DISKOGRAFI          VCD/MTV/Karaoke          PLAYLIST          ARKIB ARTIKEL          LIRIK LAGU

Arkib Artikel                 

TIDAK SAYANG DUIT UNTUK CANTIK

oleh Zunairah Radzi  (Jelita, Julai 1998)

Pelbagai tanggapan dibuat sebelum kaki melangkah di 'Hotel Sheraton Imperial' untuk memenuhi janji temu dengan biduanita terkenal Sharifah Aini Syed Jaafar.  Perasaan bercampur-baur.  Gembira kerana ini kali pertama dapat menatap wajah dan sekali gus berbicara dengannya dari dekat.  Bimbang juga kalau-kalau dia sombong.  Nyata sangkaan saya tidak tepat.  Hampir tiga jam bersamanya, terasa masa berlalu begitu cepat.  Memang dia anak seni kesayangan beribu-ribu peminat tanahair, tidak kira yang seangkatannya ataupun generasi selepasnya.  Dia tidak sombong, malah lemah lembutnya membuatkan kita terasa senang bersamanya.

Pada pertemuan itu, tumpuan saya tidak jemu-jemu pada kecantikannya.  Mulanya agak terkejut melihat badannya, tidak sebesar dilihat menerusi kaca televisyen.  Cuma dia sedikit berisi dengan berat badan 60 kg.  Walaupun dia tampil tanpa solekan, dia tetap lawa.  Kulitnya yang licin dan bersih, tampak tegang dan segar biarpun usia sudah menjangkau 43.  Hati berkata, tentu remeh cara menjaganya.  Biar susah atau senang menjaganya, bagi Sharifah Aini, kecantikan diri pelaburan paling bermakna.  Ia bukan untuk kepentingan umum, tetapi untuk kepuasan diri.

"Setiap yang muda akan tua, yang hidup pasti akan mati.  Dan sebelum mati, semua orang mahu hidup yang tenang.  Bagi kak Pah, menjaga kecantikan diri, walaupun pada umur meningkat, menenangkan jiwa.  Ini tidak bermakna Kak Pah takut tua.  Cuma Kak Pah ingin kehidupan penuh bermakna dan sempurna pada hari muka.  Di samping beramal ibadat kepada Tuhan, penjagaan rupa diri dan kesihatan penting bagi Kak Pah.  Semuanya bukan untuk menunjuk kepada orang, tetapi untuk kepuasan diri.  Tentu kita rasa seronok kalau rupa kita tampak muda berbanding usia," jelasnya.  Sebab itu, dia sanggup berbelanja besar membeli barangan penjagaan muka dan badan.  "Kalau orang beri Kak Pah seribu ringgit untuk beli pakaian, kak Pah terasa rugi.  Tetapi dengan wang sebanyak itu Kak Pah rasa berbaloi membeli barangan jagaan diri."

SANGGUP HABISKAN DUIT UNTUK CANTIK

Dia mengakui, langsung tidak sayang menghabiskan duit untuk penjagaan kecantikan.  "Bukan bermakna Kak Pah terlalu banyak duit, tetapi demi menjaga badan dan rupa diri, Kak Pah sanggup tidak makan," ujarnya.  Memastikan kulit mukanya sentiasa licin dan halus, Sharifah Aini menggunakan rangkaian penjagaan kulit muka La Prairie, setiap hari, siang dan malam.  "Muka perlu selalu dirawat, sebab itu sahaja cara membetulkan perjalanan darah dan menyingkir sel kulit mati.  Mahal atau murah barangan berkenaan bukan persoalan.  Bagi Kak Pah jenama tidak penting, asalkan ia sesuai kulit, Kak Pah beli walaupun mahal sedikit sebab bukan senang hendak dapat barangan sesuai kulit".

"Selalunya Kak Pah merawat sendiri kulit muka.  Dalam sebulan, dua tiga kali Kak Pah rawat.  Pakai pupur tiga kali sebulan dan penyental seminggu sekali.  Tetapi waktu muda-muda dulu Kak Pah tidak ada duit; muka yang berjerawat ketika itu hanya dirawat menggunakan asam jawa campur bedak sejuk.  Tidak dinafikan cara itu juga berkesan."  Pun begitu, rawatan muka dilebihkan jika dia terbabit dalam penggambaran.  Sebabnya, solekan tebal dan cahaya lampu yang kuat boleh merosakkan kulit muka.

Berbanding hari biasa, jika di rumah, dia langsung tidak berbedak, tetapi menyapu pelembap banyak-banyak supaya kulit muka tidak kering.  Untuk menampakkan seri wajah, dia hanya bercelak mata.  Andai keluar bersiar-siar, baginya cukup bersolek nipis.  Setiap kali, solekan mata diberi tumpuan lebih kerana baginya itu aset penting dan ada keistimewaan tersendiri.  Dia memilih alat solek bukan kerana jenama.  Warna menjadi pilihan utama.  Dia lebih menggemari barangan Chanel, Christian Dior, Guerlain dan kini mencuba Mary Kay.

BERSUNGGUH-SUNGGUH JAGA MAKAN DAN TIDUR

Selain muka, badannya turut dipentingkan.  Makan minumnya dijaga di samping mengambil zat tambahan.  "Kak Pah banyak makan sayur-sayuran, sama ada direbus atau dijadikan salad.  Begitu juga buah-buahan, tidak kira sama ada tempatan atau yang diimpot.  Kak Pah makan nasi hanya dua kali seminggu.  Kak Pah cuba elak makanan berlemak, cuma sesekali.  Badan Kak Pah mudah naik sejak mengandungkan Aliff, sebab perubahan hormon.  Sebelum kahwin, badan Kak Pah lebih kurang Ziana Zain atau Siti Nurhaliza.  Sekarang ni hendak mencapai badan sebesar itu, tidak mungkin lagi, cuma kuruskan sekadar terdaya dan sedap dipandang mata".

"Untuk menghaluskan kulit badan, Kak Pah kerap mandi lulur.  Selalunya Kak Pah mandi sendiri di rumah dibantu kawan.  Kak Pah juga tidak putus-putus mengambil vitamin lengkap.  Ia bukan sahaja untuk kecantikan badan, malah baik untuk kulit, muka dan rambut."  Bersenam juga antara amalannya.  Dia lebih banyak berjoging.  "Kak Pah ada ramai kawan tinggal di Kenny Hills, jadi Kak Pah selalu ke sana untuk berjoging bersama-sama mereka.  Selalunya Kak Pah berjoging dua hari sekali, kalau larat setiap hari atau paling kurang dua kali seminggu."  Sharifah juga mengutamakan kecantikan dan kesihatan rambut yang ditakrifkan sebagai mahkota diri.  Rambutnya yang lebat berombak melepasi bahu, dicuci tiga kali seminggu.  Jika selalu keluar atau ada sesi penggambaran, ia dicuci lebih kerap.  Untuk memberi cahaya kepada rambut, ia diwap empat kali sebulan, dan tonik dipakai supaya rambutnya tidak gugur.

Pendek kata, empat kali sebulan, keseluruhan tubuhnya pasti dirawat termasuk pemeliharaan kuku.  Supaya muka tidak tampak lesu, tidur cukup amat penting baginya.  Kak Pah sentiasa pastikan tidur cukup.  Setiap hari mesti tidur lapan atau sembilan jam.  Kalau tidur lewat, Kak Pah akan bangun lambat.  Tidak cukup tidur bukan sahaja menampakkan muka tidak bermaya malah mempercepat proses penuaan."

ANGGAP MASALAH SEBAGAI HIKMAH

Bagaimanapun, bagi Sharifah Aini kecantikan luar tidak akan terserlah jika jiwa tidak bersih dan tenang.  Dia percaya tekanan masalah membuatkan seseorang tampak tua dan hilang seri muka.  "Kita hidup tidak dapat lari daripada masalah.  Yang penting kita harus menerima setiap masalah secara positif.  Bagi Kak Pah, setiap masalah yang menimpa, Kak Pah percaya ada hikmah di sebaliknya dan ia bukan suatu musibah.  Sebab itu Kak Pah boleh terima setiap masalah dengan reda.  Jika kita hadapinya dengan tekanan atau menganggapnya sebagai penamat kehidupan, wajah pasti tampak murung dan hilang seri.  Kak Pah percaya, kalau banyak dugaan diterima, bermakna Tuhan lebih menyayangi kita."

"Kak Pah juga insan yang tidak pernah lekang dengan masalah.  Alhamdulillah, setakat ini Kak Pah mampu mengatasinya dengan menceritakannya kepada kawan atau saudara mara yang boleh dipercayai.  Tidak perlu menolong, cukup sekadar mendengar.  Perhatian mereka meringankan beban ditanggung.  Selain itu Kak Pah juga banyak beristighfar dan bertafakur kepada Allah.  Kita perlu menganggap diri kita fakir dan daif.  Kita ada Pencipta.  Kenapa apabila kita susah kita tidak kembali dan meminta pertolongan-Nya.  Walaupun tidak hari ini, mungkin esok lusa, permintaan kita pasti termakbul."

"Atau cara lain, Kak Pah cuba kenang nasib orang yang lebih malang.  Ada menderita kerana barah, anak kecil tidak beribu dan berayah dan ada yang tiada tempat berteduh.  Mengenangkan mereka, Kak Pah rasa kita amat beruntung.  Kak Pah bersyukur dengan kurniaan Tuhan kepada Kak Pah.  Kak Pah punya anak-anak comel, keluarga bahagia dan teman-teman yang memahami.  Apa lagi yang Kak Pah nak?  Untuk menenangkan diri, kita harus banyak berzikir.  Kak Pah rasa amalan Kak Pah masih belum cukup untuk menjadi hamba-Nya yang salihah.  Jadi Kak Pah cuba mengingati-Nya melalui zikir.  Insya-Allah, bermula dari celik mata hingga lelap mata, Kak Pah tidak lupa berzikir kepada-Nya."

Meneruskan kerjayanya dalam bidang seni, selepas dua tahun menyepi, Sharifah Aini kini kembali dengan album terbaru 'Yayadan', pada Jun ini.  Ia berkonsep nasyid pop, menggabungkan muzik Arab dan tradisional Melayu.  "Memang sudah lama Kak Pah berhajat merakamkan lagu berunsur nasyid.  Tetapi tidak berpeluang.  Alhamdulillah, akhirnya hasrat Kak Pah termakbul juga kini," ujar Sharifah Aini yang gembira dengan kemunculan album terbarunya.