SHARIFAH AINI KEMBALI LAGI oleh Rafe'ah Abdul Rahman (Perempuan, Disember 1992) |
Kemunculan Sharifah Aini dengan album terbaru Koleksi Kenangan Manis vol I & II sekurang-kurangnya telah menjawab teka teki peminat seni tanahair setelah menyepi tanpa berita untuk sekian lama. Bukan peminat sahaja yang tertanya-tanya malah para wartawan juga begitu ghairah menanti dengan sabar dan debar kerana terlalu banyak soalan yang ingin ditanyakan semasa sidang akhbar sempena pelancaran albumnya, di Carcosa Seri Negara baru-baru ini. Suasana dewan yang dingin. Hanya terdengar bisik-bisik suara berbicara tiba-tiba menjadi senyap sunyi saat Sharifah Aini melangkah masuk. Semua mata tertumpu ke arahnya. Sharifah Aini masih jelita, anggun dan bergaya. Berbaju kurung moden hitam berbunga merah menyerlahkan lagi kecantikannya. Penampilannya masih seperti dulu tidak berubah - rambut ikalnya separas bahu, keramahan tutur katanya yang tegas tapi lembut, pendek kata, bagai jatuh cinta pandang pertama, jika baru bertemu. Hingga ada yang terlanjur menggelarkannya, 'Elizabeth Taylor Malaysia', dan jolokan itu disambutnya dengan ketawa kecil kerana Sharifah Aini tidak pernah bermimpi dirinya sebagai pelakon popular Hollywood itu. Mengapa Sharifah Aini menyepi diri hampir empat tahun dan ke mana hilangnya beliau selama tempoh itu. "Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat lari dari masalah peribadi yang mesti diselesaikan terlebih dahulu. Saya tidak mahu kemunculan saya diganggu dengan masalah kerana bimbang terbawa-bawa dalam arena muzik sehingga konsentrasi juga akan turut terjejas," ujarnya tenang menjawab setiap soalan yang diajukan. Bagaimanapun suaranya di album begitulah juga ketika sesi perbualan berlangsung selama satu jam, lunak dan merdu. Dari kata-katanya itu, seolah-olah beliau memberi jaminan bahawa dirinya kini telah 'bersih' dari sebarang masalah yang membelenggu hidupnya dan sedikit sebanyak menjejaskan kriernya. Dalam pada itu, peminat tentu ingin tahun kehidupan beliau sekarang. "Kemunculan saya tiada kaitan dengan kehidupan baru. Saya akan akan terus menyanyi selagi masyarakat memerlukan," katanya menjawab teka-teki yang bersarang di fikiran peminat setia beliau. Sharifah Aini juga tetap mengekalkan identiti asalnya dalam album terbaru itu nanti dengan membawakan irama kemelayuan: asli, deli dan pop. Katanya, beliau tetap Sharifah Aini dan tidak akan menjadi seperti lalang ditiup angin hanya kerana mengikut rentak semasa pasaran muzik kini yang lebih tertumpu kepada irama rap dan rock. Album Koleksi Kenangan Manis vol I & II ini mengandungi lagu-lagu terbaik beliau antaranya, 'Terbang Helang', 'Fatwa Pujangga', 'Hapuslah Airmatamu' dan 'Kau Tinggi Di Awan Biru', iaitu lagu-lagu yang pernah menjadi halwa telinga pendengar dan masih diminati sehingga kini. Turut dimuatkan ialah dua buah lagu Arab dendangan Fairuz, penyanyi popular Mesir, dinyanyikan semula oleh Sharifah Aini. Kenapa album terbaru ini masih memuatkan lagu-lagu lama beliau dan tidak lagu-lagu dengan rentak dan irama baru? "Koleksi lama patut disimpan sebagai khazanah seni untuk masa akan datang serta diolah mutunya agar lebih baik lagi. Lagipun, lagu-lagu lama masih diminati. Misalnya lagu 'Bunga Tanjung', masih lagi mendapat tempat di pertunjukan pentas atau jamuan makan malam terutamanya dari golongan atasan," ujarnya yang berpengalaman selama 23 tahun sebagai artis.
Secara peribadi, Sharifah Aini menganggap lagu asli boleh dipermodenkan asalkan tidak dipesongkan hingga hilang identiti kemelayuannya. Lagu 'Bunga Tanjung' (turut dimuatkan dalam album terbaru itu nanti), akan mengalami beberapa perubahan terutamanya dari segi susunan muzik dan lebih bercirikan klasikal. Digelar penyanyi 'evergreen', kedudukan Sharifah Aini sebagai penyanyi popular masih belum tergugat walaupun kemunculan artis baru bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Katanya, perkembangan industri muzik tanahair amat menggalakkan. Beliau melihat keghairahan artis baru hanya seketika kerana tidak begitu komited dan tidak mempunyai komitmen yang baik. Selepas muncul dengan satu atau dua album, terus menghilang. Sharifah Aini turut membidas sikap sesetengah artis yang 'gila glamour'. "Tidak dinafikan ada artis yang naik kerana wajah atau publisiti. Glamor itu indah kerana ia bersifat sementara bagaikan sengatan/gigitan yang berbisa. Artis mesti ada haluan, tentukan sikap bertanggungjawab dan mempunyai karektor. Bukan macam 'over night star," katanya memberi maksud yang mendalam. Sebagai artis yang telah masak dengan asam garam dan permainan dunia hiburan, beliau menyeru semua artis supaya bersatu memperjuangkan hak bersama demi kepentingan masa depan kerana kebanyakan artis bergantung kepada bidang muzik sebagai mata pencarian utama. Cuma beliau kesal kerana artis lebih suka bersikap 'menyalak di belakang' dan tidak berani tampil ke depan mengemukakan masalah secara berani, meskipun mereka teraniaya. Sebagai artis veteran dan berpengalaman dengan sepak terajang dunia muzik khasnya, eloklah kata-kata beliau diibaratkan sebagai 'nasihat kakak kepada adik-adiknya', kerana seorang kakak sudah tentu tidak mahu melihat adiknya menjadi mangsa permainan sandiwara yang pernah beliau alami sendiri. Mungkin masa empat tahun memberi ruang Sharifah Aini berfikir dengan matang sebelum mengambil keputusan menyambung semula identitinya sebagai artis. |