RAHSIA SUARA KAK PAH

oleh Zurina Waji  (Metro Ahad, 19 Julai 1998)

Pernah satu ketika, dia sekadar menerima 10 cucuk sate sebagai upah menyanyi.  Kalau nasibnya baik, dapatlah dia RM5 atau RM10 walhal itu, dia sudah merakamkan lagu dengan hitanya, Seri Dewi Malam.  "Itu cerita tahun 70-an lalu tetapi sesekali mengingatinya, memanglah sedih," kata Sharifah Aini sambil mengingati peristiwa silam.  "Hati ini sedih tetapi saya kira, ia perkara molek untuk dikenang.  Perkara itu membuatkan saya insaf.  Saya bernasib baik kerana dapat merasa zaman susah sebegitu.  Dulu, menangis ... hari ini, perakara itu terasa lucu pula.  Saya boleh duduk dan ketawa apabila mengingatinya semula."

Kesusahan sebenarnya bukanlah asing buat Sharifah Aini yang biasanya dipanggil Kak Pah.  Sebagai anak kecil, dia pernah menjual nangka dan kuih untuk mencari duit, malah mengambil upah menjahit baju atau menggiling lada.  Kemiskinan menyebabkan hatinya keras, menjadikannya tabah menghadapi dugaan.  Di hatinya kental dengan semangat untuk melepaskan diri daripa belenggu kesusahan itu.  Sambil membetulkan tudung hitam yang dipadankan dengan jubah hitam bercorak benang emas, dia yang mendapat pendidikan sekolah Melayu dan Arab, berkata: "Sebenarnya, saya tak terniat pun nak jadi penyanyi.  Dulu, saya nak jadi penguam atau doktor.  Tetapi kerana masalah kewangan, cita-cita saya terbantut.  Datuk (yang membelanya) tak mampu nak biayai sebab kami miskin," kata Kak Pah.

Kefasihan berbahasa Arab dan lancar menggaji al-Quran menambah 'perisa' kelunakan suaranya ketika menyanyi.  Begitu pun, dulu dia menyanyi secara sorok-sorok di luar pengetahuan abahnya.  Mula menyanyi pada usia 12 tahun, bakatnya menyinar daripada penyanyi kampung hingga mampu menyanyi bersama kugiran dengan bayaran RM10 hingga RM50.  "Mulanya saya menyanyi kerana perlukan wang untuk beli buku," katanya.  Pada 1967, dia menyertai satu pertandingan di Singapura dan setahun kemudian, suara emasnya memikat syarikat rakaman EMI Music (Singapura) untuk mengambilnya sebagai artis.

Kini, genap 30 tahun Sharifah Aini bersama EMI dengan melahirkan 60 album, termasuk EP dan LP, Melayu dan Inggeris bersama himpunan lagu hit, antaranya Hapuslah Airmatamu dan Hiburkanlah Hatiku.  Terbaru dia muncul dengan album pop etnik bermesej keagamaan, YAYADAN.  Sebagai penyanyi disegani, kehidupannya jauh lebih senang.  Dulu, dia berhimpit dalam kereta, mengikut Aziz Sattar dan Allahyarham Alias Congo mengadakan persembahan di ceruk kampung tetapi hari ini, dia mampu memandu kereta mewah.

Sharifah Aini yang berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1970 dengan duit poket RM75, berkata: "Saya terpaksa bersusah payah untuk tiba ke tempoh 30 tahun ini.  Nasib saya tidak sebaik penyanyi sekarang.  Dulu, kita merangkak.  Begitu pun, saya tidak menganggap ia satu pencapaian.  Bagi saya, ia adalah kepuasan."  Apa yang dinikmatinya kini sebenarnya turut disumbang 'duri' yang ditempuhinya, termasuk menghadapi gosip dan pendedahan kisah peribadi yang menyakitkan.