ANI DIPELUK RINDU

oleh Omar Manan (Pesta, 15 Februari 1989)

Ani Dipeluk RidnuAngka 39 telah menutup lembaran tahun 1988 bagi penyanyi kesayangan ramai Sharifah Aini.  Kerana angka itu adalah jumlah bilangan albumnya setakat ini yang baru saja diedarkan di pasaran.  Sharifah memilih jodolnya kali ini SHARIFAH AINI.  Dua orang komposer ternama telah berpadu tenaga untuk melahirkan album tersebut.  Mereka ialah A Ali dan Manan Ngah.  Sementara liriknya pula ditulis oleh Habsah Hassan, Lukhman S, Seri Bayu dan Juwie.

Rata-rata peminat berpendapat album Sharifah kali ini memang hebat, sementelahan pula dua orang penggubah handalan tersebut berjaya mewarnakan rentak dan iramanya bersesuaian dengan identiti penyanyinya sendiri.  Ia ada irama asli, pop dan Arab. 

"Dalam satu pertemuan dengan PESTA baru-baru ini, Sharifah Aini menjelaskan bagi mengisi lembaran di ambang '89 ini dia menamakan penggubah terkenal Ahmad Nawab untuk dipertanggungjawabkan menggubah lagu-lagu yang bakal dirakamkannya kira-kira dua bulan lagi.  Kenapa Sharifah Aini memilih Ahmad Nawab untuk albumnya pada kali ini?  "Rahsia," jawabnya.  Tentulah ada yang tersirat di sebalik pemilihan Ahmad Nawab itu?  "Ani rindu padanya," sambungnya selamba.

Begitulah gaya dan cara penyanyi sepanjang zaman ini bila menghadapi pertanyaan dari wartawan yang menginterbiunya.  Adakalanya serius, kelakar dan menggelikan hati.  Namun begitu setiap dari jawapannya mempunyai sesuatu yang tersirat di hatinya.  Sesungguhnya penyanyi yang bernama Sharifah Aini ini, unik orangnya.  Penyanyi ini sering menimbulkan kontroversi.  Kadangkala masyarakat terutamanya peminat-peminat merasa cemas, hampa dan marah terhadap tindak-tanduknya.  "Tetapi itulah sebenarnya yang membahagiakan hidup Ani sebagai penyanyi yang dikatakan milik masyarakat," tulus jawapannya.  "Dan kerana itulah Ani selalu resah dipeluk rindu," sayu katanya.

Satu hal yang tidak boleh dinafikan setakat ini, Sharifah Aini belum dapat ditandingi oileh mana-mana penyanyi selepas Biduan Negara Saloma.  Bukan saja dari segi populariti Sharifah Aini itu sendiri malah keupayaannya dalam mendendangkan setiap bentuk lagu, baik lagu-lagu berirama asli, dondang sayang, keroncong, dangdut apatah lagi lagu-lagu yang berirama pop.  Bila bercakap tentang karier penyanyi ini, sekaligus orang akan lebih konsenstrasi pada hal-hal yang menyangkut dalam diri penyanyi ini.  Kenapakah orang akan lebih tertarik pada hal-hal seumpama itu?  Sharifah sendiri tidak menafikan hal yang sedemikian.

"Kalau boleh semua perkara mereka nak tahu dari Ani.  Tapi sebaliknya pula kalau boleh semua perkara Ani nak dedahkan pada peminat dan masyarakat yang setia mengikuti setiap perkembangan diri Ani," sambungnya dengan gelak ketawa.  "Tunggulah satu hari nanti Ani akan ceritakan segalanya kepada masyarakat baik yang di luar mahu pun yang di dalam tubuh Ani kalau Ani umur panjang dan buku tersebut dapat ditulis," katanya.

AHMAD NAWAB SHARIFAH AINI BAGAI PINANG PULANMG KE TAMPUK

Rata-rata peminat Sharifah Aini berharap sangat penggubah terkenal Ahmad Nawab menggubah semula lagu-lagu nyanyian Sharifah kerana menurut mereka gubahan Ahmad Nawab amat sesuai dengan patah lagu dan suara Sharifah yang merdu dan nyaring itu.  Masing-masing melahirkan rasa gembira bila mendengar berita bahawa Sharifah Aini akan mengundang komposer terkenal itu untuk menggubah lagu-lagu albumnya yang ke-40.  Peminat-peminat juga melahirkan harapan kalau boleh rakaman itu hendaklah dibuat sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri depan dan sebuah lagu darinya hendaklah diciptakan untuk menyambut Hari Raya tersebut.