TAK MAHU LUKAKAN HATI ANAK-ANAK

oleh Kartini Noor  (Ibubapa, Ogos 1998)

Tiga dekad atau 30 tahun yang dilalui oleh penyanyi 'evergreen' Sharifah Aini Syed Jaafar bukanlah tempoh yang singkat. Apalagi untuk kekal harum di mercu persada seni dan menjadi bintang pujaan yang disayangi peminat. Segala ranjau berduri dijejaki, fitnah yang kadangkala tak tertanggung sudah dilaluinya. Apa rahsia Sharifah Aini agaknya?  ... Mungkin kehidupan saya yang 'low profile' dan tidak mendedahkan diri di tempat-tempat terbuka menyebabkan peminat tidak pernah lupakan saya,' akui penyanyi itu yang memulakan kerjayanya di bidang seni pada 1969. Lagunya Seri Dewi Malam terus menaikkan namanya.

"Pada masa ini rasanya, sayalah ibu dan penghibur paling bahagia. Saya kini duduk di kemuncak dunia. Sejak 17 tahun lalu selepas kelahiran Aliff sehinggalah kini sudah menjangkau usia 45 tahun, saya lebih berhati-hati mengharungi dunia seni terutama membabitkan gosip kerana saya tidak mahu hati Aliff terluka dengan laporan media yang tidak betul. Saya mahu Aliff membesar seperti anak remaja yang lain. Dialah satu-satunya permata hati dan saya mahu melindunginya agar tidak terdedah pada cerita-cerita buruk. Saya kena lebih berhati-hati dengan setiap pergerakan yang saya buat," katanya.

Mungkin juga tidak semua peminat mampu menghampiri penyanyi itu kerana sekarang dia lebih banyak menerima tawaran show untuk makan malam, kegiatan korporat dan eksklusif. "Memang adakalanya saya rindu untuk kembali ke pentas namun masa saya untuk itu sudah berlalu. Sekarang saya lebih banyak di rumah kalau tiada kontrak. Melayan kerenah Aliff dan anak-anak saya yang lain." (Sharifah Aini mempunyai ramai anak angkat yang tinggal dan tidak tinggal bersamanya). "Saya akui Aliff agak pemalu sikit dan seorang yang begitu patuh, jadi saya tak mahu melukakakn hatinya. Pada masa ini pun saya lebih suka Aliff menghabiskan pengajiannya dulu. Kalaulah dia menunjukkan minatnya dalam bidang seni ini, apapun dia mesti habis belajar dulu."

"Bagi saya tiada larangan kalau anak-anak saya minat muzik. Cuma saya mahu mereka jadi yang terbaik atau sekadar hobi saja. Pengalaman hidup ketika menyanyi termasuk dapat bayaran RM20 hingga RM30 mengajar saya erti hidup sebenarnya. Saya tidak mahu anak-anak saya melalui jejak-jejak pahit itu." katanya yang mendidik anak-anak supaya membesar dengan sifat-sifat berani. Malah Sharifah Aini turut mengasuh anak-anaknya bersikap jujur dan berterus terang kalau mengalami masalah dan tidak takut untuk mengatasinya. "Saya hanya mahu hidup ini menjadi lebih mudah untuk saya dan anak-anak," katanya.

PETUA KEKAL CANTIK

"Bila wanita semakin meningkat usia, cantik bukan lagi perkara pokok. Yang penting sekarang ialah kesihatan dalaman. Saya cukup jaga soal makanan dan vitamin serta ubat-ubat tradisional bagi mengekalkan kecergasan badan. Apapun saya percaya, hati kita mesti gembira dulu barulah badan sihat," katanya yang mengiakan berat badannya yang agak kurus sekarang ada kaitan dengan hatinya yang gembira dengan kehidupan sekarang. "Saya bahagia kalau kita boleh membuatkan orang lain gembira. Begitu juga melihat anak-anak membesar di depan mata, menjadi penawar pada segala kesengsaraan yang ditanggung selama berjuang dalam dunia seni ini," katanya,

Bahagia hatinya tersirat dalam allbum 'Yayadan' yang dilancarkan baru-baru ini cukup menggambarkan betapa kasihnya dia terhadap insan yang tidak putus-putus mengutuskan surat kepada syarikat rakamannya, EMI meminta penyanyi pujaannya itu menghasilkan album berkenaan. Tempoh empat bulan yang diambil oleh Sharifah Aini untuk meneliti lirik dan merujuk sebutan lagu-lagu itu membuktikan kewibawaannya sebagai penyanyi versatile yang mempu menggarapkan lagu-lagu itu dalam nada dan alunan yang mengasyikkan.