Datuk Pah, Cik Siti, Wartawan & Peminat Fanatik

'Kata Teman' dikendalikan Hanizam 'Kak Cham' Abdullah  (Berita Minggu: Bi-Pop, 24 Mei 2004)

 

 

Haji Mahadi menelefon teman baru-baru ini.  Eh... bukan Haji Mahadi pelakon veteran tu tetapi salah seorang peminat hiburan tanah air yang sejak dulu memang meminati Datuk Sharifah Aini.  Katanya, dulu, kini dan selama-lamanya!  Teman pun suspense juga, maklumlah butir bicaranya adalah kerana rasa tidak puas hatinya dengan sikap wartawan hiburan kita.  Tetapi teman layan juga kerana tutur kata Haji Mahadi penuh berhemah dan bukan menyumpah seranah.  Ceritanya, Haji Mahadi berasa terpanggil untuk menelefon teman kerana sudah tidak tahan lagi dengan tulisan demi tulisan yang memburukkan Datuk Pah.  Kata Haji Mahadi, dia tidak kisah kalau tulisan itu mengkritik Datuk Pah tetapi wajarkah kalau setiap kali menulis itu perlu dipuji-puji melambung seorang lagi penyanyi tersohor negara iaitu Siti Nurhaliza.  Walaupun dalam tulisan itu, katanya, penulis tidak meletakkan nama Datuk Pah tetapi satu Malaya tahu bahawa artis yang dimaksudkan itu adalah Sharifah Aini.

Teman pun bertanyalah juga siapakah wartawan yang dimaksudkannya itu tetapi Haji Mahadi memilih untuk tidak menyebut nama wartawan yang membuatkan dia bagaikan tidak senang duduk itu.  Katanya, "I rasa you pun tahu siapa yang dimaksudkan itu.  Tetapi you sendiri mahu buat-buat tak tahu.  Biasalah... wartawan akan sentiasa menyokong wartawan!  Tak apa Hanizam I faham kedudukan you.  Jangan rasa serba salah tetapi hari ini I cuma mahu berkongsi pandangan dengan you sebagai seorang pengarang hiburan."  Teman hanya ketawa kerana barangkali apa yang dikatakan itu ada benarnya.  Sebenarnya, teman berasa tidak selesa juga kerana Haji Mahadi memperkatakan mengenai kalangan yang satu ‘spesies’ dengan teman – menulis, menulis dan menulis.  Bukan juga kebiasaan teman untuk mengkritik teman media yang lain.  Masing-masing sudah besar panjang dan tahu apa yang mereka buat walau pun apa yang dibuat itu kadang kala tidak semestinya betul belaka.  Teman memang fahamlah kerana kadang kala apa yang kita tulis tidak semestinya dipersetujui semua pihak.  Pandangan teman pun ada yang tidak boleh terima dengan dada terbuka.  Jadi kalangan yang 'sekufu' dengan teman jangan berasa hati pula.

Begitu juga dengan Haji Mahadi.  Dia juga tidak mahu pandangannya disalah tafsir terutama oleh peminat Siti Nurhaliza.  Dia bukan anti Siti malah sebaliknya dia memang mengagumi bakat yang dimiliki gadis manis itu.  "Satu Malaya tahu Hanizam betapa hebatnya Siti Nurhaliza.  Tetapi pada pandangan saya, tak perlulah puji Siti melambung dan pada masa yang sama mengutuk Datuk Pah.  Kita bukan sempurna, Datuk Pah pun bukan sempurna kerana kita hanya manusia.  Tetapi berpada-padalah apabila hendak mengkritik Datuk Pah.  Bolehlah puji Siti tu ... tetapi tak bolehkah berbuat demikian tanpa memperlekehkan Datuk Pah?   "Apabila orang media buat begitu, ia seolah-olah mewujudkan satu keadaan yang mahu membuatkan semua peminat Siti agar membenci Datuk Pah.  Ini memang satu perbuatan yang tidak wajar sekali.  Mesej yang seolah-olah mahu disampaikan adalah marilah kita beramai-ramai sanjung Siti dan pulaukan Datuk Pah.  Saya memang sedih Hanizam!  Takkan sampai begitu sekali?

"Saya pun tak faham geng-geng you ni...  Saya masih ingat lagi suatu waktu dulu... memang dah lama dah... ada satu tulisan yang menghentam Datuk Pah.  Gambarnya mengenai Datuk Pah yang keluar dari kolam renang dengan bajunya terlondeh sedikit di bahu.  Namanya pun di kolam renang!  Lalu, esoknya keluarlah berita betapa lucahnya Datuk Pah.  Tetapi selang beberapa tahun selepas itu, wartawan yang sama meng‘condemn’ Datuk Pah berlakon dalam sebuah filem.  Kelakarnya, dalam filem itu dia perlu berkemban dari mula start filem sampai ke sudah.  Lalu, terdedahlah badannya yang bagaikan donat mentat tu ...  Tetapi bagi sayalah ya... apabila difikirkan semula, kalaulah ada kalangan yang sehingga kini masih berasa kehadiran Sharifah Aini adalah sesuatu yang 'menggugat' dan membuatkan sesetengah kalangan tak senang duduk maka rumusannya dia memang hebat.  Bayangkan, setelah 36 tahun dalam industri ini dia masih mampu memiliki tarikan yang sebegitu.  Hebatkan Datuk Sharifah Aini?" katanya sambil meminta maaf kerana sudah ‘mencuri’ masa teman.

Teman memang banyak diam saja dan hanya mendengar pandangan Haji Mahadi.  Bukan apa bimbang juga kalau pandangan teman juga disalahertikan.  Maklumlah, satu industri tahu teman memang baik dengan Datuk Pah tetapi tidaklah sampai bertunggu tangga.  Teman juga tak ada masalah dengan Siti Nurhaliza.  Malah sentiasa saja berkomunikasi dengan orang kuat syarikat SNPnya.  Begitu juga dengan diva bercita rasa antarabangsa Anita Sarawak yang sering menelefon teman bercerita itu dan ini.  Rakan-rakan artis yang lain begitu juga, cuma masa membataskan teman.  Bagi teman, berkawan biarlah seribu!  Teman memang tak ada masalah tetapi kalau mereka ada masalah dengan teman tak tahulah pula.  Orang kata rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.  Sejak akhir-akhir ini pula, ada juga orang dalam industri yang tak berapa selesa dengan teman.  Tak tahulah pula apa masalah mereka.  Baru-baru ini ketika menghadiri satu majlis di rumah seorang orang kuat hiburan seorang tetamunya menyapa teman dengan dialog yang lebih kurang begini, "Wah... awak sekarang ni lebih popular daripada Datuk Pah!  Yalah.... awak memang baik dengan dia."  Teman hanya tersenyum saja lalu membalas yang lebih kurang begini juga, "Memang baik bang... masalah ke?"  Entahlah... inilah orang kata ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Jumpa lagi!