LEBARAN HARMONI DUA DIVA

oleh Saharudin Musthafa & Shazryn Mohd Faizal  (Utusan Malaysia: Mega – Jumaat, 10 September 2010)

RAHMAT SYAWAL

Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza merupakan dua nama besar dalam dunia seni tanahair.  Namun kontroversi yang tercetus enam tahun lalu mengubah segala-galanya.  Ramai yang beranggapan selama tempoh itu, dua diva ini bermasam muka dan tidak bertegur sapa.  Sempena lebaran ini, yang keruh telah dibuang dan hubungan mereka kembali jernih untuk memastikan dunia hiburan tanahair kekal meriah.

TradisiI Syawal kami teruskan istimewa untuk pembaca akhbar ini.  Mencari siapa personaliti untuk menghiasi muka depan Mega bukan perkara yang mudah.  Apatah lagi untuk disiarkan pada hari istimewa seperti Hari Raya Aidilfitri.

Lalu, nama dua biduanita tersohor ini terlintas di fikiran, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza.  Sudah berbulan sebetulnya keinginan ini bersarang di fikiran – menemukan kedua-duanya dalam sesi fotografi istimewa.  Tanpa perlu dijelaskan rasionalnya, anda semua barangkali sedia maklum, Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza pernah melalui ‘krisis persahabatan’ yang berlanjutan hampir enam tahun lamanya.  Selama tempoh itu, kedua-dua penghibur itu tidak pernah disatukan di mana-mana sesi fotografi mahupun apa-apa program TV.

Kerana itu, Mega berusaha mengatur sesi fotografi ini.  Namun, idea ini bukanlah hanya datang dari kami saja.  Sebaliknya, dua rakan media yang kami hormati, Huzz (URTV) serta Hanizam Abdullah (Berita Harian) juga mempunyai rencana yang sama.  Kata sepakat dicapai.  Di pihak media dan pengurusan kedua-dua artis itu bersetuju digandingkan pada sesi fotografi pada hari yang sama.

Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza bertemu dalam suasana yang cukup harmoni.  Pertemuan yang amat bermakna itu kami simpulkan sebagai pertemuan dua seniwati yang terbilang.  Hidup sebagai anak seni menawarkan kehidupan yang penuh warna-warni kepada mereka berdua.

Sharifah Aini misalnya yang lebih dulu makan garam daripada Siti Nurhaliza melalui fasa-fasa yang berbeza dalam hidupnya.  Bertuahnya Sharifah Aini dia terus diterima di kalangan peminat seni tanah air dari pelbagai peringkat usia.  Kesinambungan kegemilangan seni Sharifah Aini diteruskan oleh Siti Nurhaliza.  Berdasarkan rekod, Siti Nurhaliza mencatat kecemerlangan sepanjang 15 tahun aktif di gelanggang seni tanah air.  Seperti Sharifah Aini, Siti Nurhaliza berada di liga tersendiri.

Kepada semua pembaca Mega, semoga paparan ini menceriakan lagi sambutan Aidilfitri anda.

Sharifah Aini gembira dapat menyambut lebaran dalam suasana yang cukup harmoniBESAR HATI SHARIFAH AINI

Biar lebih senior berbanding Siti Nurhaliza, Sharifah Aini tidak pernah menafikan rasa hormatnya pada bintang muda ini.  Kekaguman Sharifah Aini pada Siti Nurhaliza juga terserlah apabila penyanyi itu terbuka untuk sama-sama bersetuju dalam sesi pertemuan yang amat bermakna itu.

Sharifah Aini mengakui, beliau berasa sungguh sejuk hati apabila Siti Nurhaliza bersetuju kerana semua ini akan menjernihkan semula pandangan skeptikal masyarakat terhadap mereka berdua.  "Syukur di hari baik bulan baik ini, saya dan Siti Nurhaliza diberikan rahmat oleh Allah untuk ditemukan dalam suasana yang sungguh damai.  Saya harus berterima kasih kepada anda (media) yang mengambil usaha mengakrabkan semula saya dan Siti Nurhaliza dalam sesi seperti ini (fotografi)," ujar Sharifah Aini dalam senyuman yang cukup manis dan berseri.

Justeru, Sharifah Aini mahu peminat beliau dan Siti Nurhaliza menjadikan Syawal yang disambut hari ini sebagai titik permulaan buat semua kembali muhasabah diri masing-masing.  Ada benarnya kata Sharifah Aini, Aidilfitri kali ini cukup-cukup menggembirakan kerana ruang fikirannya kini bebas daripada segala kemelut yang pernah menghantui dirinya.

Bahkan, kegirangan menyambut Syawal juga tambah berganda kerana anak terunanya, Aliff Omar yang menuntut di Madinah pulang beraya bersamanya.  "Saya sungguh gembira dan amat bersyukur dengan kurniaan Allah buat saya.  Inilah hikmah daripada segala dugaan dan ujian yang saya lalui sepanjang bergelar anak seni," ujar biduanita yang sudah lebih empat dekad bergelar anak seni itu lagi.

Lebaran kali ini disambut Sharifah Aini di ibukota saja kerana beliau lazimnya menerima kehadiran tetamu khususnya sanak saudara dan sahabat yang menjadi tulang belakang kejayaan beliau selama ini..

RASA TERUJA SITI NURHALIZA

Sebaik Siti Nurhaliza bersetuju menjayakan sesi fotografi dengan Sharifah Aini, perkara yang pertama diajukan kepadanya adalah perasaan.  Pasti ramai yang mahu tahu apa yang dirasai Siti untuk melakukan sesi fotografi bersama biduanita negara itu selepas insiden enam tahun lalu.

"Saya tahu selama enam tahun ini ramai yang berteka-teki hubungan saya dengan Kak Pah (panggilan mesra buat Sharifah Aini).  Sebenarnya, selepas insiden tersebut, kami berdua ada bertemu dalam majlis yang tidak formal dan bertegur sapa seperti biasa.  Kerana itu saya okey untuk hadir pada sesi fotografi ini.  Saya bertuah kerana suami saya juga memberikan sokongan penuh untuk sesi fotografi ini," ujar isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini memberikan penjelasannya.

Walaupun ramai yang beranggapan mereka bermasam muka dan tidak bertegur sapa selama enam tahun, dakwaan itu ditangkis Siti dengan pantas.  Pinta Siti hanya satu iaitu mahu melupakan semua kisah yang telah berlaku dan meneruskan kehidupan seperti biasa.  Biarpun begitu, juara Bintang HMI 1995 ini tidak menafikan dua tahun pertama selepas insiden yang memalukan itu berlaku, ia meninggalkan impak yang bukan sedikit kepada dirinya.

"Biasalah dalam tempoh itu, ia masih lagi hangat diperkatakan ramai tetapi bermula tahun ketiga, saya sudah dapat biasakan diri dan berjaya mengikis perlahan-lahan dari kotak fikiran saya.  Saya pun enggan lagi menoleh ke belakang dan membuka kisah silam itu.  Saya juga percaya masing-masing sudah terlalu matang untuk membuat penilaian dan keputusan yang bijak," tutur pelantun lagu Biarlah Rahsia ini penuh rendah diri. 

Penghibur berusia 31 tahun ini dengan penuh jujur menyatakan kekagumannya terhadap penghibur sepanjang zaman itu yang disifatkan tiada tandingannya.  Malah, Siti mengakui, dia meminati dan membesar dengan lagu-lagu Sharifah Aini kerana didedahkan oleh arwah bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail yang merupakan peminat setia penghibur unggul itu.  "Kalau nak tahu, arwah abah boleh berhenti makan semata-mata mahu menonton persembahan Kak Pah di televisyen.  Memang keunikan suara Kak Pah itu menjadikannya terus unggul di persada seni tanahair sehingga kini," cerita Siti membuka rahsia yang barangkali tidak diketahui ramai sebelum ini.  Ditanya apakah lagu-lagu Sharifah Aini yang diminatinya, tersenyum Siti seraya berkata: "Lagu-lagu Kak Pah terlalu banyak yang saya suka.  Tidak tahu yang mana satu menjadi kegemaran."

Namun, satu pinta Siti agar masyarakat di luar sana tidak lagi membuat spekulasi atau tanggapan negatif terhadap hubungannya dengan Sharifah Aini.  Mengambil keberkatan bulan Syawal yang disambut hari ini, Siti mahu semuanya berjalan dengan baik seperti mana yang diharapkannya.  "Alhamdulillah.  Sebaik sahaja berita tentang sesi fotografi ini, ramai yang menyambutnya dengan gembira dan memberikan respons yang positif," ujar Siti yang tidak beberatan untuk berkolaborasi dengan Sharifah Aini dalam album mahupun lagu selepas ini.

Mengakhiri perbualan, sempat lagi Siti ditanya adakah dia sudah bersedia untuk mengadakah sebuah konsert tribute yang didedikasikan kepada Sharifah Aini.  "Idea yang sungguh menarik.  Kita tunggu dan lihat sahaja nanti," katanya yang baru sahaja pulang dari menunaikan umrah bersama suaminya semalam selama lapan hari.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sesuci Aidilfitri (Berita Harian – Sabtu, 11 September 2010)