SHARIFAH AINI DIPELAWA KE DUBAI

oleh Rudy Imran Shamsudin  (Harian Metro: Khamis, 20 November 2008)

Wakil negara Arab terpesona saksi persembahannya pada Malam Gala Suka Berkuda Lasak Dunia

Sekian lama tidak muncul mengadakan persembahan, baru-baru ini Datuk Sharifah Aini tampil menjayakan mini konsert di Stadium Tertutup Komplek Sukan Kuala Terengganu, Terengganu, sempena dengan Malam Gala Sukan Berkuda Lasak Dunia 2008.  Lebih menarik pada hari itu Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah berkongsi pentas dengan pemenang anugerah Grammy, Macy Gray menjayakan persembahan.

Macy Gray dibawa khas penganjur majlis, Pengarah Urusan Dale Lokman Associates Sdn Bhd, Datuk Mahadzir Lokman dengan dibantu Pengarah Urusan De'Media And Event Entertainment, Syed Yusof Wafa.  Sewaktu dihubungi Sharifah Aini menjelaskan, dia berbesar hati apabila dijemput Dale Lokman Associates untuk menjayakan persembahan Malam Gala Sukan Berkuda Lasak Dunia 2008.

"Saya jarang mengadakan persembahan terbuka, tetapi memandangkan acara ini membabitkan pembesar dalam dan luar negara, menjadi tanggungjawab saya memberikan sumbangan menghiburkan tetamu.  Pastinya saya turut tumpang gembira kerana acara ini berjaya.  Malah saya turut difahamkan penganjuran Sukan Berkuda Lasak Dunia 2008 turut diiktiraf Malaysia Book Of Records kerana Malaysia menjadi negara pertama dari Asia dipilih untuk menjadi tuan rumah," katanya.

Bercerita lanjut kata Sharifah Aini, Mahathir Lokman memberitahu pelawaan mengadakan persembahan pada malam itu atas permintaan ahli jawatankuasa penganjuran.  "Jelas mereka kerana kebanyakan peserta pertandingan datang dari negara Timur Tengah mereka mencari penyanyi yang boleh menyanyikan lagu arab dengan baik dan pernah merakamkannya dalam album.  Kebetulan saya pernah menghasilkan lagu-lagu Arab jadi penganjur berasakan saya adalah penghibur paling tepat untuk menjayakan malam gala dianjurkan.  Malam itu saya memilih untuk mendendangkan lagu Nur'Ain dan Ishar dan satu lagu lama saya, Tiada Maaf Bagimu.

"Benar seperti apa yang dikatakan penganjur kebanyakan tetamu atau peserta pertandingan berteriak kesukaan sebaik saja saya mendendangkan lagu Nur'Ain.  Tidak kurang juga ada yang bangun dari kerusi dan menari.  Agaknya ada peserta dari Timur Tengah yang sedang merindukan tanah air terus melonjak kegembiraan, kerana mereka tidak menyangka di sini ada penyanyi yang boleh menyanyikan lagu Arab," katanya.

Sebaik selesai persembahan, penganjur majlis menyampaikan berita baik kepada Sharifah Aini apabila ada beberapa wakil dari Dubai dan negara Arab lain berminat menjemputnya mengadakan persembahan.  "Saya tidak keberatan sekiranya benar ada tawaran mengadakan persembahan di sana," katanya lagi. 

Mengenai pertemuannya dengan Macy Gray, kata Sharifah Aini walaupun penyanyi antarabangsa itu pernah mencapai banyak kejayaan besar tetapi dia tidak sombong dan ternyata peramah.  "Kami menaiki penerbangan ke Kuala Terengganu bersama-sama.  Banyak perkara yang kami sempat bualkan terutamanya membabitkan perkembangan muzik dunia.  Sebagai orang yang berkecimpung dalam dunia muzik sudah tentu saya mengenalinya.  Namun apa yang menyebabkan saya rasa segan apabila dia turut memuji saya cantik.  Katanya dia kagum dengan wanita tempatan yang pandai menjaga kecantikan dan penampilan," katanya.  Pada persembahan malam itu Macy Gray mendendangkan lagu popularnya seperti I Try, Walk This Way, When I See You dan Big.