BILA DUA BINTANG TERNAMA BERTEMU, HORMAT DAN SAYANG TERPANCAR DI WAJAH ANITA DAN SHARIFAH AINI

oleh A Jalil Saleh @ Juwie  (Jelita, Jun 1980)

Walaupun ANITA SARAWAK lahir di Timur (Singapura), tapi imejnya tetap Barat kepada sebilangan besar peminatnya.  Kerana kelincahan, pakaian, percakapan dan gayanya di pentas telah secara semulajadi membuat kita beranggapan begitu terhadap Anita.  Manakala SHARIFAH AINI pula, walau apa fesyen pakaian Barat dan gaya rambut yang mengubah perawakannya dari masa ke masa, namun peminat tetap menganggapnya wanita Timur.  Sekalipun dia sudah terkenal di peringkat antarabangsa menerusi rakaman dua LP Inggerisnya yang dipasarkan di rantau Asia Tenggara, namun nilai-nilai kewanitaan Timurnya tetap bersalut.  Memang tepat sebagaimana sasterawan A Samad Said menyatakan perilaku Aini dalam puisi lagunya 'Suara Hatiku' (dalam LP Koleksi 10 Tahun S.A): "Aku tetap Timur di tengah-tengah Barat'".

Walaupun peminat Anita sudah mengecap Anita sebagai bintang Barat, namun Anita tetap membanggakan dirinya sebagai wanita Timur,  "Sekalipun saya jadi popular di seluruh dunia suatu hari nanti, namun saya tetap orang Timur dan mahu menetap di tanahari saya.  Kerana keluarga saya di sini, makanan saya di sini dan kawan-kawan rapat saya semuanya di sini," jelas Anita, yang sudahpun merakankan LP bertaraf antarabangsa di Munich akhir tahun lalu dan dipasarkan di seluruh dunia. 

Sharifah Aini pula dengan rendah hati menyatakan: "Biarlah orang kata gaya Ani tidak hebat dan tidak lincah, tapi Ani tetap berbangga dengan gaya sederhana dan penuh ketimuran itu.  Gaya yang lemah-lembut dan pakaian yang sederhana di pentas itu adalah gaya Ani sendiri.  Bagi Ani untuk menjadi artis atau mengejar kemasyhuran, tidak semestinya kita ikut gaya orang-orang Barat.  Biarlah sederhana dan ikut keadaan saja.  Tapi kalau lain orang nak bergaya lincah atau macam siapapun yang dikagumi, itu pilihan dan gayanya tersendiri.  Macam Anita, dia mempunyai kemampuannya tersendiri dan Ani menghormati bakatnya yang luarbiasa.  Ani juga mengkagumi Anita.  Tidak pernah Ani ketinggalan menyaksikan persembahan Anita di Kuala Lumpur," cerita Aini lagi.

Menurut Ani, dia adalah peminat Anita.  Dia kenal Anita sejak pertengahan enampuluhan sewaktu sama-sama menyanyi di Radio dan TV Singapura dulu.  "Waktu itu, kami belum lagi menjadi rekoding artis.  Cuma diundang menyanyi di radio dan TV Singapura.  Ani menyanjung tinggi sikap Anita yang menghormati sesiapa saja yang ditemui baik kawan atau yang belum dikenalinya.  Kami menghormati satu sama lain.  Anita adalah penghibur yang berkerja keras.  Ani selalu doakan agar lebih ramai lagi bakat anak-anak melayu kita lahir macam kejayaan Anita.  Ani menumpang bangga melihat kejayaan Anita yang luarbiasa dan memang tepat gelaran superstar untuknya.  Ani adalah orang yang paling gembira kalau ada artis-artis kita atau dari anak bangsa kita yang mencapai kejayaan macam Anita."

"Bagi Ani tidak ada persaingan dengan Anita.  Tidak perlu nak beriri-hati kerana setiap artis mempunyai gaya tersendiri dan bakat kurniaan Tuhan.  Bahkan Ani terasa mesra sekali dengan Nita.  Tak ada hasrat nak berlumba-lumba.  Kalau semua orang nak jadi macam Anita, macam mana pula nanti dapat kita lihat gaya penyanyi atau penghibur yang berlainan.  Nanti semuanya sama saja, meniru-niru.  Bagi Ani, kalau Ani suka, cukup sekadar meminati dan memujinya, tidaklah sampai nak berlumba atau meniru-niru gayanya.  Biarlah Ani sederhana saja," cerita Ani lagi.  Ani memang mesra sekali bila bertemu Anita.  Mereka berpeluk.  Ani pegang dagu Nita dan Nita pula pegang pipi Ani.  Cantik!  Agaknya begitulahh kata Nita dalam hati.  Anita memang suka puji orang.  Tidak pernah saya lihat dia mencaci atau mengata orang.  Bila dia temui saya sendiri, ada-ada saja yang hendak dipuji.  Rambutlah, bajulah, cincinlah dan apa saja yang terpandang olehnya.  Tapi saya tak mudah lemas dengan pujian.  Sebab dah lali.

Bila diatnya Anita, apakah pandangannya terhadap Aini, Nita dengan wajah riang bercerita: "Sharifah Aini ... Uuhh!  SHE IS A GOOD SINGER!  Sejak dia mula-mula rakamkan lagu dulu, Nita sukakan lagu-lagunya.  "Kami kenal dah lama waktu belum buat rekod lagi di Singapura.  Sebagai kawan baik, Nita anggap Ani sungguh berbudi-bahasa.  She is a very nice person.  Gayanya sungguh lemah-lembut dan more femininity," puji Anita.  Anita juga memberitahu, jika ada peluang dan masa, dia ingin sekali menonton konsert Aini.  Tapi dia terlalu sibuk dan lebih kerap di Singapura dan keluar negeri.  Bagi Nita, tidak ada beza-membezakan dengan sesiapa pun.  Semua orang seni adalah sama saja," tambahnya.Bila dua bintang ternama bertemu, beginilah gembiranya ...

Bagi sesiapa yang pernah menonton persembahan kedua-dua penyanyi popular yang 'top' itu, tentu mudah merasa terhibur kecuali mereka (sekerat-dua saja) yang secara peribadi tidak suka dengan seseorang artis itu akan membuat berbagai kritik atau celaan.  Tapi itu remeh saja dan biasa berlaku di dunia atau ceruk mana pun.  Sudah adat dunia.

Suara merdu Aini sungguh menghiburkan.  Lagu-lagunya dapat merehatkan fikiran kusut.  Dan bagi setengah peminatnya merasakan, lagu-lagu Aini yang bertemakan cinta mudah mengguris rasa dan melinangkan airmata.  Seperti lagu-lagunya, 'Hapuslah Airmatamu', 'Pujaan Hatiku' dan 'Selimut Putih'.  Manakala Anita pula, lagu-lagu rock dan diskonya dapat menggoncangkan rasa dan membuat kaki peminat disko menari ligat.  Kalau lagu sentimental dari dendangannya yang sayup pilu seperti 'Jeritan Batinku', 'Lekaslah Kembali' (When Will I See You Again) dan 'You Light Up My Life' mudah pula menyentuh rasa dan menggelisahkan perasaan yang sedang duka lara. 

Kini, kedua-duanya penyanyi pujaan kita itu sedang dilamun asmara.  Masing-masing sedang bercinta.  Anita dengan pemuda Filipino, Jojo dan Sharifah Aini dengan Ali Abu Bakar.  Mereka juga adalah bintang yang pernah gagal dalam bercinta berberapa kali.  Anita pernah berpisah dengan bekas suaminya, seorang pemain piano.  Manakala Aini awal tujuhpuluhan dulu pernah berputus tunang.  Dalam perasaan yang sedang bergelora itu, masing-masing masih dapat menghiburkan berjuta peminat.  Dan kisah asmara yang tersalut di kalbu kadangkala dapat kita selami menerusi lagu-lagu lama dan baru yang dirakam kembali dalam LP mereka.  Bagi menyelami perasaan mereka, cuba kita teliti senikata lagu lama yang pernah mereka rakamkan dalam LP masing-masing.  Dan lagu-lagu ini juga kerap dialunkan di pentas.  Sharifah Aini gemar membawakan lagu 'Hapuslah Airmatamu' ciptaan Ahmad Nawab dan senikatanya sendiri.  Manakala Anita gemar mendengangkan lagu 'Jeritan Batinku' - sebuah lagu lama ciptaan dan dipopularkan oleh allahyarham P Ramlee.