MIMPI SEORANG ANAK SENI

oleh Baharom Mahusin dan Saharudin Musthafa  (Mingguan Malaysia, 1 Ogos 1999)

Sharifah Aini diinterviu oleh Baharom Mahusin & Saharudin MusthafaGambaran pertama apabila anda bertemu penyanyi Sharifah Aini ialah dia adalah seorang yang awet muda.  Kesan kedua yang lebih memikat ialah kemesraan senyumannya.  Rumahnya terletak di kawasan mewah di Petaling Jaya.  Di dalam sebuah bilik yang dijadikan pejabat di rumah itu, dia mempunyai 6,000 keping cakera padat – koleksi yang mencerminkan minat mendalam terhadap bidang seni suara.

Berusia 40-an, pada tahun ini Sharifah Aini merayakan ulang tahun ke-30 dia menceburi dunia muzik.  Dalam interviu dengan wartawan Baharom Mahusin dan Saharudin Musthafa Khamis lalu, penyanyi itu bersemangat bercerita mengenai dunia hiburan tanahair dan sibuk bertanya perkembangan artis baru dan lama.  Dia bercakap mengenai apa yang telah dicapainya dalam industri muzik selama ini dan kekesalan peribadi kerana kegagalan dua perkahwinannya – pertama dengan Ali Bakar dan yang kedua ialah dengan seorang lelaki yang dia tidak mahu umum mengetahui namanya.  Katanya, perkahwinan pertama gagal kerana ia tidak direstui keluarga.  "Keruntuhan perkahwinan kedua ialah kerana saya terlalu beralah dan ini sebenarnya kesilapan saya.  Sebab saya terlalu sayangkan dia, saya tidak mahu menimbulkan sebarang masalah pada dirinya.  Saya tidak menuntut.  Selepas lima tahun berkahwin baru Sharifah Aini mendapat tahu bahawa dirinya bukan isteri kedua.  "Sebenarnya saya isteri yang ketiga," katannya.

Penyanyi kelahiran Johor Bahru itu menceritakan "Saya tidak kisah tidak dapat keluar dengan suami saya; suami saya tidak pernah bersama menyaksikan saya menyanyi; saya tidak ambil kisah dia balik ke rumah atau tidak.  Saya fikir perkahwinan kedua itu berakhir kerana kegagalan saya menegakkan hak saya sebagai isteri."

Mingguan Malaysia:

Banyak pihak melihat bidang hiburan sebagai remeh-temeh walau pengaruhnya ke atas masyarakat begitu besar.  Setelah 30 tahun bergiat dalam bidang seni, bagaimana Sharifah melihat industri muzik tanahair?

Sharifah Aini:

Bagaimana saudara kata bidang ini remeh-temeh.  Saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan ini, saya rasa ia salah.  Industri ini adalah satu penyumbang besar kepada ekonomi negara.  Kita ada banyak syarikat rakaman dari luar negara yang datang membuat pelaburan dalam industri ini.  Kita tidak bercakap mengenai pelaburan sikit-sikit, kita bercakap mengenai pelaburan besar.  Bagaimana saya boleh bersetuju sedangkan saya menghabiskan tahun-tahun terbaik hidup saya dengan menjadi penyanyi, penghibur, anak seni, karyawan.

Kalau saudara kata ia 'trivial' mengapa kita ada syarikat-syarikat yang mengeluarkan rakaman haram.  Jelaskan kepada saya.  Jelas bahawa industri muzik adalah industri besar yang banyak hasilnya.  Orang yang mengadakan rakaman cetak rompak inilah yang bertanggungjawab mencuri hak kami untuk dapat kehidupan yang lebih baik.  Kami benar-benar terjejas.  Saudara tahu, 30 tahun dalam bidang ini, saya sepatutnya sudah menjadi seperti Barbra Streisand.  Sepatutnya hidup saya lebih baik.  Saya ada 68 album, daripadanya ada tujuh album lagu Inggeris.  Di manakah kekayaan Sharifah Aini?  Saya tidak kaya.

Hanya jika kerajaan datang membantu industri ini dan orang yang bergiat dalam bidang ini, barulah kehidupan kami terjamin.  Setakat ini, saya hanya menyanyi kerana saya sayang dunia nyanyian saya.  Ia bukan kerana wang, wang, wang.  Tidak.  Tentu pada akhirnya saya mahu merasakan hasil kerja saya selama 30 tahun, tetapi sedih untuk dikata, oleh kerana cetak rompak, baik saya daripada artis-artis dulu hingga artis sekarang, kehidupan kami terjejas.  Realiti memang mengecewakan.

Mingguan Malaysia:

Orang yang berada dalam industri ini, adakah mereka benar-benar orang serius atau mereka hanyalah seperti budak-budak muda perempuan, hendak 'enjoy' kemudian kahwin dengan orang kaya?

Sharifah Aini:

Saudara meletakkan saya dalam situasi yang sukar dengan soalan ini.  Saya sedih untuk mengatakan bahawa jika kita toleh ke belakang, berapa ramai artis yang sanggup mengorbankan hidup, mengorbankan segala-galanya demi seni.  Kalau hidup hendak bersandarkan kepada dunia seni, kita tidak kaya.  Itu realitinya.  Macam mana kita hendak menyalahkan anak-anak seni kalau bidang ini ialah bidang yang paling sukar diramalkan.  Ia seperti politik.  Anda dapat menembusinya, anda berada di atas.  Bila orang tak mahu, anda dihumban keluar.

Pada dasarnya dunia hiburan sama dengan politik.  Kita dibawa oleh pengikut-pengikut kita; mereka yang menghantar kita ke satu tempat.  Kalau kita naik, maknanya kita berada di sana kerana ada sokongan-sokongan daripada masyarakat yang menggemari kerja kita.  Karakteristiknya sama dengan politik.  Kalau kita bercakap mengenai betapa seriusnya artis, kita kena faham juga keadaan mereka.  Dunia seni di Malaysia ini, saya jamin tidak akan kaya.  Kalau hanya setakat hendak menjadi artis dan jadi kaya, lupakan saja.  Anda tidak akan kaya walau betapa popularnya anda.  Cetak rompak satu hal, selain itu pasaran muzik kita kecil.

Di samping itu, sikap anak-anak seni juga kita pertikaikan.  Sekarang ini syarikat-syarikat rakaman lebih mementingkan rupa daripada bakat.  Saya tidak menentang ini.  Kalau anda datang dalam pakej ada rupa dan bakat itu betul-betul bonus.  Bila anda tidak ada rupa, anda hanya ada suara, syarikat-syarikat rakaman kata susah hendak jual.  Hendak letak gambar dekat 'cover' serba salah, sebab yang hendak dijual itu muka, bukan suara.

Mingguan Malaysia:

Sharifah bolehlah kata rupa tidak penting sebab Sharifah cantik, dan datang dalam satu pakej?

Sharifah Aini:

Saudara lihat saya pada tahun-tahun 60-an, saya tidak cantik.  Saya seperti budak hitam.  Saya kurus kering.  Tetapi apabila saya semakin berumur, saya sudah pandai menghias diri, saya pergi ke sekolah menghias diri, saya pergi kelas "public speaking', ini semua dibuat supaya saya mendapat keyakinan.  Saya pergi ke kelas di Universiti Malaya tiap-tiap malam untuk membaiki bahasa Inggeris saya.  Saya lihat kecantikan dengan cara lain.  Saya lihat lebih dalam.  Sedangkan benda yang tidak cantik kita boleh cantikkan – tetapi tentulah ia melibatkan masa dan wang.  Dulu mana ada artis masuk TV, orang taja pakaian.  Dulu mana ada orang mekap artis; cantik tak cantik kita mekap sendiri.

Kita cakap mengenai generasi yang berbeza.  Ada penyanyi-penyanyi perempuan, mereka sebenarnya tidak berbakat, tetapi syarikat-syarikat rakaman dan filem menjadikan kecantikan sebagai satu senjata.  Buat rakaman lebih kurang, okay jual.  Orang tidak kira suara, tidak kira lagu, orang nampak hanya kecantikan.

Mingguan Malaysia:

Bukankah itu menunjukkan masyarakat kita sendiri hendakkan penyanyi macam itu?

Sharifah Aini:

Itu sebabnya apabila hendak masuk alaf baru, sekarang masanya kita mengajar masyarakat memahami yang mana satu kaca, yang mana satu permata.  Ini adalah soal bakat yang kita perlu sedari.  Kalau kita bandingkan pandangan kita dengan masyarakat di Barat, kita malu.  Cuba lihat di Barat, hitam legam, bibir tebal empat inci, muka tak lawa, semua tidak dikisahkan melainkan suara.

Kenapa kita menjadi begitu jahil, kenapa?  Kenapa perlu fikir fasal rupa, rupa, rupa setiap masa.  Cara kita ini salah.  Kita perlu ingat bahawa di negara ini kita tidak ramai artis yang memikirkan 'saya betul-betul hendak jadi artis yang baik'.  Kebanyakan menggunakan rupa hanya sebagai pasport untuk berada di dunia glamor.  Bila dia dikenali, senanglah dia dipancing.

Mingguan Malaysia:

Apa yang kita perlu buat untuk atasi masalah ini?  Kita tidak boleh kata kepada syarikat rakaman dan filem, cari orang yang tidak cantik sebagai artis?

Sharifah Aini:

Kita perlu mendidik cara rakyat Malaysia berfikir.  Kita kena memberitahu mereka; kita boleh adakan beberapa program.  Dalam industri ini, mana ada ramai artis yang berminat mengembangkan pengetahuan, untuk belajar ilmu baru, dan untuk duduk bercakap, bertukar fikiran jauh lagi.  Di sinilah kita melihat anak-anak seni kita tidak serius.  Kebanyakan anak seni termasuk penyanyi, pemuzik dan pelakon, daripada 100 orang mungkin hanya ada 10 orang yang serius.  Yang lain, mereka malah tidak serius dengan hidup mereka sendiri.

Siapa yang harus disalahkan?  Mungkin kita harus melihat bagaimana cara mereka dibesarkan, pengaruh dan kesan persekitaran.  Kita tak boleh salahkan mereka semata-mata.  Sebab dalam kehidupan manusia ada sifat-sifat yang di luar kawalan kita.

Mingguan Malaysia:

Bagaimana Sharifah menilai sumbangan media massa khususnya cara mereka memberi publisiti kepada artis-artis?

Sharifah Aini:

Saya ingin saudara tahu bahawa kadang-kadang saya rasa kecewa dengan media massa sebab media massa terlalu bermurah hati.  Maaf sebab menyatakan perkara ini.  Saya tak tahu kenapa.  Kadang-kadang ada dua penyanyi yang bagus;  Satu macam goreng pisang panas; seorang lagi kurang sedikit.  Media massa angkat yang seorang itu cukup tinggi dalam waktu yang singkat.  Saya rasa itu yang tak betul.  Kemudian ambil gambar yang seksi-seksi.  Saya boleh kata pendedahan menyebabkan mereka lupa diri.  Mereka itu manusia biasa.  Bila terlampau diagung-agungkan benda yang belum sepatutnya diiktiraf, ia akan menyebabkan artis lupa diri dan di sini letaknya tanggungjawab media.  Memang tugas media untuk popularkan seseorang tetapi bila anda naikkan seseorang itu terlalu tinggi sehingga jauh ke bulan, sedangkan artis itu sendiri belum bersedia untuk ke bulan, apa yang akan anda lakukan.  Anda cuma tunggu bulan itu jatuh.

Mingguan Malaysia:

Tetapi dengan artis-artis sendiri masih lagi memberi gambaran bahawa menjadi penyanyi menawarkan hidup mewah dan keseronokan, selagi imej itu masih kekal, maka orang akan beranggapan itulah kehidupan mereka yang sebenar?

Sharifah Aini:

Saya mula menyanyi dengan hanya dibayar dengan hidangan 10 cucuk sate, bayaran RM30 dan RM40 ketika mengadakan persembahan dengan Aziz Satar.  Malah sehingga tahun 1975 dan 1976 saya masih dapat RM200 hingga RM300 untuk satu pertunjukan.  Di sini memang kita kena akui artis-artis hari ini lebih bertuah.  Tetapi kita tidak mahu juga artis-artis yang terlalu gopoh mengejar peluang sampai dia tak kira tentang strategi, dia sudah tidak ada nilai.  Pada mereka duit, duit, duit, duit.  Memanglah duit itu penting dalam hidup tetapi jangan sampai jadi hantu duit, gilakan duit sehinggakan suatu ketika bila kita terlalu ghairahkan duit kita lupa apa yang kita harus buat untuk masyarakat.

Mingguan Malaysia:

Tentang penglibatan artis wanita dan lelaki, penyanyi wanita mendapat lebih perhatian, mungkin pendapatan mereka juga lebih lumayan daripada lelaki.  Mengapa ini terjadi?

Sharifah Aini:

Itu satu lagi masalah. Ia satu diskriminasi.  Apa yang saya boleh katakan ialah penyanyi lelaki sukar dapat peluang menyanyi di 'dinner show'.  Inilah pandangan umum yang sukar dikikis – penyanyi wanita sebagai penyeri dan pemeriah pertunjukan sewaktu makan malam.  Bagaimana kita nak ubah pandangan ini.  Seorang dua tidak boleh buat.

Memanglah saya kesian dengan artis lelaki.  Saya rasa banyak ketidakadilan berlaku dalam dunia seni hari ini sedangkan kita tahu ramai artis lelaki yang mempunyai suara yang baik dan persembahan yang mantap.  Di Malaysia, artis lelaki hanya untuk TV, untuk pertunjukan pentas, untuk fun-fair, bukan untuk pertunjukan eksklusif.  Persembahan eksklusif hanya dimonopoli oleh artis wanita.

Mingguan Malaysia:

Mengenai teknologi dan dunia seni suara, adakah perubahan teknologi membuatkan kerja menyanyi semakin mudah?

Sharifah Aini:

Sudah tentu.  Contohnya semasa saya mula buat rakaman dulu ada band mengiringi saya, hari ini sudah tidak ada lagi.  Saya untung dapat merasakan pertukaran teknologi.  Bagaimanapun, teknologi ada juga kelemahan.  Kerana kecanggihan teknologi, ada suara penyanyi sudah tidak asli lagi.  Itu tidak baik sebenarnya.  Ada penyanyi yang nak siapkan satu lagu ambil masa berhari-hari.  Ada pula yang nak habiskan satu baris lagu pun dekat lima jam.  Itu dengan adanya bantuan teknologi.  Bayangkan apa yang akan berlaku di zaman saya ketika band masih mengiringi penyanyi dalam studio rakaman.

Kalau sampai berjam-jam tak boleh habiskan satu lagu, mahu pemuzik-pemuzik lari tinggalkan kita.

Mingguan Malaysia:

Jika Sharifah ada masalah kepada siapakah Sharifah menyatakan perasaan yang terpendam?

Sharifah Aini:

Sejak dulu saya memang tidak rapat dengan artis.  Pada saya, saya mahu mengekalkan persahabatan profesional.  Cukup bersahabat hanya semasa mengadakan persembahan.  Selepas habis kerja, tidak lagi.  Kalau ada dulu pun saya hanya baik dengan Allahyarham Sudirman.  Lepas itu tak ada lagi.  Saya ada alasan saya sendiri mengapa saya berbuat demikian.  Saya rasa agak berbahaya bila baik dengan artis.

Kadang-kadang antara kita sesama artis ada rahsia tersendiri.  Artis juga mempunyai hubungan baik dengan pihak media.  Jadi saya takut kadang-kadang tanpa disedari rahsia itu terkeluar dan ia akan memakan diri kita sendiri.  Itu yang saya tak mahu.  Sahabat-sahabat saya ramai, ada profesor universiti, doktor, peguam dan editor suratkhabar.  Mereka ini bukan sahabat baru saya.  Kami sama-sama membesar dan sudah mengenali hati budi masing-masing.  Saya boleh percaya mereka.  Saya boleh pertaruhkan masa depan saya dalam tapak tangan mereka.  Itulah yang boleh saya katakan.

Mingguan Malaysia:

Selepas 30 tahun menyanyi, ke manakah Sharifah akan pergi?

Sharifah Aini:

Inilah cita-cita saya.  Jika diizinkan Allah, saya mahu pergi lebih jauh.  Saya mahu membawa muzik Melayu ke mata dunia.  Saya tidak mahu tunjuk kepada dunia album Inggeris dan beritahu Mariah Carey inilah album Inggeris saya.  Saya tak mahu itu.  Apa yang saya hendak buat ialah saya mahu membawa album Melayu saya. bagaimana caranya, saya akan cuba sedaya mungkin.

Mingguan Malaysia:

Tetapi tidakkah pada usia 40-an, cita-cita itu mungkin tidak sesuai lagi?

Sharifah Aini:

Inilah masalahnya.  Jika orang seperti saudara sendiri skeptikal dengan usia, apa lagi orang lain di luar sana.  Saya tak takut.  Pada saya, usia tidak menjadi penghalang.  Orang risau Sharifah Aini sudah 40-an, sudah berumur.  Saudara tahu tak, usia seperti saya ini macam doktor juga.  Makin dia berumur, makin dia mahir dengan kerja dia, semakin dia berpengalaman.

Begitu juga dengan karier saya.  Maknanya, umur bukan satu gangguan.  Misi saya ialah ingin menjadi duta, membawa muzik Malaysia ke mata dunia.  Itulah yang ingin saya lakukan.  Saya tak tahu sama ada perkara itu akan terjadi atau tidak.  Yang saya tahu saya akan cuba lakukannya.

Mingguan Malaysia:

Kehidupan masa kecil Sharifah Aini agak kucar-kacir, ibu bapa bercerai.  Adakah ini mempengaruhi kehidupan Sharifah?

Sharifah Aini:

Tidak.  Saya akui kehidupan banyak mendedahkan kita kepada pelbagai kesilapan.  Semua orang tahu, semasa saya baru berusia beberapa hari, emak kandung saya telah menghantar saya kepada sebuah keluarga Cina.  Lepas pantang, emak dan ayah saya bercerai.  Bila mereka bercerai, datuk saya datang ambil saya selepas tiga bulan saya ditinggalkan dengan keluarga Cina itu.  Saya dibesarkan oleh datuk dalam keadaan susah.  Bagaimanapun saya tak rasa kesusahan itu kerana hidup saya dibajai dengan belai kasih sayang yang melimpah ruah.  Saya tidak cacat kasih sayang.  Saya tidak rasa susah walaupun semasa kanak-kanak saya keliling kampung jual nangka.  Saya tak rasa susah walaupun umur tujuh tahun saya ambil upah giling lada, umur sembilan tahun dah ambil upah jahit baju kurung Johor.  Saya tidak rasa itu satu kesusahan pada diri saya.  Tetapi dalam keadaan kucar-kacir itu saya perlu terima hakikat betapa menderita saya apabila berdepan dengan kes mahkamah ketika saya menyaman sebuah akhbar tabloid.  Pada masa itu hidup saya Allah Taala sahaja yang tahu betapa teruknya.  Saudara tahu dalam masyarakat kita, orang boleh terima artis kena tangkap basah.  Tetapi bila awak dicap sebagai anak menderhaka, pukul emak, tendang terajang emak, sampai hati nak bunuh emak, mestilah orang pandang hina sebab kita orang Islam.

Di saat-saat itu saya rasakan berlaku kezaliman dalam hidup saya yang hampir-hampir memusnahkan kerjaya dan kehidupan saya.  Pada masa itu saya sudah tidak ada muka lagi.  Jawapan saya di sini senang saja.  Saksi saya cuma Allah.  Kalaulah saya benar-benar melakukan benda-benda yang macam itu, saya rasa Allah tidak akan memberkati kerjaya saya sampai ke hari ini.

Mingguan Malaysia:

Antara penyanyi yang Sharifah kenal, kalau mereka jatuh, mereka jatuh kerana apa?  Mengenai diri Sharifah sendiri, apakah yang mengekalkan karier dalam industri muzik?

Sharifah Aini:

Mungkin kerana mereka tidak komited dengan kerja mereka.  Mereka tidak ada cita-cita dan impian.  Seorang artis yang baik, mereka perlu mempunyai fantasi, khayalan, cita-cita.  Saya memang dilahirkan untuk menjadi artis.  Saya suka berkhayal, suka bercita-cita tinggi, mempunyai fantasi, berangan-angan menjadi seorang ternama.  Saya kerja keras beberapa hari sebelum mengadakan persembahan.  Saya akan berlatih sampai pukul empat pagi.  Semuanya kerana saya sayang dan cintakan kerjaya saya.

Saya juga suka kecantikan.  Saya selalu memikirkan apa akan jadi pada saya pada masa depan.  Saya mahu meniti usia dengan kecantikan.  Jika usia saya 60 tahun, saya mahu orang lihat saya seperti 40 tahun.  Saya mahu tua yang cantik, tua yang beriman dan segala-galanya.  Saya juga mesti rajin bermimpi kerana mimpi selalunya memberikan saya tenaga untuk bekerja keras.