Kemaafan Dendam Yang Terindah

'Karpet Merah' dikendalikan Roslen Fadzil  (Harian Metro: Sabtu, 21 Ogos 2010)

 

 

Hilang satu 'beban'.  Itu yang saya cakapkan pada Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah apabila dia meminta pandangan saya mengenai 'pertemuan damai' beliau dengan Datuk Siti Nurhaliza yang dicetuskan rakan wartawan yang berbudi, Huzz.  Beban bagi saya di sini bukanlah macam Beban Asmara – lagu hit Kak Pah dulu tapi beban was-was yang ditanggung oleh saya, rakan-rakan wartawan, deejay radio, penerbit hiburan TV, promoter, penaja dan segala yang berkaitan dengan dunia hiburan.  Disebabkan kes e-mel layang pernah tercetus antara mereka dulu sehingga terseret ke mahkamah, stigma 'Cold War' terus melekat pada pandangan kita sekali pun kes itu sudah lama digugurkan.  Apakah mereka sudah melupakan kisah lalu?  Apakah mereka masih rajuk dan berkecil hati?  Sudikan mereka dipertemukan?  Semua itu sentiasa bermain di fikiran kita selama ini yang saya maksudkan sebagai beban was-was itu.  Kalau boleh, saya mahu buang jauh-jauh beban itu sepantas yang mampu.

Memang saya tak nafikan kalau kita sendiri berada di tempat Kak Pah mahupun Siti, kita juga akan berasa sedih, marah, terkilan, kesal dan segala perencah rasa kerana kita hanya manusia biasa.  Kita diberikan hati dan perasaan.  Terserahlah kepada kita sendiri bagaimana untuk menguruskan soal hati dan perasaan itu.  Mereka adalah mangsa-mangsa hasutan golongan durjana, iri hati dan menyimpan niat yang tidak baik yang cuba mengapi-api serta melagakan mereka sehingga terbitnya salah faham dan prasangka.  Namun kekuatan dan keyakinan dalam diri Kak Pah dan Siti akhirnya mengatasi semua itu.  Mereka percaya kepada kata hati sendiri untuk kembali bertegur sapa.

Sepanjang yang saya kenal, baik Siti mahupun Kak Pah, mereka sebenarnya insan-insan yang sangat profesional, tabah, pemaaf dan tidak 'selfish'.  Sampai bila mereka harus membiarkan orang di sekeliling terutama peminat setia hidup dalam was-was?  Syukurlah semua itu sudah terlerai pada Rabu, 18 Ogos 2010 bersamaan 8 Ramadan 1431H.  Ternyata Ramadan Al-Mubarak jua menjadi saksi detik pertemuan mereka yang kembali mengeratkan ikatan silaturahim antara adik dan kakak.  Air mata yang menakung segala perasaan selama enam tahun, akhirnya tercurah apabila mereka berpelukan.  Itu situasi yang sangat 'natural' bagi kita yang bernama manusia.

Bagi saya, pihak media cetak (tahniah sekali lagi buat Huzz) sudah menjalankan tugas yang pertama.  Sekarang tiba pula giliran media elektronik terutama stesen-stesen TV kita untuk menggandingkan kedua-dua mereka dalam program hiburan termasuk untuk Syawal akan datang.  Ia masih belum terlambat kerana ada beberapa program yang dilakukan secara 'live'.  Tidak ketinggalan, syarikat rakaman boleh menggandingkan mereka dalam pelbagai genre lagu.  Semua menu sudah ada di depan mata dan yang baru boleh dicipta.  Begitu juga dengan Istana Budaya (IB), Dewan Filharmonik Petronas (DFP) serta puluhan promoter konsert di luar sana yang boleh memikirkan dari sekarang pelbagai acara untuk dimanfaatkan daripada Siti dan Kak Pah.  Mereka adalah aset negara seperti mana Amerika Syarikat memiliki Celine Dion dan Barbra Streisand.

Terus terang, saya tidak ada bersama ketika Kak Pah dan Siti berpelukan.  Saya juga tidak ada ketika mereka bertangisan.  Takdir sudah menentukan bahawa saya tidak melihat saat paling manis dalam sejarah hiburan dekad ini membabitkan dua penghibur pujaan saya itu.  Namun dari jauh, saya tetap memandang, tersenyum puas dan terharu.  Doa saya selama ini sudah dimakbulkan.  Bak gurindam Aishah, inilah kemaafan dendam yang terindah.