DISKOGRAFI          VCD/MTV/Karaoke          PLAYLIST          ARKIB ARTIKEL          LIRIK LAGU

Arkib Artikel                 

SHARIFAH AINI DILAHIRKAN UNTUK JADI PENYANYI

oleh Raja Nur Qurshiyah  (Jelita, Januari 2004)

"Saya memang dilahirkan untuk menjadi penyanyi."  Demikian kata Sharifah Aini Syed Jaafar.  Datuknya dahulu juga penyanyi.  Ketika berumur tiga tahun dia sudah menampakkan kemerduan suaranya.  Dia menyanyi-nyanyi di buaian dan neneknya berkata, suaranya merdu dan bernada tinggi dan tidak terkejut jika suatu hari nanti Sharifah menjadi penyanyi.

Penyanyi pertama yang diberi gelaran superstar, antaranya pernah dianugerahi Penghibur Wanita Paling Popular (1979) Papita, Penyanyi Wanita Terbaik (1978), Anugerah Cakera Emas Papita (1979) Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik 2000, Anugerah Pencapaian Seni Terbaik Papita (2000) dan Anugerah Emas Era 2002.  Lagu Seri Dewi Malam pada 1969 menjulang namanya, ketika itu usianya 15 tahun.  Hingga kini sudah memiliki 88 album, Sharifah Aini kekal di puncak populariti.

Biduanita evergreen ini juga dianugerahi pingat Panglima Jasa Negara (PJN) daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang membawa gelaran Datuk.

Sepanjang 35 tahun bergelar artis, Sharifah Aini tidak henti-henti menjadi perhatian dan bualan masyarakat.  Itu antara pahit manis yang perlu dilalui, ucapnya.  "Ramai yang suka menghukum dan bersangka sesuatu pada saya dan artis lain.  Saya tidak kisah hendak membela diri kerana kebenaran akan terbukti dan saya tahu saya benar.  Memang hati saya terluka tetapi saya tidak mahu membuang masa melayan kerenah manusia."

Jelita sempat menemu bual Sharifah Aini walau jadualnya sentiasa sibuk.  Tawaran pertunjukan pentas bagaikan tidak kering tangan.  Dia sering menjadi favourite di kalangan ahli korporat yang mengadakan majlis keraian.  Selain menyanyi beliau juga sibuk dengan perniagaan bunga dan cenderamata Pods & Petals Giftlab Sdn Bhd.

Kenangan bergelar penyanyi

Saya tak pernah lupa terutama setiap kali membuat persembahan.  Suasana, tempat dan persembahan tentu sekali tidak sama sekarang dan 35 tahun lalu.  Kalau nak dibandingkan teknologi rakaman dan pemuzik, umpama langit dan bumi.  Saya gembira sebab dapat melalui semua ini.  Daripada biasa kepada yang moden.   Begitu juga penerimaan peminat dahulu dan sekarang.  Sekarang lebih mudah berbanding zaman saya dahulu.  Nak bertapak bukan mudah.  Saya rasa tiada siapa pernah mendapat bayaran seperti saya dahulu.  Saya bermula dengan bayaran RM50 dan naik kereta berhimpit enam orang menyanyi seluruh pelosok negara.   Zaman dulu tidak ada layanan kelas pertama dan penyanyi hanya satu bidang kerja seperti orang lain.   Berlaianan sekarang, menjadi artis dipandang istimewa.  Namun saya bersyukur dapat merasa dua-dua zaman itu.

Sekarang, jika saya dipanggil menjayakan sesuatu persembahan, mereka sudah tahu apa yang perlu diberikan kepada saya tanpa perlu saya senaraikan dan meminta-minta.  Saya rasa dihormati, dihargai dan semua ini hasil lamanya saya bertapak dalam bidang seni.  Alhamdulillah.

Saya terlalu banyak melalui pahit getir sebelum dan sewaktu sudah menjadi penyanyi.  Tetapi keseronokan dan kepuasan dapat saya kecapi sebab semuanya hasil titik peluh sendiri walaupun terpaksa melalui susah payah.

Mula menyanyi pada usia begitu muda, tidak rasakah kehilangan zaman remaja?

Saya tidak rasa begitu walau mula menyanyi pada usia 13 tahun.  Niat saya waktu itu hanya untuk menyara keluarga yang miskin.  Saya berhati besar untuk mencari rezeki walau usia masih terlalu muda.  Keadaan waktu itu berbeza dan saya lebih matang daripada usia.  Waktu itu zaman bekerja keras bagi saya.

Saya bukan saja fikir cara nak cari duit tetapi waktu itu juga mula memikirkan penyediaan masa depan.  Saya juga banyak bergaul dengan orang dewasa.  Waktu mula menyanyi, saya tak dapat ingat jika saya ada rakan-rakan sebaya.  Allahyarham Datin Rafeah Buang tujuh tahun lebih tua daripada saya.  Beliau juga tidak melayan saya seperti kanak-kanak sebab saya sendiri membawa diri seperti orang dewasa.  Lagipun saya tahu bagaimana nak mengambil hati orang.  Saya memang dibesarkan dalam suasana yang baik yang amat mementingkan budi bahasa.

Tidak mahu berlakon lagi?

Tidak rasanya.  Saya lebih cintakan bidang nyanyian.  Lagipun lihat saja pasaran filem tempatan.  Tiada wanita seusia saya yang boleh dapat watak utama kecuali menjadi ibu dan nenek.  Dahulu waktu muda, saya tengah adventurous, saya ingin mencuba semua termasuk lakonan.  Selepas itu baru saya tahu itu bukan minat sebenar saya.  Sempat jugalah saya berlakon tiga filem Hapuslah Airmatamu (1976), Sumber Ilhamku (1979) dan Bintang Pujaan (1980).  Namun saya tidak keberatan mencuba teater.  Bercakap mengenali lakonan, saya amat meminati Fauziah Nawi, Wan Maimunah, Erma Fatimah, Rosyam Nor dan Raja Azura.  Mereka begitu cemerlang sebagai pelakon.

Pengalaman yang sukar dilupa?

Kena tipu (ketawa).  Zaman dahulu memang selalu sangat ditipu penganjur.  Lepas habis nyanyi saya dibayar 10 cucuk sate.  Pengalaman hidup susah, juga paling sukar saya lupa.  Tiada baju glamor dipakai ketika show.  Bapa saya bawa ke Sungai Seget, Johor, tempat menjual baju murah-murah.  Beli kasut pun berhutang empat atau lima kali bayar.  Saya sangat menghargai pengalaman itu semua dan bangga sebab berjaya melaluinya dan kini saya tidak lagi susah.  Pengalaman yang menjadikan keadaan saya seperti sekarang.  Nanti saya nak bukukan pengalaman hidup ini dalam bntuk memoir untuk dikongsi bersama peminat.  Saya tidak malu memberitahu semua orang.  "Sharifah Aini anak pemandu teksi dan tidak habis sekolah."

Saya pelajar yang bijak tetapi kemiskinan menghalang menamatkan pelajaran.  Saya cuma sempat menamatkan sekolah agama dan Arab sahaja.  Namun saya tidak memandang enteng pada ilmu pengetahuan.  Perkara pertama saya buat apabila menjejak kaki di Kuala Lumpur, mendaftar diri belajar bahasa Inggeris.  Bayangkan waktu itu saya baru 14 tahun tetapi saya sudah ada perancangan masa depan.  Saya bercita-cita menjadi penyanyi betaraf antarabangsa, menghasilkan lagu Melayu dan juga lagu Inggeris.  Untuk mencapainya, saya tahu saya perlu fasih berbahasa Inggeris.  Boleh berbahasa Inggeris satu kebolehan yang amat penting.  Waktu tak tamat belajar di sekolah saya tetap mahu jadi penyanyi berilmu.  Tak mustahil jika saya berjaya menamatkan pelajaran dahulu, saya dapat mencapai cita-cita menjadi doktor.  Saya tahu saya bijak.

Namun dalam banyak-banyak pengalaman suka duka yang saya lalui tiada satu pun dapat menandingi pengalaman indah melahirkan anak.  Ia merangkumi semua: kejayaan, kenikmatan, kepuasan dan keseronokan, mengatasi segala-galanya.

Siapa artis diminati dahulu dan sekarang?

Jika dahulu saya minat Saloma.  Belum ada penyanyi yang suaranya selemak Saloma.  Saya juga minat P Ramlee sampai sekarang kerana bakat dan kebolehan istimewanya.  Belum ada sesiapa yang setanding P Ramlee.  Dahulu saya harap Sudirman tetapi dia meninggal dunia pada usia muda.  Kalau penyanyi sekarang saya kagumi Siti Nurhaliza, Misha Omar, Waheeda, Hattan, M Nasir, Jamal Abdillah dan Yusni Hamid.  Siti Nurhaliza punya masa depan yang cerah.  Artis lain, semuanya bergantung pada komitmen mereka sendiri.  Pada saya bakat saja tidak cukup, mesti ada komitmen, disiplin, jati diri dan kesabaran.  Jangan juga lupa berlatih.

Saya kena mengikut zaman.  Saya ada banyak CD penyanyi lain supaya dapat dengar irama yang pelbagai dan boleh menyanyi lagu mereka pada persembahan saya.  Saya suka dengan lagu Eminem.  Menang saya tidak begitu suka muzik hip hop tetapi ia memberi variety pilihan kepada saya dan memahami muzik lain.  Saya juga dengan lagu Miss Elliot.  Selalunya pada pertunjukan pentas saya akan menyanyi lagu pelbagai rentak dan zaman.

Adakah Sharifah Aini seorang yang setia?

Saya sangat setia.  Tengok saja hubungan saya dengan syarikat rakaman EMI.  Daripada mula merakamkan album hinggalah sekarang, 35 tahun sudah berlalu, saya masih bersama mereka.  Bohonglah kalau saya kata kami tidak berselisih faham tetapi semuanya dapat diatasi secara berhemah.  Saya tidak suka membincangkan masalah bersama syarikat rakaman dengan media.  EMI pernah memberitahu saya, sekiranya semua artis bersikap seperti saya, tentu keadaan lebih senang.

Begitu juga kesetiaan saya dengan kawan-kawan, walau saya tidak ada sahabat daripada kalangan artis.   Sahabat saya daripada kalangan profesional dan saya suka dapat berkawan baik dengan mereka.  Walapun saya tidak berijazah seperti mereka, saya yakin dengan kebolehan dan kelebihan diri saya.  Saya boleh bercampur dengan semua orang, miskin, sederhana atau kaya.  Persahabatan bagi saya sesuatu yang peribadi dan istimewa.  Kalau ada masalah, dengan sahabat dan keluargalah tempat saya mencurah perasaan.  Jika kita membincangkan masalah peribadi secara terbuka dan kemudian dibaca orang, itu dapat menggambarkan nilaian diri kita.  Saya tidak mahu jadi begitu.

Bagaimana merehatkan dan menenangkan diri?

Saya suka membaca.  Saya ada lebih 3,000 buku yang memberi saya banyak ilmu pengetahuan.  Saya tidak fikir dua kali untuk membeli buku yang saya gemar walau mahal sekalipun.  Kalau keluar negara saya paling suka menjenguk kedai buku.  Sekarang saya boleh pesan buku melalui Internet, lagi mudahlah.  Saya juga banyak mengisi waktu bersama anak-anak.  Bersama-sama kami mencuba resipi baru, bersembang dan berkebun.  Pada saya, berehat bersama keluarga tidak semestinya keluar ke mana-mana bersama.  Di rumah lebih damai dan menyeronokkan.

Bagaimana menjaga kecantikan dan kesihatan?

Nenek saya selalu berkata, saya ini jenis yang suka melawa sejak kecil lagi.  Saya ikut dialah.  Kami miskin tetapi saya memastikan memakai baju bersih sentiasa.  Rumah juga bersih sehinggakan boleh tidur di dapur.   Citarasa saya gabungan moden dan etnik.  Kalau perhiasan rumah saya suka Mediterranean.  Saya suka sentuhan kayu elegan, kelas dan tahan lama.

Dahulu waktu melahirkan Aliff Omar Ali, 21, saya ikut pantang larang secara tradisional.  Sekarang pun saya masih minum ubat periuk dan makjun setiap hari, untuk memanaskan badan.  Ini untuk tenaga dan badan pun rasa sedap dan ringan.  Tengoklah, saya dah nyanyi 35 tahun dan masih boleh menyanyi tiga jam pada pertunjukan.  Ini semua memerlukan tenaga yang banyak.  Saya ambil juga aneka vitamin.

Kalau kulit, memang saya sering berlulur.  Perawatan muka dibuat di rumah dan facial lady datang setiap minggu.  Kalau saya ada banyak pertunjukan bulan itu, saya akan tambah daripada empat kepada enam kali.  Muka lebih terdedah kepada spotlight dan solekan jadi perlu lebih penjagaan.  Begitu juga penjagaan rambut, basuh empat kali seminggu.  Selain cara moden, jika rajin saya sapu santan pada rambut dua kali seminggu.  Rambut akan jadi subur, hitam dan berkilau.  Saya masih ada anak-anak rambut yang tumbuh dengan banyaknya.  Manicure dan pedicure juga saya buat setiap bulan.  Saya titik-beratkan penjagaan diri.  Saya setia dengan satu produk penjagaan muka sejak 18 tahun lalu.

Saya juga amat menjaga pemakanan.  Saya tak suka lemak sejak berbelas-belas tahun dan saya memang tidak suka manis.  Kalau mahu yang manis sangat saya minum air sirap.  Saya minum bergelen-gelen air mineral dan air buah.  Saya juga suka buah-buahan dan sayur-sayuran.  Sayur kegemaran saya bayam yang direbus.  Sawi putih dan kangkung, bersama ulam memang membuka selera saya.

Makin berusia makin jelita

Saya 49 dan bangga menyatakan saya 49.  Saya tahu saya nampak bagus pada usia sebegini.  Saya ada gimnasium kecil di rumah untuk bersenam.  Bersenam penting supaya saya ada stamina melakukan persembahan berjam-jam.  Jika ada konsert, paginya saya berjalan lima kilometer bersama kawan-kawan.   Sekarang saya ada pelatih peribadi yang mengajar angkat berat dan yoga.  Angkat berat untuk memejalkan otot manakala yoga untuk menenangkan minda.

Saya amat berbesar hati dianugerahi Angeles Beauty Award oleh Imedeen Plus.  Terima kasih kepada Jelita kerana memilih saya.  Pada usia sekarang saya masih dikatakan jelita dan tampak lebih muda daripada usia dan orang mengiktiraf saya dengan anugerah ini.  Kenapa tidak?  Saya positif dengan diri dan gembira dengan keadaan ini.  Saya harap anugerah ini menjadi perangsang kepada orang lain terutama yang muda-muda itu supaya menjalani kehidupan yang sihat.  Saya tidak minum minuman keras dan tidak merokok.  Merokok cuma dalam filem dan rasa nak pengsan waktu itu.  Saya juga menjaga tidur supaya sentiasa segar.  Tidak guna makan pelbagai vitamin tetapi tidak menjaga pemakanan yang segar dan seimbang.  Sebenarnya saya sudah ambil Imedeen sejak 15 tahun.

Rancangan masa depan?

Saya bercadang berhenti cergas menyanyi lagi tiga tahun.  Di negara kita, saya perlu realistik, tentu saja saya tidak boleh menyanyi selama-lama.  Kita bukan di Barat.  Lagipun, Alif, yang belajar di Madinah, akan pulang sebagai pendakwah yang hafiz (hafaz al-Quran).  Saya mahu berhenti menyanyi sebelum dia balik.  Saya tidak mahu memberi tekanan kepada dia.

Namun saya masih mahu merakam album.  Mungkin setahun satu dan berjumpa peminat dua atau tiga kali setahun.  Saya tidak boleh terus memalingkan diri daripada bidang ini sebab ia kehidupan yang saya lalui dan membawa saya ke tahap sekarang.

Saya juga mahu mendapat lebih kualiti hidup dan dapat meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga.  Mungkin juga saya akan berkahwin, siapa tahu kalau ada jodoh dalam masa terdekat.  Sudah enam setengah tahun saya menyendiri.  Saya akan berkahwin jika bertemu pasangan yang sesuai yang boleh menjadi pasangan hidup dan juga sahabat.  Saya mahu mengelilingi dunia, melihat tempat orang dan saya memerlukan teman untuk melakukan semua itu.

Anak-anak pun sudah besar dan saya ibu moden yang tidak mahu hiba apabila anak-anak ada kehidupan mereka sendiri.  Saya menerima keadaan itu secara terbuka dan saya sendiri mahu mengembara ke seluruh dunia, ke tempat yang tidak pernah saya jejaki.  Saya mahu lakukan semua itu dengan pasangan saya, InsyaAllah.