SHARIFAH AINI SETELAH BERGELAR IBU TUNGGAL

oleh Emma  (Media Hiburan: 26 Sept2 Okt 1998)

'YAYADAN' BUKA HATI UNTUK BERGELAR IBU TUNGGAL LAGI

Sebut nama Sharifah Aini, sudah pasti ramai yang mengenalinya.  Baik yang kecil ataupun besar, nama Sharifah Aini memang sudah sebati dalam hati peminat seni suara tanahair.  Lagu-lagu yang dibawanya 30 tahun lalu, masih popular hingga kini dan tidak hairanlah kalau peminatnya menggelarkan Sharifah Aini sebagai biduanita tanahair.  Sudah banyak kali sebenarnya bertemu empat mata dengan Sharifah Aini.  Tetapi selalunya, bertemu sekadar berbual kosong mengenai isu semasa terutama kisah duania artis hari ini, tapi pertemuan baru kami lebih serius.  Dan bualan kami tertumpu pada satu topik utama, iaitu kisah dirinya yang kini bergelar ibu tunggal kembali.

Saya juga sempat mencungkil isi hati Sharifah Aini, yang mampu bertahan untuk beberapa dekad.  Keunggulannya masih terserlah dan sukar untuk dibayangi oleh pendatang baru yang ada.  Tempatnya sudah kukuh, dan bukan mudah diruntuhkan begitu saja oleh penggiat seni angkatan muda.

Bagai yang saya nyatakan di awalnya tadi, jarang saya berkesempatan berbual dari hati ke hati dengan biduanita ini.  Jadi terasa juga getarnya, maklumlah dia bukan saja punya kedudukan tinggi dalam seni malah menjadi idola saya sejak dulu lagi.

"Lagu dan lirik 'Yayadan serta Permaidani adalah luahan hati Kak Pah sebenarnya.  Itulah sebabnya, Kak Pah merasakan lagu ini benar-benar telah menginsafi dan menyedarkan Kak Pah.  Maklum sahajalah, Kak Pah ketika itu berada dalam delema dan masalah besar.  Memang payah sekali Kak Pah nak menyelesaikan masalah ketika itu tetapi bila Kak Pah masuk juga ke studio dan menyanyikan lagu-lagu ini, lepas tu Kak Pah dapat menyelesaikan masalah itu dengan tenangnya.  Lagu itu seperti pengubat, dapat menyembuh luka yang sedang Kak Pah alami.  Dan Kak Pah rasakan, hidup sebagai ibu tunggal semula bukanlah jalan penutup dalam kehidupan kita.  Malah Kak Pah rasa tenang dan bahagia kerana kekusutan yang Kak Pah tanggung terlerai dan title ibu tunggal kali kedua Kak Pah pegang memberikan sinar baru dalam hidup Kak Pah," ujar Kak Pah memulakan bualan kami petang itu.  Sharifah Aini menambah, tidak siapapun mahu hidup sebagai janda dan menjadi ibu tunggal.  Tetapi nasib kadang-kadang tidak menyebelahi seseorang.  Seperti dirinya, biarpun pada zahirnya dia bahagia dan menjadi janda kali kedua tidak mungkin wujud lagi dalam hidupnya setelah berjaya bertahan selama 16 tahun.

"Tidak siapa mahu rumahtangganya retak kan?  Dan rumahtangga Kak Pah bukanlah baru, tetapi apa nak kata kerana jodoh kami dah tak boleh dipanjangkan lagi.  Kak Pah sendiri tak mahu semua ini berlaku kerana Kak Pah sukakan suasana kekeluargaan dalam hidup Kak Pah.  Tapi bak kata orang rumahtangga ini ibarat perjudian dan mungkin Kak Pah gagal untuk memenanginya." ujar Sharifah Aini secara jujur dan ikhlas.

Sebagai wanita yang matang dan penuh pengalaman dalam mengharungi kehidupan ini, Sharifah Aini mengaku yang dia tidak menganggap perceraian itu satu penyelesaian.  Tapi yakin sebalik perpisahan itu ada rahmatnya.  "Orang boleh mengata dan mencemuh kita dan biarkanlah mereka nak mengumpat kita.  Tuhan ada dan biarlah Dia yang membalasnya.  Kak Pah rasa mungkin sikap Kak Pah yang tak pernah hiraukan umpatan orang, jadi kak Pah masih boleh kekal di persada seni ini.  Cuma dalam rumahtangga ini nyata Kak Pah tak sekuat sebagaimana Kak Pah mempertahankan diri Kak Pah sebagai penyanyi.  Apapun dalam kehidupan kita kadang-kadang telah ditentukan tidak boleh mengecapi keduanya serentak.  Allah dan tentukan segalanya," ungkapnya dalam nada penuh makna.

DEDAH STATUS – ELAK FITNAH

"Tak mahu nanti Kak Pah menjadi bahan umpatan juga fitnahlah, Kak Pah membuat pengakuan terbuka tentang status Kak Pah.  Tetapi biasalah bila Kak Pah mengaku ada juga yang kata Kak Pah hipokrit dan minta simpati orang.  Kalau Kak Pah tak cakap, takut lain pula ceritanya nanti.  Ialah nanti ... bila mereka nampak Kak Pah keluar dengan lelaki lain, dah fitnah pula yang Kak Pah keluar dengan lelaki lain biarpun ada suami.  Kan tak baik jadinya tu! Kak Pah harap bila Kak Pah dah mengaku yang Kak Pah kembali bujang, masyarakat tahu bahawa Kak Pah tidak mahu menipu sesiapa.  Kak Pah mahu hidup bebas tanpa ada umpatan atau cerca yang bukan-bukan tentang diri Kak Pah." ujarnya berkali-kali.

"JADI ISTERI KEDUA KENA MENGALAH"

Saya juga sempat bertanya Kak Pah mengapa dia terlalu merahsiakan perkahwinan keduanya pada peringkat awal perkahwinannya itu.  Hanya setelah berkahwin untuk beberapa tahun, barulah Kak Pah berani mengakui yang dia sudah kahwin, tapi masih tetap merahsiakan identiti suaminya.

"Bukannya Kak Pah tak mahu hendak membuat pengakuan kerana itu cerita baik, tapi waktu itu, Kak Pah kena fikirkan hati orang.  Dahlah Kak Pah berkongsi kasih dengan orang lain, kemudian Kak Pah nak besar-besarkan cerita pula, rasanya tak baik ...  Kita kenalah bertolak ansur dan kerana itulah Kak Pah beralah.  Bukan nak berahsia tapi keadaan Kak Pah tidak mengizinkan," ujarnya dengan tenang.

Sebagai wanita yang mempunyai pengalaman hidup bermadu, Sharifah Aini mengakui bahawa bukan senang menjadi isteri kedua.  Bukan sahaja berkongsi kasih tetapi hati orang pertama juga harus dijaga.  "Kak Pah bukanlah apa tetapi kepada artis-artis kita yang memang dah bertemu jodoh dengan suami orang tu berdoa sahaja kepada Tuhan supaya kita aman damai.  Janganlah kacau isteri pertamanya dan ingatlah, bahawa kita sudah dijodohkan dengan suami orang dan pandai-pandailah bawa diri," ceritanya lagi.

TAK SERIK BERKAHWIN LAGI

Wanita ini memang berhati cekal.  Biarpun dua kali gagal dalam rumahtangganya tetapi dia tidak pernah menganggap yang kegagalan rumahtangganya itu, membuat dia serik untuk bernikah lagi.  Sebaliknya, Kak Pah sedia untuk berkahwin lagi sekiranya dia bertemu dengan lelaki ikhlas yang mahu mengambilnya menjadi isteri.

"Kalau ada jodoh Kak Pah tak tolak.  Takkanlah kerana gagal dalam rumahtangga kita takut untuk bernikah lagi.  Sebaliknya jadikan pedoman untuk memperbaiki diri kita ini.  Tadi Kak Pah dah cakap, yang Kak Pah ni suka kepada kekeluargaan dan kerana itulah Kak Pah tak pernah nak tolak jodoh pertemuan.  Kak Pah suka ramai-ramai di rumah berkumpul, masak dan makan bersama.  Kak Pah ni suka memasak, jadi kalau ramai tu seronok dan rasa mesra," cerita Sharifah Aini.  Sharifah Aini juga menambah, kiranya dia bertemu jodoh, dia mahu perkahwinannya diumumkan secara terbuka.  Dia tidak mahu bersembunyi dari kenyataan.

'YAYADAN' BUAT KAK PAH PANJAT MENARA GADING

Lebihkurang 30 tahun bertungkus lumus dalam bidang seni suara, sudah pelbagai duri dan ranjau dihadapi oleh Sharifah Aini.  Ramai teman seangkatan dengannya telah mengundurkan diri tetapi nama Sharifah Aini masih tetap kukuh di persada seni.  "Entahlah ... mungkin sampai dah tak boleh menyanyi.  Ataupun selagi peminat terus bersama Kak Pah atau bila Kak Pah kahwin nanti ke, suami tidak mengizinkan Kak Pah untuk terus menyanyi.  Itu semua Kak Pah dah tak boleh cakap apalah.  Tetapi selagi Kak Pah mampu untuk menyanyi selagi itulah Kak Pah akan menyanyi.

Biarpun mungkin Kak Pah tak pergi ke pertunjukan pentas ataupun show majlis makan malam tetapi Kak Pah tetap akan lahirkan album," itulah semangat yang dinyatakan oleh Sharifah Aini.  Untuk album terbarunya 'Yayadan', album ini telahpun terjual melebihi 22 ribu unit dalam masa dua bulan.  Dalam kegawatan ekonomi ini ramai penyanyi yang mengeluh album mereka tidak laris dan syarikat rakaman garu kepala, nyata album 'Yayadan' masih mendapat perhatian.

Sharifah Aini mengakui bahawa dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk album terbarunya.  Hinggakan, Sharifah Aini sanggup turun padang untuk promisi hingga memanjat beberapa menara gading untuk memenuhi permintaan peminatnya.  "Dulu buat juga promosi tetapi taklah sehebat sekarang ni.  Kak Pah pergi ke pusat pengajian tinggi bertemu dengan adik-adik kita tu ...," ceritanya lagi.