SHARIFAH AINI ADA 1001 PETUA

oleh Lokman Arshad (Pesta, 1 September 2000)

menjadi penghias muka depan majalah Pesta, 1-15 September 2000SHARIFAH AINI BIDUANITA BULUH PERINDU

Bila kita menyebut nama Sharifah Aini, pasti ingatan para peminat seni suara tanahair terhadap lagu-lagu evergreen yang penuh dengan kesan nostalgia di dalam lipatan kenangan mereka terus mekar mewangi.  Biduanita ke II Negara Sharifah Aini atau lebih sinonim dengan panggilan mesra Kak Pah dlihat terus unggul tanpa mampu diganggu gugat oleh sesiapa malah kesinambungannya dalam dunia nyanyian tiada seorang penyanyi pun mampu meluahkan rasa cemburu di atas pencapaian hebatnya.  Itulah Sharifah Aini yang telah meraih berbagai gelaran termasuk 'Anugerah Buluh Perindu'.  Ini semua kerana talent semulajadi yang wujud dalam diri Kak Pah sejak menceburkan diri dalam dunia nyanyian kira-kira 30 tahun lalu.  Bukan senang untuk mengimbangi pencapaian dunia seni dalam jarak masa selama itu. 

Populariti Kak Pah bagaikan 'seberkas mawar' yang tetap mengharum di sepanjang zaman dan anugerah 'Biduanita Negara ke II' diberikan kepada Kak Pah ketika dirinya masih betah di persada seni sememangnya menepati kehendak peminat seni suara tanahair.  Sharifah Aini masih bertenaga untuk mengimbangi kebangkitan penyanyi-penyanyi angkatan baru yang pantasnya boleh dipanggil 'anak' kepada penghibur itu.  Tapi malangnya. Berapa kerat di kalangan artis baru yang bersedia untuk menjadikan Kak Pah sebagai 'guru' mereka?

Selepas hampir lebih 30 tahun bergelumang dalam arena seni, pastinya Kak Pah memiliki seribu petua dan tips hebat untuk mebolehkan dia mampu bertahan sehingga hari ini.  Sedangkan penyanyi seangkatan dengannya dulu sudah lenyap ditelan usia dan masa.  Malah kelibat mereka kini begitu sukar untuk dikesan lagi.  Namun nama Sharifah Aini dianggap sebagai nama yang begitu berharga kepada rakan-rakan seangkatan dengannya.

Tidak nampak cacat celanya Biduanita Sharifah Aini kecuali peminat turut merasa sayu betapa Kak Pah terus berhadapan dengan situasi mempertahankan rumahtangganya sebanyak dua kali dalam sejarah hidupnya.  Namun Kak Pah tetap tabah dan menganggap suatu takdir Tuhan yang harus diterima dengan hati yang tabah.  Berkat ketabahan itulah membuatkan Sharifah Aini berjaya.untuk terus mengungguli dunia nyanyian yang sebenarnya telah menjadi isi dan kuku serta darah dagingnya sejak dirinya berjinak dalam dunia nyanyian.

Memetik kata-kata Sharifah Aini, antara lain tips yang bagus untuk diamalkan mana-mana penyanyi muda ialah komited dalam setiap penghasilan album demi album.  Komitmen secara total dari A hingga Z sehingga memenuhi citarasa semua pihak termasuk kepuasan para peminat.  Tidak akan terasa digula-gulakan.  Dari situ setiap penyanyi akan dapat mengenal pasti di mana kelebihan dan kelemahan album mereka.  Dari situ katanya, seseorang penyanyi itu akan dapat menjelaskan kepada peminat lebih-lebih lagi wartawan jika persoalan mengenai album mereka diajukan.

Selain itu penjagaan vokal begitu penting selain meningkatkan pencapaian vokal di kelas-kelas yang sedia ada, penjagaan vokal asli supaya 'pitching' tidak berubah dari kelunakan suara asal penyanyi itu tetap diutamakan lebih-lebih lagi bila menyanyi dengan iringan orkestra.  Oleh itu tidak hairanlah mengapa suara merdu Sharifah Aini sejak dulu hingga hari ini tetap konsisten dan tidak boleh ditiru oleh sesiapa.  Sebenarnya 'trademark' beginilah yang harus dikekalkan oleh penyanyi-penyanyi angkatan baru.

Banyak lagu-lagu baru terus dihasilkan oleh Sharifah Aini namun peminat setia nyata lebih tersentuh apabila mendengar suara gemersik Kak Pah mendendangkan lagu-lagu evergreen seperti Bunga Tanjung, Hapuslah Airmatamu, Dekatlah Padaku, Kau Tinggi Di Awan Biru, Tiada Maaf Bagimu, Inikah Balasannya, Di Malam Persandingan dan banyak lagi telah benar-benar menikam kalbu setiap pendengar.  Dan tidak hairan mengapa begitu ramai pencinta seni suara tanahair menjadikan Sharifah Aini sebagai idola mereka.  Suara emasnya yang tetap unggul tanpa dapat ditiru oleh mana-mana penyanyi termasuk keaslian lenggok dan pitching yang mengasyikkan.

Ditanya siapakah di antara penyanyi yang pernah mengukir kenangan padanya, Kak Pah terus terang menamakan seniman Broery Marantika.