RAHSIA AWET SHARIFAH AINI

oleh Roslen Fadzil  (Metro Ahad: 31 Oktober 1999)

Ada tiga perkara boleh dilihat pada Sharifah Aini yang sukar dicari dalam diri artis lain.  Ketiga-tiganya berkaitan dengan awet, iaitu awet muda, awet dalam dunia hiburan dan awet bertahan dalam sebuah syarikat rakaman selama 30 tahun.  Tertawa seketika penyanyi Bunga Tanjung itu apabila Metro Ahad mengatakan wajahnya semakin muda.  Jelingan nakalnya itu boleh dilihat dalam kulit album tebaru – Takkan Melayu Hilang Di Dunia dan Sri Dewi Sharifah Aini.

"Kadang-kadang saya tak tahu bagaimana nak menjawab bila orang bertanya mengenai petua kecantikan.  Ini kerana saya tidak pernah mengikat hidup saya dengan petua atau pantang.  Cuma sejak remaja, saya tidak suka makan ais – bukan sebab pantang tapi memang tak minat.  Saya lebih banyak minum air mineral dan mengambil vitamin tambahan.  Saya pastikan mendapat tidur nyenyak.  Saya juga tidak merokok dan jauh sekali mengambil alkohol.  Itulah saja kalau nak dikatakan petua pun," katanya yang tidak berenggang dengan baju kurung Johor.

Dari sudut penampilan, pelakon filem Superstar Bintang Pujaan ini kelihatan berbeza dan lebih sofistikated kerana tidak lagi tersekat dengan fesyen rambut mengerbang.  Gaya rambut serta solekan lebih nipis menyebabkan fokus terhadap wajahnya itu lebih menyerlah.  Menurut Sharifah yang sudah mencecah usia pertengahan 40-an, dia turut mendisplinkan dirinya mendapatkan dandanan kuku setiap lima hari sekali, stimkan rambut empat kali sebulan serta berjumpa pakar gigi lima bulan sekali.

"Apapun, kecantikan itu ada dalam diri setiap wanita dan terpulanglah kepada diri masing-masing untuk menjaganya," kata Sharifah.  Kemudian dia menyambung lagi: "Saya tahu setiap manusia ada masalah hidup tetapi cara saya, janganlah pendamkan masalah kita itu lama-lama di dalam hati.  Ini boleh menyesakkan dada dan seterusnya menghancurkan hidup kita."  Redha dengan setiap kesulitan serta dugaan yang menimpa hidupnya selama ini, Sharifah mengakui fikirannya kini lapang dan mungkin perkara itu turut menjadikan dia sentiasa yakin meneruskan kerjaya.

Keruntuhan rumah tangga serta cemuhan pihak tertentu adalah antara dugaan yang mampu dilaluinya dengan cekal walaupun begitu berat bahu memikul.  "Saya percaya bila Tuhan sayangkan kita, Dia akan memberi bermacam dugaan," katanya sambil merenung jauh ke arah matahari yang semakin terbenam.

Bagaimana pula dengan kesetiaannya yang bukan kepalang terhadap EMI dan dunia nyanyian?  "Saya datang daripada keluarga susah.  Bila mendapat peluang dari EMI Singapura pada 1968, saya terlalu gembira dan bersyukur.  Siapa yang tidak bangga bila syarikat besar seperti EMI sudi mengambil saya."

"Ketika itu saya mula berangan-angan menjadi penyanyi terkenal.  Saya berazam tidak mahu persia-siakan peluang yang ada di depan mata.  Kebetulan, EMI pula melayan saya dengan adil.  Persefahaman di antara syarikat rakaman dan artis amatlah penting.  Kalau bergaduh pun, cubalah selesaikan dengan cara diplomasi kerana ia ibarat hubungan suami isteri dalam rumahtangga," jelas Sharifah besungguh-sungguh.  Yang jelas, populariti Sharifah terbukti dengan adanya lagu hit pada setiap dekad bermula Seri Dewi Malam (1969), Hapuslah Air Matamu (1975), Kau Racun Hidupku (1986) dan Seksa (1995).

Dia berjaya mengukir sejarah dalam dunia seni Melayu kerana hingga kini sudah merakamkan lebih 700 lagu dalam 70 album solo serta kompilasi.  Di samping itu, dia juga mempunyai beberapa album Inggeris seperti Forever And Ever, Woman In Love dan He's Beautiful To Me.  "Hanya Tuhan sahaja yang tahu bila akan berhenti menyanyi.  Sebenarnya saya bercita-cita mencapai impian terhebat dalam tempoh lima tahun akan datang.  Impian itu?  Maaflah, rahsia..." kata Sharifah yang belum terfikir untuk berumah tangga lagi.