PERSEMBAHAN SHARIFAH AINI LARIS

oleh Tengku Khalidah Tengku Bidin  (Utusan Malaysia: Jumaat, 9 Mei 2003)

Setelah lebih 30 tahun melayari dunia hiburan dengan pelbagai dugaan, dominasi biduanita Sharifah Aini masih berterusan.  Acara 'Sepetang Bersama Sharifah Aini: Syurga Di Telapak Kaki Ibu' sempena sambutan Hari Ibu pada 11 Mei ini juga turut mendapat sambutan yang luar biasa.  "Kami mendapat panggilan daripada peminat di Arab Saudi yang menempah tiket secara berkumpulan untuk majlis berkenaan," jelas Pengarah Urusan Mahir Entertainment & Production (MEP), Normaheran Yusof.  Peminat berkenaan, jelas Normaheran mungkin mengetahui tentang persembahan eksklusif Sharifah Aini melalui Internet setelah beberapa akhbar utama menghebahkannya.

"Kami turut menerima banyak tempahan daripada peminat di Brunei, Sabah dan Sarawak.  Malah kami amat
berbesar hati kerana lebih 30 peratus daripada tempahan datangnya daripada kalangan orang kenamaan," katanya lagi.  Lebih 80 peratus tiket sudah habis dijual.  Majlis yang diadakan Ahad ini di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur akan bermula pukul 3 petang.  Menurut Normaheran, majlis itu diadakan bertepatan dengan tarikh Hari Ibu yang disambut seluruh dunia.

"Sharifah Aini juga seorang ibu.  Beliau mahu berkongsi rasa kasih sayang dan tanggungjawab itu bersama dengan peminat yang datang.  Justeru kami namakannya 'Syurga Di Telapak Kaki Ibu' dan 'Sepetang Bersama Sharifah Aini' supaya sesuai dengan konsep penganjurannya," katanya lagi.  Selain Sharifah Aini, pelawak Dee dan Moon turut diundang memeriahkan acara berkenaan di samping deklamasi puisi khusus ditujukan kepada ibu-ibu di Malaysia.

Sharifah Aini dijangka akan menyampaikan 15 lagu yang kebanyakannya bertema kasih sayang anak kepada ibu.  Antara lagu yang akan disampaikan ialah 'Syurga Di Telapak Kaki Ibu', 'Mama', 'Bunga Mawar Untuk Ibu' serta 'Ayah Dan Ibu.'  Tidak dilupakan lagu-lagu popular beliau seperti 'Bunga Tanjung', 'Seroja' dan lagu-lagu baru daripada album terbaru, 'Syahdu'.  Album 'Syahdu' juga akan dijual dengan harga yang cukup istimewa di majlis berkenaan, jelas Normaheran lagi.  MEP juga turut merasa bertuah kerana mendapat penajaan daripada Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Keretapi Tanah Melayu, Nona Roguy dan produk kosmetik Olynn.  Mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi talian 03- 9057 7725 atau 019-212 9029.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Merenjis Kasih Di Hati Ibu (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 18 Mei 2003)

  Sharifah Aini Sakit Tekak Tetapi Hebat (Utusan Malaysia – Jumaat, 16 Mei 2003)

  Sharifah Aini - Peluang Peminat Dekatinya (Utusan Malaysia – Selasa, 15 April 2003)