SHARIFAH AINI – PENAMPILAN MASIH HEBAT

(Utusan Malaysia: Sabtu, 27 April 2002)

Suara yang merdu dan mendayu beralun pentas sudah cukup untuk membuatkan penonton merasa puas dan terhibur.  Itulah kelebihan penyanyi veteran Sharifah Aini yang mungkin sukar ditemui ketika menyaksikan persembahan artis remaja yang popular ketika ini.  Jika banyak penyanyi popular lain meminta bantuan daripada orang lain termasuk mengundang pelawak untuk memeriahkan persembahan mereka, Sharifah Aini melakukan semuanya sendiri.  Di pentas dialah penyanyi, pelakon dan dalam masa yang sama sebagai pelawak yang sentiasa mengutarakan jenaka sinis dan spontannya.  Sharifah bijak mengeksploitasi sepenuh suaranya untuk menawan pentas sehingga tidak dapat mengesan kesilapan-kesilapan kecil di pentas.

Kemunculannya dalam persembahan sempena sambutan Minggu Setiausaha di Saloma Bistro, Jalan Ampang Selasa lalu sekali lagi meneruskan kegemilangan penyanyi ini.  Tampil ringkas dengan pakaian kebaya berpotongan moden hijau serindit dan berselendang, Sharifah Aini masih lagi bintang yang hebat dalam dunianya.  Usia yang sudah hampir meninggalkan angka 40-an tidak memudarkan sinarnya, malah terus berkilau mewarnai persada seni tempatan.

Sharifah Aini memulakan persembahannya dengan lagu Bebas dalam persembahan yang rata-ratanya dihadiri oleh para setiausaha dan rakan terdekatnya.  Lagu lain yang turut dibawa dalam persembahan selama satu jam ini ialah Jatuh Cinta, Mengapa Sukar Melafazkan Maaf, Semua Pergi, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Bunga Tanjung.  Pada majlis berkenaan, Sharifah Aini turut menyanyikan lagu Inggeris antaranya Smile, How Deep Is Your Love, I Need To Know dan Don't Forget To Remember.

Rakan dalam industri seperti Datuk Wah Idris dan DJ Dave turut tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan Sharifah Aini.  Malangnya hampir tidak kelihatan artis-artis remaja dalam acara ini untuk menimba pengalaman daripada penyanyi berpengalaman sepertinya.  Selain Ras Adiba, Camelia dan Illa Sabry tidak nampak muka artis-artis lain di acara ini walaupun mereka berpeluang menimba banyak ilmu bagaimana untuk menjadi penghibur sejati dalam bersama di majlis ini.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Ada Kelas Tersendiri (Berita Harian – Jumaat, 26 April 2002)

  Kak Pah Ceria (Harian Metro – Rabu, 24 April 2002)