KENANGAN AIDILFITRI SHARIFAH AINI: GUNTING BAJU NENEK UNTUK BAJU RAYA penyelaras Intan Zabidin (Media Hiburan: 1-7 Januari 2000) |
"Alhamdulillah, sekarang semuanya dah ada depan mata. Dulu waktu Kak Pah kecil-kecil, nenek dan atuk yang menjaga Kak Pah. Usahkan untuk berbelanja lebih hari raya, berbelanja hari biasapun kami boleh dikatakan dalam keadaan yang susah. Percaya tak ... nenek sanggup potong atau pun kecilkan baju lamanya untuk buatkan Kak Pah baju hari raya. Waktu itu, kasihan nenek dia sanggup buat apa sahaja untuk Kak Pah asalkan Kak Pah ni dapat berseronok hari raya sedangkan dia sendiri terpaksa korbankan bajunya."
"Tentang kuih raya pula, Kak Pah suka kuih tart dan juga kuih bangkit santan. Bukan resepi moden tau ... resepi orang dulu-dulu tu. Biarpun Kak Pah memang menyediakan sedikit sebanyak kuih raya tetapi selalunya bila tiba hari raya ni, ada sahaja peminat yang menghantar kuih kepada Kak Pah. Semuanya sedap-sedap pulak tu ... Bukan sahaja kuih raya tetapi kekadang tu baju rayapun mereka ada hantarkan sekali tau. Rezeki Kak Pah agaknya dan Kak Pah terima itu semua dengan tangan terbuka," ceritanya tentang hari raya. |