katanya membuka rahsia menjaga diri sebagai populariti.

Cakap fasal kecantikan, kata Sharifah Aini adakala tersinggung bila dia dikaitkan dengan pembedahan plastik.  Padahal dia mengaku dia ada rahsia sendiri.  Semua orang ingin memiliki kecantikan, perlu berusaha dan berdoa.  "Hati dan jiwa mesti bersih.  Kecantikan dari dalam.  Pemakanan perlu dijaga.  Saya 'facial' muka sebulan dua kali, rambut diwapkan sebulan beberapa kali.  Saya buat rawatan yang perlu.  Saya hanya bedah perut tiga kali kerana ketumbuhan" katanya.

"Tahi lalat 14 di muka?  Sebetulnya di badan saya banyak tahi lalat juga.  Biar apa orang kata, saya bukan nak cari publisiti dengan imej tahi lalat.  Tapi tahi lalat memang ada," senyumnya.  "Elizabeth Taylor Malaysia?  Huh sorry ... jangan samakan saya dengannya.  Saya tidak punya lapan suami," senyumnya.  "Bagi saya apa gelaran yang diberi itu saya anggap normal.  Tapi kalau ada yang tak kena dikait-kaitkan dengannya, saya akan menjawab atau bertindak, sepeti gelaran yang memburukkan saya dengan fitnah."

KONSERT ISTIMEWA IRINGAN LEBIH SERATUS PEMUZIK

"Saya ingin buat konsert besar saya dengan iringan penuh orkestra penuh.  Lebih seratus pemuzik bersama.  Saya mahu menyanyikan lagu-lagu asli, keroncong, langgam, pop yang banyak tekandung dalam album saya.  Cuma saya serahkan pada masa dan sesiapa yang sudi menaja.  Saya inginkan satu persembahan yang amat berkesan.  Khas untuk peminat-peminat saya.  Dari peringkat yang VIP sampailah ke sesiapa sahaja.  Saya ingin menyanyi sepuas-puasnya dalam konsert itu penuh dengan irama dan lagu.  Tulah ... semuanya sedang dalam rundingan." katanya.

PESAN PADA ORANG BARUSharifah Aini bersama EllaDisamping Hetty Koes Endang dan Ramlah Ram

Sharifah Aini berpesan "Mahu jadi penyanyi?  Orang baru jangan mudah lupa diri apabila berada di kemuncak sebagai penghibur.  Ingatlah, adakala kita mudah hanyut oleh dunia glamour kalau kita tidak berhati-hati.  Saya sarankan penyanyi baru rajinkan diri berusaha memperbaiki apa yang kurang.  Usahlah dengan publisiti meluas kita sudah menganggap kita terbaik.  Jangan dengki khianat atau kurang senang akan kehadiran atau kejayaan insan lain.  Artis baru dan lama mesti bersatuhati menuju wawasan masa depan.  Jangan jadi penghibur timbul tenggelam.  Bakat bagus, tiba-tiba menghilangkan diri terus tak mahu bergiat aktif, sayangkan ..." katanya.  "Adatlah, jadi penyanyi banyak cubaan.  Namun selesaikan dengan tidak mengundur diri dari dunia seni," ceritanya.  Rahsia kejayaan seseorang terletak kepada keyakinan, kemampuan dan usahanya selain doa dan keizinan Allah pada kita.  Oleh itu Sharifah Aini akui setiap orang boleh berjaya asalkan jangan lekas putus asa.

BAHAGIAN 1: CETUSAN RASA DARI SHARIFAH AINI