LELAKI DI MATA SHARIFAH AINI oleh Saharudin Musthafa (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 4 March 2001) |
"Kebelakangan ini saya terasa begitu sunyi sekali," lemah sekali jawapan yang diberikannya. Mendengar jawapan itu membuatkan saya cuba untuk mencungkil rahsianya, namun hajat itu terbantut apabila melihat dia mengukir sekuntum senyuman penuh manis tetapi menyimpan seribu makna. Bagaikan memahami hasrat hati saya, Sharifah meneruskan perbualan dengan menjawab persoalan yang sememangnya sudah `bersarang' di ruang fikiran saya. "Orang sering bertanya, mengapa Sharifah Aini tidak mencari teman hidup? Jawapannya mudah, iaitu ramai lelaki takut untuk mendampingi saya," ikhlas jawabnya sambil ketawa kecil. Selepas hampir tiga tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, penghibur ini memberitahu, dia terpaksa lebih berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk memilih teman hidup. Melalui gaya pertuturannya, Sharifah sebenarnya lebih senang atau hanya layak didampingi oleh lelaki yang romantis. Berdasarkan gaya hidupnya pula, penghibur yang sudah memiliki 73 buah album selama 32 tahun bergelar penyanyi syarikat rakaman EMI (M) Sdn. Bhd. ini lebih layak ditemani oleh lelaki yang memahami kerjaya seninya. Juga yang lebih utama, wanita ini memerlukan seorang lelaki yang berakhlak mulia untuk memimpin dia dan anak-anaknya.
Bercerita mengenai pengorbanan juga, bertepatan dengan ketibaan Hari Raya Aidiladha Selasa ini, kata Sharifah sambutan itu sering kali menggamitnya untuk menghalusi maksud keinsafan di sebalik pengorbanan. "Hati saya sering kali sayu apabila tiba Hari Raya Aidiladha lebih-lebih lagi apabila memikirkan mengenai pengorbanan yang dituntut oleh agama," jelasnya sambil menghela nafas yang panjang. Apabila berpeluang mendekati dan mendasari jiwanya saya sebenarnya sudah boleh meneka apa yang sedang sarat ditanggung oleh seorang wanita yang jelita, popular, glamor dan berpengaruh sepertinya. Dan Sharifah Aini juga sudah tentu mempunyai jawapan yang lebih tepat untuk menjawab persoalan mengenai lelaki dari kaca matanya. |