RTM 'GAM' Sharifah Aini

'Jeling Kak Pora'  (Berita Minggu: Bi-Pop, 23 September 2007)

Kawan ada bertanya pada Kak Pora, betulkah RTM 'gam' lagu nyanyian Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah?  Dia tanya macam itu sebab dia berasakan macam ada sesuatu yang tidak kena pada stesen radio Klasik Nasional kerana sudah lama tidak siarkan lagu nyanyian Kak Pah. 

Terkejut juga.  Maklumlah setahu Kak Pora, RTM jarang 'gam' mana-mana penyanyi, kecuali kalau ada kes luar biasa.  Atau, ada yang tidak kena pada lagu itu sendiri, seperti liriknya kasar, lucah dan berbau negatif, selain mutu penerbitannya yang terlalu rendah juga RTM selalunya tak siarkan.  Dalam hal macam ini, Kak Pah mana ada kes dengan RTM.

Kak Pora pun risik jugalah hal ini.  Rupa-rupanya ada cerita juga pasal Kak Pah dengan RTM.  Khabarnya, semua rangkaian radio RTM mula tidak siarkan lagu nyanyian Kak Pah ekoran Kak Pah menarik diri pada saat akhir Konsert Simfoni Putrajaya beberapa bulan lalu.  Kak Pora ada juga bertanya orang radio di RTM bagi mendapatkan kepastian pasal hal ini.  Tapi biasalah, mulut mereka dah kena zip!

Masing-masing angkat dua belah bahu dan dua belah tangan, tak mahu beri ulasan sama ada untuk mengesahkan atau menafikannya.  Mereka suruh Kak Pora tanya saja pegawai atas di RTM.