Betul Ke Konsert Kak Pah Kita Dipinggirkan?

'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 30 April 2000)

 

 

Ketawa rakan wartawan yang duduk makan semeja dengan Kak Pah (Sharifah Aini) bila mendengar dia berkata: "Nak tahu kenapa nama konsert saya Konsert Di Pinggir Kayangan?  Yelah ... nak menyanyi di Istana Budaya tak dapat ... tak boleh.  Ada yang kata tak boleh.  Jadi menyanyilah di pinggir kayangan saja ... di DBKL sajalah," katanya ketawa.  Tak tahulah berseloroh atau melepas rasa terkilan.  Setahu Huzz Kak Pah memang pernah menyuarakan hajatnya nak menyanyi di Istana Budaya yang tersergam indah itu.  "Khabarnya dia orang (ada pegawai di sana) memaklumkan banyak sangat aktiviti dibuat di situ... jadi nak selit masuk konsert saya ni tak dapat.  Saya pernah berusaha untuk mendapatkan peluang menyanyi di sana.  Memang tak dapat.  Entah kenapa ... iyalah kut tak layak menyanyi di sana."

Di hari sidang akhbarnya sempena konsert bersama Di Pinggir Kayangan tu, Huzz dengar wartawan bertanya mengapa mesti dipentaskan di DBKL lagi setelah dua tahun lalu Kak Pah menjayakannya dengan sukses selama tiga hari tiga malam.  Wartawan mengharapkan biduanita yang sudah 31 tahun menyanyi dan pernah diundang untuk satu konsert besar di Victoria Symphony Hall Singapura ini berpeluang mengadakan konsertnya di Istana Budaya atau Fillharmonik KLCC.  Itulah standardnya sekarang apalagi dia kini terkenal menyanyi dengan iringan pemuzik orkestra.  Nak buat macam mana nampaknya hanya DBKL dan Dewan Merdeka PWTC selalu bersetuju dan mengizinkan Kak Pah kita menyanyi di tempat mereka.

OKlah, untuk konsert di DBKL tu nanti tiket berharga RM100 dan RM200.  Sudah dijual di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak seminggu lalu. Sharifah Aini yang diberi gelaran biduan negara oleh sebuah akhbar minggu lalu dan penerima anugerah AIM 2000 tentu tidak mahu ketinggalan kerana konsert ini dijangka meriah.  Mana tidaknya peminat lagu irama Melayu – asli, keroncong, zapin dan boleh dikatakan irama klasik – akan dihiburkan selama dua jam lebih pada malam 19 dan 20 Mei ini.  Masa pementasan ialah jam 8.30 malam.  Antara lagu dendangannya bersama orkestra DBKL di bawah pimpinan Ishak Ali Muda dan Johari Salleh ialah Jauh Di Mata, Burung Pungguk, Teratai, Kenang Daku Dalam Doamu, Gurindam Jiwa, Tiba-Tiba Rindu, Sri Mersing, Sri Kedah, Semenjak Kita Berpisah, Seroja, Hiburkanlah Hatiku, Kain Songket, Kucurah Kasih Di Dalam Lagu (irama Hindi) dan banyak lagi.

Sementara itu pada 7 Mei ini bertempat di Hotel Empress Kuala Lumpur Kak Pah akan muncul pulak di sana sempenea Hari Ibu.  "Untuk meraikan show amal itu sempena Hari Ibu saya meraikan ramai ibu-ibu yang akan datang dengan anaknya.  Show itu juga bertujuan mendapatkan kutipan untuk tabung anak yatim dan kutipan amal untuk mereka yang memerlukan (termasuk tabung Nurul Afiqah).  Macam konsert di DBKL juga saya beramal mendapatkan tabung amal untuk mereka yang memerlukan," akuinya.  Nak ke show di hotel itu telefon Puan Rozi (bahagian pemasaran) di 03-8467777.

Pihak syarikat rakaman EMI Malaysia pula telah menerbitkan sebuah album khas untuk seluruh peminat Kak Pah dan Broery Marantika.  Album kompilasi itu diberi nama Hapuslah Air Matamu.  "Album ini mengenangkan Broery sebagai penyanyi (Broery meninggal dunia awal April lalu kerana sakit angin ahmar).  Di dalam album itu terdapat lagu hits seperti Hapuslah Air Matamu, Haruskah Kita Berpisah, Perasaan Hati, Hatiku Hatimu dan lain-lain di mana terdapat lagu duet Sharifah dan Broery.