DIALOG 2 PAGI DENGAN SHARIFAH AINI

oleh Aimi Jarr  (Utusan Filem & Fesyen, Ogos 1978)

JAM menunjukkan pukul dua pagi ketika Sharifah Aini melangkah masuk ke kereta saya.  Mukanya kelihatan letih tetapi suaranya kedengaran gagah dan bersemangat.  Sharifah Aini menumpang kereta saya setelah semalaman itu menghadapi kamera yang melakukan penggambatan filem 'Tiada Esok Bagimu' di kelab malam Travel Inn di mana dia muncul sebagai 'bintang undangan istimewa'.

"Ani rasa seronok berlakon di bawah arahan Jins Shamsudin yang begitu pandai berdiplomasi dengan artis," katanya ketika kereta saya meninggalkan tempat parking.  Kemudian sambungnya "sayang Ani hanya muncul dalam satu babak saja dalam filem itu."  Wajahnya yang tadi layu kerana keletihan bertukar menjadi berseri.  Cakapnya lebih bersemangat dan mengandungi harapan.  Matanya memerhati kertas-kertas yang berterbangan ditiup angin pagi.

"Sebenarnya Ani sekarang mula terasa hendak jadi pelakon filem yang serius yang tidak ada kaitan sama sekali dengan lapangan seni suara," penyanyi terkenal itu menimbulkan satu perkara yang sekaligus menarik minat saya untuk membicarakan lebih lanjut lagi.  "Bagaimana maksud Ani?" tanya saya ingin tahu lebih lanjut.  "Ani mahu berlakon dalam satu watak berat dalam filem lakonan Jins Shamsudin," katanya "peranan itu yang dramatik yang memerlukan kecekepan dalam lakonan," tambahnya. 

Secara terus terang pelakon pujaan ramai itu berkata "Ani yakin dalam diri Ani mempunyai bakat berlakon yang besar tetapi tidak diperkembang sebaik-baiknya.  Alangkah ruginya kalau bakat Ani yang besar itu dipersia-siakan saja," sebuah keluhan berat dilepaskannya dalam wajahnya yang damai itu.

UDARA terasa begitu sejuk dan Sharifah Aini menaikkan cermin kereta sambil berkata, "Walaupun Ani memegang peranan utama dalam filem 'Hapuslah Airmatamu' arahan M Amin tetapi peranan itu masih ada hubungan dengan nyanyian. Ani mahu berlakon sebagai gadis yang malang atau sebagai gadis yang tersepit di tengah-tengah kepahitan hidup yang sama sekali tidak ada kena-mengena dengan kehidupan Ani sebagai penyanyi," tekannya sungguh-sungguh.  "Kalau pun dalam filem itu ada babak menyanyi," katanya kemudian "biarlah orang lain yang menyanyi dan Ani tidak terlibat dengan babak itu."

Beberapa kali dia berkata dengan suara lantang, "Ani mesti jadi pelakon yang serius."  Seperti membuat satu permohonan yang ikhlas Sharifah Aini bersuara "Aini bersedia menerima tawaran berlakon dalam filem arahan Jins Shamsudin yang akan datang kalau filem itu bercorak drama berat."

Setelah perjalanan semakin dekat ke jalan yang menuju ke rumahnya dia berkata dengan suara tegas, "Ani rasa sebagai pelakon berwatak besar seseorang boleh bertahan sampai ke tua tetapi sebagai penyanyi memanglah sukar."  Dipandanginya muka saya dan bertanya, "Betul tak semakin lanjut usia semakin cekap dan mahir seseorang itu menguasai seni lakon?"  Setelah melihat saya mengangguk-nganggukan kepala dia berkata lagi, "tetapi kekuatan sebagai penyanyi rasanya banyak bergantung pada kemerduan suara dan kecantikan rupa."

PENYANYI yang mula melangkah ke duania antarabangsa itu sanggup bersara buat sementara waktu dari kegiatan menyanyi untuk menumpukan sepenuhnya perhatian ke bidang seni lakon dalam filem.  "Di penghujung tahun ini sebaik-baik masa untuk Ani berehat dari menyanyi," ujarnya.  Menurut penyanyi yang masih belum berpunya itu beberapa rancangan telah diatur untuknya menyanyi di laur negara seperti ke Jakarta, Hong Kong, Tokyo dan juga beberapa buah negara Eropah.  "Dalam bulan puasa ini Ani akan menyanyi di kelab malam di Jakarta dan berada di sana sehingga selepas hari raya nanti," katanya setelah kereta saya tiba di depan pintu pagar rumahnya di Bangsar Park.