Kak Pah Tabik Ramli MS, Pak Ngah

'Sekilas Pandang' dikendalikan Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: Bi-Pop, 18 Februari 2007)

 

 

Lama juga Raja tidak dengar khabar berita Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah.  Tapi Raja tahu, diam Kak Pah sentiasa diam berisi kerana dia seorang yang prolifik.  Buat masa ini Kak Pah sedang tekun menyiapkan persiapan album solo terbarunya yang akan mengangkat muzik Melayu ke satu tahap tertinggi.  Menghubungi Kak Pah baru-baru ini, Raja dapat mendengar nada kesibukannya.  Maklumlah orang tengah membuat persiapan untuk memasuki studio dalam waktu terdekat, jadi banyak perkara perlu dibereskan.  Kalau semua peminat hendak tahu, Kak Pah akan muncul dengan album yang ke 98, memuatkan hampir 40 lagu rakaman terbaru sekali gus!

Mulanya Kak Pah agak keberatan untuk bercerita kerana projek itu sepatutnya menjadi stu 'surprise' kepada peminat tetapi biasalah, kalau wartawan sudah mampu menghidu, terpaksalah juga Kak Pah bercerita malah mengakui bahawa dua penggubah yang bertanggungjawab mengendalikan album itu adalah Ramli MS dan Pak Ngah.  Sebelum bercerita lebih lanjut, Raja ingin memaklumkan bahawa Kak Pah menggunakan khidmat sebuah orkestra yang dianggotai 110 pemuzik.  Haa, bayangkanlah nanti bagaimana hasilnya, tentu mantap habis!

"Memang benar Ramli dan Pak Ngah akan mengendalikan album istimewa saya itu.  Ramli akan menerbitkan 23 lagu dan Pak Ngah pula 16 lagu.  Saya amat gembira dengan pembabitan mereka kerana masing-masing mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik dan lebih penting, memberikan komitmen dan bersikap amanah.  Sudah lama saya mengagumi hasil kerja seni Ramli dan Pak Ngah.  Tidak keterlaluan dikatakan, saya adalah peminat nombor satu mereka.  Bagi saya, Ramli dan Pak Ngah adalah komposer dan penggubah lagu yang terbaik untuk mengemudi vokal saya kelak mahupun susunan muzik bagi album ini," katanya.

Apa yang menarik Kak Pah berkata selepas rakaman selepas bulan depan, album itu akan menjalani proses adunan dan 'mastering' di Los Angeles, selama dua minggu, April ini.  Selain lagu pembabitan Ramli dan Pak Ngah, album berkenaan menyelitkan sebuah lagu istimewa, Aku Masih Di Sini ciptaan Yasin (Mimpi Laila).  Kak Pah akui, beliau mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk mendengar, meneliti dan menilai lagu yang sesuai untuk album yang dianggap paling istimewa dalam sejarah hidupnya selama 39 tahun bergelar anak seni.  "Saya mendengar lebih 1,000 lagu dalam tempoh setahun setengah.  Bagaimanapun, konsep lagu dalam album ini masih lagi rahsia.  Apabila semuanya hampir selesai, barulah saya akan mengumumkannya.  Apa yang dapat saya katakan album ini khusus untuk negara, bangsa dan semua peminat saya," ujar Kak Pah.

Dalam rancak bercerita, nada suara Kak Pah tiba-tiba bertukar menjadi sayu.  Kak Pah mengakui dia diperdaya seseorang yang selama ini amat dipercayainya untuk membantu pembikinan album terbabit.  Disebabkan insiden itu, beliau hampir-hampir patah semangat namun diberi sokongan padu oleh Ramli dan Pak Ngah.  "Saya sudah anggap orang itu sebagai kawan karib saya tapi akhirnya dia sanggup menipu saya.  Inilah yang dikatakan manusia, apabila membabitkan wang, kawan yang kita kenal sejak bertahun-tahun lamanya pun boleh hilang pertimbangan dan menjadi kelabu mata.  Tapi tak mengapa, saya redha.  Bagi saya wang bukanlah boleh dibawa hingga ke liang lahad," katanya.  Mendalam betul kata-kata Kak Pah itu.  Bersabarlah Kak Pah.  Raja yakin dengan niat yang murni, segala usaha Kak Pah itu akan pasti membuahkan hasil lumayan.