SHARIFAH AINI: "SENI KREATIF, PERSEDIAAN AWAL BERUNDUR DARI DUNIA SENI" oleh Ade Irma Suryani Che'leh (Perempuan, November 2002) |
Yang istimewa bukan sahaja kerana namanya biduanita negara tetapi hasil kreativiti yang ada pada dirinya. Bakat dan kebolehan dalam menghias ternyata terserlah dan 'dikomersialkan'. Justeru itu penelitian dan minatnya yang mendalam dalam seni gubahan telah diterapkan pada gubahan dan cara pembungkusan hadiah oleh Pods & Petals Giftlab. Setiap satu mempunyai nilai estetika dan cukup berseni bahkan ia menjadi satu kelainan yang cukup istimewa untuk perniagaan cenderahati atau hamper di Malaysia khusus untuk pihak korporat, orang kenamaan atau pelbagai individu.
"Saya seorang yang cukup teliti dan mahu melihat segala-galanya sempurna. Saya merasakan orang lain punya perasaan seperti itu. Di luar negara atau Singapura perniagaan seperti ini sudah lama diperkenalkan. Saya tidak nafikan ramai yang sukakan 'cara persembahannya' yang cukup menarik. Justeru itu saya rasa perniagaan seumpama ini dapat diterima ramai di Malaysia kerana ia unik dan mengutamakan kualiti." "Saya gembira sekiranya cara penghantaran itu membuatkan orang lain bahagia dan berpuashati," kata beliau yang dibantu oleh 12 orang kakaitangan. Bukan itu sahaja, beliau sanggup turun padang demi memuaskan hati peminat dalam usaha memperkenalkan syarikatnya. Untuk memantapkan lagi kemahiran, beliau mengikuti kelas belajar menggubah. Buat masa kini, beliau terpaksa menyelaraskan jadual hariannya untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar. Pelbagai barangan mengikut peruntukan dan keperluan atau suasana seperti hari lahir, ulangtahun perkahwinan, cenderamata untuk menziarahi orang sakit dan sebagainya disediakan. |