SELEPAS SEMBUH SAKIT RADANG PARU-PARU SHARIFAH AINI MAHU KE VENICE

oleh Huzz  (Mangga, Mac 2002)

Sejak Ogos tahun lalu (2001) biduanita cantik lawa yang bersuara lemak merdu – Sharifah Aini tidak lagi menyanyi.  Selepas menjayakan satu show di Shah Alam Selangor kak Aini yang ketika itu dalam rawatan doktor kerana sakit radang paru-paru, dinasihatkan menghentikan terus aktiviti menyanyi.  Sakitnya dikatakan serius.  Kak Pah kena duduk dalam rumah.  Tak boleh terlalu terdedah dengan udara di luar.  Kerana sakitnya itu projek album terbarunya (dengan syarikat EMI Malaysia) terhenti.  Undangan menyanyi di sana sini terpaksa ditolak.

Katanya: "Kak Aini banyak menghabiskan masa di rumah dengan kerja-kerja dalam rumah saja.  Atas arahan doktor kak Aini kena makan banyak ubat.  Ketika nak sambut raya pula Kak Aini yang berkurung dalam rumah cuba menolong kawan baik – Sally buat bisnes mengambil tempahan menggubah bakul untuk kiriman kuih raya.  Kak Aini turut buat gubahan untuk mencantikkan bakul-bakul tu.  Maklumlah kak Aini ni tak suka duduk atau terlantar saja atas katil.  Sekarang ni ... Alhamdulillah keadaan Kak Aini dah beransur pulih."

"Kak Aini juga berhajat nak ke Itali dan Paris selepas ini untuk bercuti sambil bekerja.  Antara impian Kak Aini ialah hendak sangat merakamkan klip video lagu-lagu terbaru Kak Aini dengan pemandangan di sana.  Kak Aini nak meredah kota Paris, menaiki bot di Venice.  Harapnya klip video kali ini berlainan dan ada yang istimewa untuk semua peminat.  Buat masa sekarang ni semuanya masih dalam perbincangan, kalau boleh nak membawa jurukamera dari sini ke sana.  Kak Mia ialah kawan Kak Aini yang berkahwin dengan orang Itali jadi ... dia boleh membantu Kak Aini mencari lokasi menarik di sana, katanya.  Amboi ... class gitu!  Menyanyi di tengah bandar dua kota terkenal di dunia itu ya?  Huzz berkesempatan mendengarkan lagu-lagu terbaru album Kak Aini ... aduh-aduh ... ada irama world music.  Peminat yang mendengar gerenti suka.  Lagu-lagu ciptaan M Nasir nyanyian Kak Pah menyentuh perasaan gitu!  Album ini akan diedarkan sekitar April depan.  Rugi kalau tak beli.

"Kak Aini juga merancang nak buat sidang akhbar atas kapal lagi ... macam pelancaran album Seribu Mawar (belayar dari Klang ke Singapura atas kapal mewah) ... kali ni nak belayar ke Phuket pulak," katanya.  Sedang kami borak-borak di ruang legar hotel itu datang seorang wanita meminta Kak Aini bergambar dengan anak-anak lelaki dan perempuannya.  Wah budak-budak remaja pun minat Kak Aini ya!  Maka Huzz memohon kerjasama Puan Suraya yang merakamkan gambar Kak Aini dan anak-anaknya itu memberikan sekeping dua pada majalah Mangga.  Itulah gambar eksklusif (dalam ruangan Corat-Coret) kerana sejak sembuh sakit kak Aini kita tidak berminat nak bergambar ... tetapi malam itu dia tidak keberatan!  Penyanyi yang sudah lebih 36 tahun menyanyi ini masih kelihatan cantik lawa dan masih punya ramai peminat.  Lagu-lagunya yang dulu sampai sekarang masih sedap didengar.