Berat Badan Kak Pah Naik Kerana Biskut Raya

'Sejenak Bersama Huzz' dikendalikan Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 20 Oktober 2002)

 

 

Berat 'body' Kak Sharifah Aini kita naik lagi.  Nampak tembam pipi tu.  Katanya: "Ya ... betul berat badan Kak Aini naik dalam sebulan lalu.  Ramai kawan tegur kenapa nampak berisi balik.  Ada yang ingat Kak Aini susah hati sebab Aliff dah belajar di Madinah.  Maklum kalau susah hati Kak Aini kuat makan, tapi kali ni berat badan naik bukan kerana susah hati tapi sebab senang hati.

"You tahu Huzz ... sebulan lalu Kak Aini sibuk menjamah kek dan biskut beraneka jenis termasuklah serunding ayam, daging dan ikan.  Semuanya kerana nak memastikan mutu segala macam makanan yang ditempah daripada pakar yang kami pilih betul-betul sedap.  Semua itu ditempah untuk bisnes yang Kak Aini buat menjelang raya dan musim perayaan lain.  Pelanggan sudah mula menempah bungkusan kek, biskut moden, tradisional dan serunding untuk musim raya.  Kebanyakannya badan korporat yang membelinya untuk dihantar kepada pelanggan mereka di merata tempat.  Paling dijaga ialah kualiti perkhidmatan syarikat yang Kak Aini terajui sekarang bersama rakan kongsi  iaitu Pods & Petal's Giftlab (menyediakan segala macam tempahan hadiah dan bungaan)."

Wah ... masa Huzz ke istana Kak Pah minggu sudah, Huzz jumpa wakil beberapa syarikat korporat yang datang menjenguk contoh bungkusan kuih-muih dan kek untuk tempahan raya.  Amboi biskutnya comel dan gebu-gebu, begitulah keknya.  Begitu diteliti mutunya ye.  Ada yang terus bikin tempahan untuk dihantar kepada pelanggan mereka.  Mana tidaknya, memang kualiti mutu kerjanya tak boleh dipertikaikan.  Cantik-cantik belaka.  Harga berpatutan.  Mengikut kemampuan dan kehendak pelanggan.  Bukan saja raya, untuk perayaan lain pun ada.  Hantaran kahwin pun ada.  Termasuklah untuk tempahan bulan puasa, kiriman kurma juga diminta.  Kami akan menjadikan semua tempahan ini realiti yang menjanjikan kepuasan pelanggan."

Inilah sebahagian gambar sentuhan tangan gubahan hadiah, bunga, biskut dan barangan hantaran yang diambil di rumah Kak Pah.  Kak Pah tak izin keluarkan semua gambar, katanya takut nanti ada orang meniru sentuhan tangannya!  Minggu lalu sejak ditulis pasal bisnes Kak Pah, ada peminat memohon Huzz menyiarkan alamat syarikatnya.  Maklumlah setakat nombor telefon dan faksimile aje ada yang tak puas hati.  Okey, anda boleh ke sana atau hubungi Aidil, Rosman atau Mariina untuk membuat tempahan.  Faksimile ialah 03-79573233, alamatnya ialah No. 15, Jalan 14/37 46100 Petaling Jaya.