Kak Pah dengan Ani ... The Musical?

'Jeling Kak Pora'  (Berita Minggu: Bi-Pop, 8 Jun 2008)

Ketika menonton P Ramlee ... The Musical, Kak Pora terpandang Datuk Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah.  Kak Pora duduk selang dua baris saja di belakang Kak Pah. 

Waktu itu memanglah ramai orang kenamaan tengok teater ini, seperti Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid selain Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah serta Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.  Kak Pora juga nampak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datin Seri Siti Nurhaliza juga datang menyaksikan teater itu.

Kak Pora tidak sangka teater Melayu seperti ini, rupa-rupanya turut ditonton oleh orang kenamaan, termasuk kerabat di raja.

Ketika berehat kira-kira 20 minit selepas babak pertama P Ramlee ... The Musical selesai, Kak Pora melepak di ruang legar Panggung Sari.  Ketika ini, terdengar perbualan daripada beberapa orang yang Kak Pora rasa agak dikenali juga dalam dunia hiburan ini.  Topik perbualan mereka cukup menarik iaitu mengenai teater muzikal juga.  Tapi bukanlah pasal P Ramlee.

Mula-mula dengar sesuatu berkaitan dengan nama Kak Pah.  Sedikit demi seidikit Kak Pora yang memakai baju kebaya ketat warna hijau macam Saloma waktu itu, mendekati dan pasang telinga nak dengar apa yang mereka bualkan.  Iyerlah, nak tahu juga sebab mereka cakap apa, pasal Kak Pah.

Wow!  Rupa-rupanya mereka bercakap pasal teater muzikal Sharifah Aini.  Tajuknya yang Kak Pora antara dengar dan tidak ialah Muzikal Ani atau Ani ... The Musical.  Lebih kurang macam itulah bunyinya.

Menarik juga kalau kisah Kak Pah dipentaskan.  Beliau pun bukan calang-calang orang dalam dunia seni ini.  Selama lebih 30 tahun sebagai anak seni, tentunya ada banyak yang menarik untuk dikongsi dengan peminat apabila Ani ... The Musical jadi kenyataan.

Tambahan pula lagu-lagu Kak Pah banyak yang sedap-sedap.  Kak Pora percaya teater muzikal ini pasti dapat sambutan macam P Ramlee ... The Musical juga.  Ini kerana Kak Pah mempunyai ramai peminat.  Ramai juga peminatnya terdiri dari kalangan orang muda.

Cuma Kak Pora fikir, siapa agaknya yang hendak jadi penulis skrip dan pengarah teater muzikal pasal Kak Pah.  Ini kerana ceritanya nanti tentulah dimulakan dengan zaman Kak Pah masa kanak-kanak atau sebelum bergelar jadi penyanyi terkenal.  Kak Pora tak dapat bayangkan siapakah orang yang sesuai pegang watak Kak Pah dari zaman kanak-kanak hinggalah Kak Pah masa kini.