Arkib Artikel                 

SHARIFAH AINI LUPA DIRI? 

oleh Mirieatie  (Mingguan Wanita, 13-20 Oktober 2000)

Pembabitannya selama 30 tahun dalam dunia seni suara tanahair tidak siapa dapat nafikan.  Selama tiga dekad bernaung di bawah syarikat rakaman EMI dengan 72 album dihasilkan bukanlah misi mustahil buat penyanyi bersuara lunak ini untuk terus berada di persada tempatan.  Jika tidak masa kan ada yang menganugerahkan Anugerah Buluh Perindu kepada Sharifah Aini yang tidak kenal erti penat, jemu dan putus asa dengan kerjanya selama 31 tahun itu.

Sharifah Aini membuktikannya menerusi album 'Seribu Mawar' yang merupakan album ke 72nya.  Maklum balas yang diberikan dalam tempoh baru sebulan album berkenaan cukup memberangsangkan.  'Alhamdulillah, feedback yang saya terima sejak dipasaarkan sebulan lalu nampak begitu bagus sekali.  Saya tak sangka dalam pasaran sekarang album berkenaan mendapat sambutan begitu menggalakkan.  Dengan aLbum ini saya tak sangka dapat menarik peminat muda.  Masa dah berubah.  Orang nak ambil yang 'simple' macam dalam album ini.  Peminat hari ini sudah pandai menilai.  Sama seperti 'Seribu Mawar', ia ada berbagai-bagai yang ada didalamnya."

Perubahan yang ada dalam 'Seribu Mawar' ternyata berbeza daripada kebanyakan album terdahulunya.  Pemilihan lagu dan komposer yang terlibat iaitu LY, Ramli MS dan Azmeer ternyata percaturan berani yang mahu Sharifah tampilkan.  Sememangnya itulah yang Sharifah Aini mahu.  Selain mahu memberikan yang terbaik kepada peminat setia sebaya, Sharifah Aini juga mahu golongan muda menerima sumbangannya.  Secara keseluruhan, album berkenaan sudah berjaya memenuhi sebahagian besar impiannya.  "Saya bertuah kerana selama 31 tahun berada di bawah EMI, antara kami saling memahami.  Mereka faham apa yang saya hendak dan begitu juga sebaliknya."

Justeru, Sharifah Aini tidak mahu mempersia-siakan peluang alaf baru untuk menghasilkan sesuatu yang baru.  Demi 'Seribu Mawar', Sharifah Aini betul-betul 'all out'.  Setiap jelajah promosi seluruh negara yang disediakan dipenuhi.  Persembahan pentas, rancangan hiburan TV atau apa saja berkaitan kerjayanya memenuhi jadual hariannya sehingga ada ketikanya Sharifah Aini 'lupa diri', mengenepikan soal kesihatan sehingga pernah ketika rakaman sebuah rancangan hiburan untuk RTM, Sharifah Aini jatuh sakit.

Walau bagaimanapun, komitmennya mengenepikan rasa sakit yang ada.  Sharifah Aini meneruskan juga rakaman di bawah perhatian doktor.  "Doktor yang merawat saya kata saya ni 'crazy' (gila) bekerja sehingga tidak menghiraukan kesihatan," ceritanya mengingati kembali peristiwa berkenaan.  Walaupun tak sihat, persembahan tak mantap tapi persembahan harus diteruskan memandangkan ramai peminat yang sanggup datang dari jauh, dari semua tempat dari Singapura, Brunei dan seluruh Malaysia.  Alhamdulillah, sekarang saya berasa lebih tenang dan 'relaxing'.  Saya tak nak berasa risau," ujarnya yang masih di bawah perhatian doktor setiap bulan.

KUMPUL 700 KOLEKSI MINYAK WANGI

KLASIK!  Itulah antara ciri-ciri yang ada pada Sharifah Aini.  Sebagai penyanyi malar segar, Sharifah Aini berjaya mencuri perhatian setiap golongan peminat dari pelbagai bangsa dan usia.  Pengalaman yang lama dalam bidang seni suara di samping pengaruh namanya sebagai celebriti menjadikan Sharifah Aini pilihan pelbagai pihak.

Terbaru Sharifah Aini diundang sebagai tetamu istimewa melancarkan minyak wangi keluaran tempatan, 'X-Traction'.  Bercerita tentang pewangi, ujar Sharifah Aini, "Saya percaya, sebagai wanita semua sukakan perfume selain solekan.  Perfume adalah sebagai tambahan kepada solekan yang ada.  Saya beruntung kerana selalunya saya dapat hadiah daripada peminat-peminat saya.  Setakat ini saya sudah ada kira-kira 700 botol.  Ada sebahagiannya belum digunakan.  Malah, ada sebahagian peminat fanatik sampai bertanya, Kak Pah pakai minyak wangi apa?  Bermakna mereka terlalu prihatin dengan apa yang kita pakai."

Jika artis-artis popular seperti Shah Rukh Khan dan Lata Mangeshkar ada minyak wangi menggunakan nama mereka, Sharifah Aini belum bersedia lagi untuk ke arah itu.  "Saya memang gemar menggunakan perfume tapi buat masa ini saya belum bersedia (menghasilkan minyak wangi menggunakan nama sendiri).  Saya lebih suka membantu golongan bumiputera.  Lagipun untuk menghasilkan satu minyak wangi, saya percaya ia kena mengambil masa untuk membuat penyelidikan.  Takut nanti kalau buat, keluar macam bauan lain pula," katanya separuh bergurau.

Dalam keluaran sulung Clique 2000, Sharifah Aini dihadiahkan edisi khas 'X-Traction' berharga lebih RM2000.