DATUK SHARIFAH AINI TETAP UNGGUL Penyelaras – Zainora Zakaria dan Hasanah Haji Othman (Perempuan, Ogos 2003) |
Bercerita tentang kegemaran artis jolokan Elizabeth Taylor Malaysia ini, ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau adalah 'ulat buku'. "Jangan fikirkan mereka yang tidak ada ijazah itu tidak tinggi pemikirannya. Bagi saya walaupun tanpa ijazah kita boleh tahu banyak perkara serta pengalaman daripada buku-buku yang dibaca. Seperti saya, walaupun tak ada ijazah, saya dalami dunia luar atau orang lain dengan bacaan. Buku banyak dedahkan saya tentang banyak perkara yang mungkin tidak ada didedahkan di tempat kita belajar." Tegas Datuk Sharifah Aini mengenai cara beliau mendapatkan 'ilmu'. Antara buku yang mendapat perhatian beliau adalah buku-buku motivasi, psikologi, perundangan, biografi, kesihatan, 'interior' hiasan dalaman dan 'landscaping' serta novel-novel yang berdasarkan kepada kisah benar. Disebabkan minatnya terhadap buku, ruang pejabat di rumah beliau tersusun kemas dengan pelbagai jenis deretan buku 'hard cover' yang rata-ratanya ditulis oleh penulis luar negara. "Saya lebih suka membaca buku yang boleh buat saya berfikir. Menguji minda atau berkongsi kisah cerita yang saya baca untuk diri sendiri." Beliau mempunyai koleksi sebanyak hampir 4,000 buah buku-buku yang dlihat sebagai investment ilmu. Beliau juga tidak pernah sayang wang ringgitnya untuk membeli buku-buku walau semahal manapun dan mempunyai library di rumahnya. "Kalau pergi 'shopping' atau melancong ke luar negara, gedung atau kedai buku adalah tempat yang menjadi keutamaan. Kat mana ada kedai buku kat situlah saya ada. Itulah juga peluang saya mencari pelbagai koleksi buku. Sebenarnya saya suka baca semua jenis buku kecuali novel yang jalan ceritanya direka-reka." Cerita beliau lagi, selain bilik pejabatnya, bilik tidur beliau juga tersusun kemas dengan buku-buku kesukaannya. Malah buku-buku tersebut dijaga rapi seperti mana beliau menjaga perhiasan rumahnya yang lain. "Bagi saya gelaran itu adalah subjektif. Ia tidak akan mengubah siapa diri saya. Sebagai anak seni saya juga letak diri sebaris insan seni yang lain. Bergaul dengan sesiapa sahaja. Saya tak nak ada orang yang berpandangan serong tentang gelaran saya ini, maklumlah dunia seni ini sukar kita nak jangka. Orang yang hebat macam PM kita tu pun macam-macam orang mengata." Tegasnya lagi, "Sebagai artis yang menjadi perhatian masyarakat, insya-Allah saya akan cuba bawa penampilan saya sesuai dengan gelaran tersebut."
"Sekarang saya amat bersyukur kerana Aliff belajar dalam bidang pilihannya sendiri. Selama ini saya tak pernah mengongkongnya. Sebagai ibu saya juga inginkan yang terbaik buat dirinya. Alhamdulillah impian itu sudah hampir tercapai. Anak-anak yang dulunya kecil-kecil kini semuanya dahpun besar. Apa lagi yang saya nak? Pastilah melihat mereka semua bahagia dan berjaya." Ujar mummy penyayang ini lagi. Dalam bidang perniagaan, beliau berhasrat untuk membuka cawangan Pods & Petals ke Sabah, Sarawak, Brunei dan juga Singapura. Jelas sekali populariti dan keistimewaan yang ada pada diri beliau secara tak langsung telah melonjak naik nama syarikat Pods & Petals Gift Lab Sdn Bhd. TERBUKA HATI UNTUK BERKAHWIN Setelah 6 tahun hidup sendirian, Datuk Sharifah Aini tidak menolak sekira jodohnya tiba. Baru sekarang keinginannya itu berani disuarakan. Menurut beliau, anak-anak sudah besar dan anak sulungnya Aliff Omar, 21, kini menuntut di Universiti Islam di Madinah. "Saya perlu memikirkannya untuk masa diri saya. Maklumlah anak sudah meningkat dewasa dan bakal ada keluarga sendiri. Jadi sudah sampai masanya saya memikirkan orang yang akan berada di sisi saya atau lebih jelas seorang suami yang juga sahabat tempat mengisi kekosongan diri." Perempuan: Sudah adakah calonnya? Dan bila? Sharifah Aini: "Buat masa sekarang saya belum ada sesiapa lagi. Tapi kalau sudah ada jodoh insya-Allah. Maklumlah saya bukan muda lagi. Kalau nak ambil masa bercinta tu malulah kat anak-anak. Tapi lelaki tersebut mestilah seorang yang beriman, bertanggungjawab dan saya suka lelaki yang segak dan tinggi," selorohnya lagi. Perempuan: Adakah lelaki idaman itu seorang bujang, duda atau yang sudah berpunya? Sharifah Aini: "Kalau boleh biarlah yang duda. Saya tak nak lelaki yang sudah beristeri. Bukan dek kerana serik dengan pengalaman lalu bersama DS. Rumahtangga saya bersama DS selama 17 tahun bahagia sekali." Perempuan: Boleh ceritakan pengalaman hidup bermadu? Sharifah Aini: "Sebenarnya hal ini bergantung kepada individu itu sendiri. Tetapi bagi saya adalah menjadi kewajipan kita yang kedua untuk menjaga hati isteri pertama. Jangan buat suami pening kepala dengan kerenah kita. Bila berada dalam situasi seperti ini kita mestilah banyak mengalah. Baru keadaan tak jadi kelam kabut dan suami pun akan sayangkan kita. Saya dulu bila dah berpisah baru orang tahu siapa suami saya itu. Sehingga sekarang pun bekas suami tetap berkawan rapat dengan saya." ceritanya lagi. Perempuan: Adakah seorang lelaki yang kaya? Sharifah Aini: "Soal kaya bagi saya bukan perkara utama. Saya tidak berharap bermandikan intan berlian di badan. Yang penting adalah yang berkemampuan. Cinta juga akan habis sebab itulah saya cari lelaki yang bertanggungjawab. Maaf jika saya bercakap, janganlah sampai kaum perempuan pula membela suami seperti yang berlaku pada sesetengah kita. Lelaki yang bertanggungjawab adalah lelaki yang boleh membawa pulang makanan untuk diletak di atas meja untuk dinikmati bersama kaum keluarganya." KONGSI PENDERITAAN ORANG LAIN Datuk Sharifah Aini sejak dulu lagi amat dikenali sebagai seorang insan yang prihatin dengan keadaan sekeliling. Beliau juga mempunyai ramai anak angkat. Kebanyakan anak angkatnya kini sedang menuntut dalam jurusan agama di Arab Saudi – Islamic University of Madinah. Beliau juga sentiasa mengambil berat pada pesakit kanser dan pernah menjadi kaunselor kepada pesakit kanser. "Pengalaman mengharungi kesakitan dan penderitaan pesakit kanser benar-benar menginsafkan saya. Malah kehadiran saya di samping mereka sedikit sebanyak dapat mengurangkan penderitaan pesakit biarpun buat seketika. Ini juga adalah kepuasaan pada diri saya untuk membuat amal kebajikan. Ada kalanya saya rasa terkilan, setelah agak rapat dan baru hendak mesra mereka pula pergi meninggalkan saya pulang ke rahmatullah. Ini semua adalah kuasa rabbuljalil. Justeru itu sebagai yang masih hidup saya amat menghargai apa yang saya miliki ini," ceritanya lagi yang mudah tersentuh melihat insan yang kesusahan.
Biduanita ini juga turut menyiapkan diri untuk menghadapi satu konsert besar di Istana Budaya yang akan dipersembahkan tiga malam berturut-turut pada awal September ini. Konsert tersebut adalah anjuran Yayasan Johor untuk mendendangkan nyanyian berkonsepkan irama ghazal. Ternyata Datuk sharifah Aini seorang penyanyi yang berkebolehan membawakan pelbagai irama lagu. Tahniah buat Datuk! Supaya segala jadual persembahannya berjalan lancar, beliau sejak dulu lagi akan memastikan staminanya 'bertenaga' untuk berada di pentas. Justeru itu, senaman, morning walk dan tidur yang cukup adalah aset utamanya sebagai penyanyi. Beliau juga bertuah kerana tidak perlu petua-petua tertentu untuk menjaga suaranya. Tentang fesyen pilihannya, Datuk Sharifah Aini lebih selesa mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan bentuk badannya. "Saya juga peka dengan perkembangan fesyen semasa. Tapi adakalanya ia tak sesuai untuk penampilan saya. Jadi saya hanya ikut mana yang perlu dan sesuai dengan imej saya," jelas penyanyi 'Bunga Tanjung'. Pada 29 Ogos ini Majalah Perempuan juga turut menganjur Majlis Makan Malam Bersama Datuk Sharifah Aini bertempat di Dewan Perdana Felda sempena sambutan Hari Wanita 2003. |